KENAPA SEGELINTIR AHLI POLITIK, MENTERI TIDAK MAHU KUARANTIN KENDIRI SEKEMBALINYA DARI SABAH?

484
SHARES
2.8k
VIEWS

Persoalan mengenai pandemik Covid-19 ketika ini yang menunjukkan ‘trend‘ peningkatan ketara, yang menghangatkan keadaan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, bukan mengenai siapa didapati positif selepas beberapa hari pulang daripada Sabah, tetapi kenapa tidak mahu ‘self quarantine‘ atau kuarantin kendiri di kediaman masing-masing?

Apa yang menjadi kemarahan rakyat ialah kenapa mereka yang pulang ini termasuk Menteri bebas ke sana ke sini hadir dalam pelbagai program kementerian sama ada di peringkat pusat atau negeri?

Jika kerajaan tidak menetapkan sesiapa yang pulang dari kawasan berisiko perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah sekalipun, kenapa mereka ini sanggup “bermain-main dengan andaian” tidak akan positif, mempertaruh nyawa rakyat di sekeliling?

Bukankah “mencegah lebih baik dari merawat?” – akibat tidak mengamalkan apa yang sering dinasihatkan maka kini satu negara berdepan risiko mungkin akan dilaksanakan PKP 2.0 memandangkan peningkatan pesakit dari hari ke sehari semakin membimbangkan.

Ini menunjukkan wujud segelintir yang tidak bertanggungjawab dalam kerajaan apabila rakyat biasa beriya diminta mengikut SOP sebaliknya mereka sendiri mengabaikannya. 

Apa salahnya mengikut cara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan ramai lagi individu lain yang berkorban menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing?

Sehinggalah didapati negatif selepas 14 hari, barulah mereka berani keluar dan bersemuka dengan sesiapa jua, inikan pula Jemaah Menteri, Setiausaha dan pegawai-pegawai khas mereka, yang saban masa bertemu rakyat dalam pelbagai program.

Jika tidak, ia bukan sahaja merugikan malah menyusahkan semua pihak.

Sebagai contoh, jika ada 100 orang yang terdiri daripada Jemaah Menteri dan pegawai-pegawainya dikuarantin selama 14 hari sekembalinya dari Sabah, ia tentu lebih menjimatkan dan mudah berbanding mengendali 1000 orang – dengan andaian jika hanya ada 10 kontak rapat bagi setiap individu positif Covid-19. 

Lihatlah isu Menteri Agama Datuk Seri Zulkifli Al Bakri yang pulang dari Sabah pada 24 September dan kira-kira selepas 12 hari sekembalinya beliau dari Sabah didapati positif, sehingga pelbagai pihak dan jabatan terpaksa menjalani ‘swab test‘ dan diletakkan sebagai “Person Under Investigation (PUI)”.

Bukankah ini pembaziran dan menjejaskan keselamatan rakyat serta menyusahkan banyak pihak terutamanya mereka yang menjadi PUI, keluarga mereka dan para petugas barisan hadapan? 

Malah Jemaah Menteri lain termasuk Perdana Menteri sendiri kini terpaksa menjalani kuarantin kendiri kerana turut terlibat dalam mesyuarat bersama Zulkifli, yang sepatutnya boleh dielakkan jika masing-masing lebih awal kuarantin diri sendiri.

Selain itu, jika PUI yang merupakan kontak rapat mereka semua ini termasuk agensi kerajaan seperti YADIM menjalani ‘swab test‘, siapa yang akan membiayai mereka? Jika pembiayaan sendiri, ini sangat tidak adil kerana yang tidak menjalankan kuarantin kendiri adalah Menteri, mereka sepatutnya menanggung semua perbelanjaan kerana tidak berhati-hati. 

Jika ia ditanggung oleh kerajaan, ini lagi tidak adil kerana ia merupakan pembaziran wang rakyat di atas kebodohan dan sikap tidak bertanggungjawab mereka sendiri yang menyebabkan banyak pihak terpaksa dikuarantin. 

Perlu diingat, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah sendiri sudahpun memberi peringatan awal melalui Twitter-nya, “Bagaimana kalau semua duduk di rumah semula?” – walaupun beliau telah nafikan sebagai amaran awal PKP 2.0 tetapi kini ia tidak lagi boleh dipandang remeh ketika ini.

Cukup-cukuplah Jemaah Menteri, ahli politik dan pegawai-pegawai mereka bersikap kurang cerdik kali ini, di mana mungkin sebahagiannya masih mewarisi ‘kebodohan’ kerajaan lama Pakatan Harapan, tetapi dalam menangani masalah Covid-19 ini rakyat memohon semuanya bertanggungjawab dan berfikir dengan lebih baik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts