AMALAN PARTI DAN KOALISI POLITIK YANG ABNORMAL – AZWAN OMAR

16
SHARES
182
VIEWS

PRK Negeri Sabah sudah habis. Sekarang rakyat Sabah sudah mempunyai Kerajaan Negeri yang mandatnya jelas termasuklah Ketua Menteri dan Kabinet Kerajaan Negerinya.

Maka, pada hemat aku yang tidak cerdik politik ini mengajak semua cukup-cukuplah berbicara dan mengungkit apa yang berlaku di Sabah. Drama yang berlaku sebelum pembentukan Kerajaan Negeri itu sudah tamat.

Fokus penting sekarang adalah untuk bekerja. Cukup-cukuplah, rakyat Sabah berhak untuk mempunyai Kerajaan Negeri yang berfungsi dan bekerja untuk mereka.

Meminjam kata-kata YB Timbalan Menteri seorang itu. “KHALAS!”

Untuk perkongsian kali ini, aku mahu mengajak para pembaca sekalian untuk berdiskusi soal apa itu kerjasama parti politik, Kerajaan Koalisi dan normal kerjasama politik.

Sejarah politik negara ada berbagai-bagai bentuk dan nama seperti BN, PH, PR, Gagasan Sejahtera, Barisan Alternatif, Perikatan, PN dan banyak lagi.

Namun aku yakin, ramai tidak akan menolak sekiranya aku katakan bahawa bentuk kerjasama politik seperti Barisan Nasional (BN) adalah contoh paling berjaya, malahan terbukti membawa kepada kestabilan dan kemakmuran kepada Malaysia dan rakyatnya untuk tempoh berdekad lamanya.

Benar, Pakatan Harapan (PH) dan ‘predecessor‘ Pakatan Rakyat (PR) juga berpengaruh dan layak diabadikan di dalam sejarah negara, tetapi kejayaan mereka hanyalah setakat untuk memenangi PILIHAN RAYA, dan bukan MENTADBIR negara.

Jatuhnya Kerajaan PH pada bulan Februari tempoh hari adalah bukti yang jelas. Menuju ke tarikh itu, rakyat Malaysia telah merasai sendiri Kerajaan Persekutuan yang tidak stabil, tidak seia dan sekata, malah dipengaruhi oleh politik dalam koalisi PH itu sendiri.

Penolakan PH juga dimanifestasikan dengan siri kekalahan Pilihan Raya Kecil kepada BN sehinggalah kemuncaknya di Tanjung Piai apabila PH tewas dengan majoriti kekalahan melebihi 15,000 undi.

Apa bezanya BN dan PH? Rasanya Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dato Dr Asyraf Wajdi Dusuki sudah terangkan dengan baik dan logik. Boleh rujuk FB beliau.

Cuma, kali ini aku hendak bangkitkan beberapa perkara abnormal atau ‘luar tabii’ di dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sekarang ini.

Selalunya parti teras di dalam sesebuah koalisi parti-parti politik yang membentuk kerajaan pasti dapat meletakkan pilihan mereka sebagai Ketua Kerajaan atau Perdana Menteri dan nombor dua, Timbalan Perdana Menteri.

Dalam BN, struktur, rasional dan sejarah itu jelas.

Tetapi di dalam PN, parti PPBM (Bersatu) sebagai parti teras tidak berbuat demikian. Benar, Presiden Bersatu iaitu YAB Tan Sri Muhyidin Yassin adalah Perdana Menteri, tetapi kenapa tidak Timbalan Presiden yang menang bertanding iaitu YAB Dato Seri Ahmad Faizal Azumu (Peja) tidak diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Bukan apa, Dato Seri Peja pun adalah Ahli Dewan Rakyat P.063 mewakili Tambun. Kenapa masih kekalkan beliau di negeri Perak? Walhal amalan normalnya beliau layak menjadi TPM.

Mengapakah masih dikekalkan sistem Menteri Kanan selepas pemilihan Bersatu?

Mengapakah Bersatu bertegas mengangkat individu kontroversi seperti YB Dato Seri Azmin Ali yang ‘khianat’ PKR dan baru menyertai Bersatu dan seorang Senator dari Bersatu, YB Dr. Mohd Radzi Jidin yang TIDAK DIPILIH rakyat sebagai Menteri Kanan pula?

Bukankah hierarki parti itu jelas? Jika YB Peja disisihkan di Perak, apa guna Bersatu buat pemilihan dan apa guna YB Peja bertanding dan menang jawatan Timbalan Presiden.

Okaylah, mungkin kalian ada alasannya. Boleh kongsikan untuk ia ‘diuji’ ramai.

Selain itu, apabila kita bercakap mengenai koalisi parti-parti politik yang membentuk kerajaan, sepatutnya Kerajaan PN sekarang harus mengakui bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah ‘senior partner‘ di dalam gabungan PN.

(Nota: UMNO tidak menyertai PN. UMNO komited bersama BN)

Kesetiaan PAS bersama PN dibuktikan dengan ‘pengorbanan besar’ mereka untuk tidak diberikan peluang untuk bertapak di Sabah dengan tidak diberikan 1 kerusi di PRK Negeri Sabah.

Sebagai ‘senior partner‘ dalam gabungan PN jika dibandingkan dengan parti-parti PN yang lain, sepatutnya PAS juga layak menamakan Timbalan Perdana Menteri di kalangan Wakil Rakyat PAS di Parlimen.

Mengapa Kerajaan PN bersungguh mempertahankan sistem Menteri Kanan walaupun jelas PAS lebih punya legitimasi dari segi konvensyen dan amalan parti? 

PAS mempunyai 18 Ahli Dewan Rakyat dan kebanyakkan pimpinan tertinggi parti Islam itu adalah Ahli Dewan Rakyat.

Mengapa tidak menamakan Ahli Parlimen bagi Kota Bharu P.021 YB Dato Haji Takiyuddin Hassan atau Kuala Nerus P. 035 YB Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai calon TPM? 

Ikut amalan yang sudah terbukti dan definisi kerjasama koalisi parti-parti, PAS layak dan sebaiknya diberikan jawatan TPM.

Tuntasnya, semua ini tidak berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan PN ini. Adakah mereka bereksperimen bentuk baru?

Kalau dahulu PH bereksperimen dengan memberikan kerusi Perdana Menteri kepada parti komponen paling kecil kerusinya ketika menang PRU-14, maka adakah PN juga sama?

Pokoknya mengapa mahu bereksperimen dengan rakyat?

Formula kerjasama politik dan perkongsian kuasa BN adalah terbukti dan berjaya. Struktur kuasa dan otoritinya jelas dan kerajaan berfungsi dengan baik malahan mudah bagi perkhidmatan awam untuk berkerjasama.

Formula BN membawa kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan lebih 61 tahun. Tetapi PN enggan. Mahu juga mempertahankan Menteri-Menteri Kanan mereka dan tidak menghormati Timbalan Presiden yang dipilih ahli parti sendiri.

Azwan Omar

Serendah

(Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan; https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2748423805406487&id=1483882845193929)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan