BUKTIKAN DAHULU SEBELUM BUAT PENGUMUMAN

400
SHARES
2.4k
VIEWS

Susulan dari pengumuman luar biasa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 September 2020 apabila penuh yakin mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah jatuh kerana beliau sudah mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan – pengumuman itu harus diberi perhatian serius. Ini kerana sedikit sebanyak kenyataan beliau itu boleh memberi kesan negatif kepada negara. Beliau harus ditegur kerana membuat kenyataan semberono sedemikian di saat negara sedang berhadapan dengan wabak Covid-19 dan PRN Sabah.

2. Negara jadi huru-hara, dan kegusaran rakyat tidak akan terhenti selagi orang seperti Anwar Ibrahim ini yang sentiasa sahaja menimbulkan pelbagai kontroversi semata-mata mahu merebut jawatan Perdana Menteri. Dan ternyata beliau sanggup melakukan apa sahaja tanpa peduli keadaan rakyat yang sekarang ini sedang berdepan penularan Covid-19 daripada kluster Sabah, terkini telah mencecah tiga angka.

3. Berikut merupakan sebahagian INTI pati sidang media yang dibuat oleh Anwar Ibrahim yang boleh menimbulkan kontroversi mengenai sokongan yang kukuh dan meyakinkan yang beliau dapat dan mengumumkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin telah jatuh:

• “Rakyat Malaysia berhak mendapatkan sebuah kerajaan yang kukuh, dengan kepimpinan yang cekap dan yakin – untuk mengurus ekonomi dengan kebijaksanaan dan tuntas.”

• “Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk selamatkan negara dari menghadapi kemelesetan ekonomi yang dibimbangi boleh juga menimbulkan ketegangan hubungan kaum.”

4. Dua perenggan pertama dan kedua ini menunjukkan bahawa Anwar berasa begitu yakin bahawa ekonomi negara semakin menguncup dan menjunam jatuh ke bawah. Beliau mengumumkan kerajaan PN telah gagal membangunkan ekonomi negara dan negara perlu diselamatkan dengan segera, jika tidak akan berdepan dengan kehancuran akibat kejatuhan ekonomi negara. Beliau konsisten mengatakan negara bankrup sejak pentadbiran negara di bawah Datuk Seri Najib hingga Tan Sri Muhyiddin.

• “Alhamdulillah kini saya telah mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada Ahli-ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).

5. Selepas mengumumkan kejatuhan ekonomi negara, pada perenggan ini, beliau memberi solusi iaitu tiba masa negara perlu menukar kerajaan PN yang sedia ada dengan kerajaan baru susunan beliau kerana sudah mempunyai sokongan majoriti dan akan mengadap YDPA bagi mendapatkan perkenan Tuanku dan seterusnya akan melantik beliau sebagai PM ke-9.

• “Dan ingin saya nyatakan di sini, majoriti yang menyokong juga di kalangan Ahli Parlimen Melayu dan Islam.”

6. Dan ajaibnya majoriti yang menyokong Anwar Ibrahim adalah dari kalangan Ahli Parlimen Melayu Islam, dalam masa yang sama beliau tidak menafikan berkemungkinan pembentukan kerajaan baru ini nanti akan bersama dengan parti DAP kerana sebelum pengumuman beliau, anak sulungnya Nurul Izzah telah mengeluarkan kenyataan kepada Lim Guan Eng supaya tidak melanggar semangat ‘setiakawan’ pada 19 September 2020. Kemungkinan kerajaan baru yang bakal terbentuk disertai oleh PKR-DAP-PAN-UMNO.

• “Untuk makluman semua sebenarnya saya telah diperkenankan mengadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong kelmarin, Selasa 21 Disember jam 11 pagi. Tetapi terpaksa ditangguhkan kerana baginda kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara.”

• “Kendati begitu, melalui perbualan telefon malam Selasa lalu saya telah mendoakan afiah buat Ke Bawah Duli Tuanku.”

• “Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

7. Kenyataan Anwar Ibrahim menyebut; “…kerajaan pimpinan TSMY telah jatuh.”. Kenyataan berani ini membimbangkan semua pihak dan terkesan kepada ekonomi negara. Beliau harus bertanggungjawab membuktikannya dan jika tidak, tindakan perlu diambil terhadap beliau sebagai pengajaran kepada yang lain agar tidak semberono membuat pemgumuman yang boleh menimbulkan keresahan.

• “Makluman dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan lepas mengadap baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam masa terdekat, In sha Allah.”

• “Pentadbiran ini pastinya mewakili semua rakyat dengan majoriti Melayu Bumiputera dan perwakilan saksama semua kaum di negara kita.”

8. Persoalannya sekarang, jika betul Anwar Ibrahim benar-benar mempunyai sokongan majoriti maka beliau harus membuktikannya dengan segera. Jika tidak kredibiliti beliau sebagai pemimpin dipertikaikan. Dan jika segala gimik palsu, maka sudah tiba masanya beliau bersara terus dari dunia politik kerana pembohongan beliau ini telah menyusahkan banyak pihak, lebih menyedihkan beliau sanggup menipu dengan memberi harapan palsu kepada rakyat yang menyokong beliau.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts