KEMELUT POLITIK INI SALAH TUN MAHATHIR – NAZIR HUSSIN

1.8k
SHARES
10.8k
VIEWS

1. Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyalahkan UMNO dalam percaturan politik terbaharu membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sangat tidak tepat dan bersifat “telunjuk lurus kelingking berkait”.

2. Dari awal Barisan Nasional dan PAS berpendirian bahawa satu Pilihan Raya Umum baharu perlu diadakan bagi menyelesaikan kemelut ini. Namun seperti yang diketahui umum, pandangan tidak mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

3. Atas sebab itu, BN dan Pas telah mengambil keputusan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Sokongan ini dibuat tanpa sebarang syarat membabitkan hal-hal peribadi mana-mana pemimpin seperti mana dakwaan Dr Mahathir.

4. Pelbagai peristiwa selepas itu dalam pembentukan kabinet dan penubuhan Perikatan Nasional telah sedikit sebanyak mengguris hati dan perasaan ahli UMNO.

5. UMNO diketepikan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) telah ditubuhkan bagi menyaingi Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO. Ahli-ahli BN telah dipancing menyertai PN dengan maklumat yang tidak berapa tepat dengan andaian UMNO akan menyertainya kemudian.

6. Walaupun berkecil hati, UMNO tidak pernah mengeheret isu politik atau pemimpin parti untuk menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin Yassin.

7. Sudah tentu dalam keadaan ini ada Ahli-ahli Parlimen UMNO yang tidak berpuas hati telah memilih jalan yang berbeza dari keputusan pucuk pimpinan parti menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

8. Ini bukan kali pertama berlaku. Selepas PRU-14, ramai juga Ahli Parlimen UMNO menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ada yang keluar parti menyertai beliau.

9. Oleh kerana majoriti kerajaan ini sangat tipis maka ia akan sentiasa bergolak sehinggalah satu PRU baharu diadakan.

10. Dalam masa yang sama rakyat perlu sedar bahawa Dr Mahathir adalah punca kerajaan ini tidak stabil. Kumpulan beliau telah menentang Muhyiddin Yassin walaupun sebelum itu memberi sokongan.

11. Dr Mahathir boleh menstabilkan kerajaan ini dengan menyokong Muhyiddin Yassin bukannya meletak beban kemelut politik ini kepada UMNO.

12. Cukup-cukuplah “mengkambing hitam”kan UMNO untuk kepentingan diri. Jika Dr Mahathir ikhlas beliau boleh kembali menyokong Muhyiddin Yassin dan mengukuhkan kerajaan.

13. Kepada Perdana Menteri yang budiman dan berpengalaman saya fikir eloklah dibubarkan Parlimen demi sebuah kestabilan politik yang baharu.

Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin

Ketua Pemuda

UMNO Bahagian Titiwangsa

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts