MAKLUM BALAS KENYATAAN “INSIDEN LAHAD DATU SATU SANDIWARA” – PANGLIMA ATM

780
SHARES
4.6k
VIEWS

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM dengan ini menegaskan bahawa ATM amat terkesan dengan kenyataan seorang ahli politik yang mengaitkan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 adalah merupakan suatu sandiwara negara. Tuduhan anggota ATM hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing juga merupakan tuduhan yang tidak benar. Tuduhan itu juga memperlekehkan tugas serta tanggungjawab anggota tentera serta pasukan keselamatan lain dalam mempertahankan kedaulatan negara ketika itu. Ini merupakan suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali di mana kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban baik ATM mahupun di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Adalah ditegaskan ATM berperanan sebagai benteng pertahanan negara di mana organisasi ini sentiasa bersedia pada sebilang masa dalam melaksanakan tugas terutamanya dalam mendepani pelbagai ancaman. Walau apapun halangan atau cabaran yang mendatang, aspek pertahanan negara sentiasa didahulukan bagi mengekalkan kesejahteraan dan kedaulatan negara ini.

ATM yang kini 87 tahun pada 16 Sep 2020 lalu, menyaksikan telah banyak darah, pengorbanan dan keringat mereka terdahulu yang dicurahkan demi memastikan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan buat rakyat Malaysia pada hari ini sentiasa terpelihara. Kenikmatan yang tersedia ini tidak datang bergolek, sebaliknya ia telah meriwayatkan satu perjuangan yang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi tercinta ini.

Adalah diingatkan, agar rakyat Malaysia tidak sesekali mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kemudaratan terhadap keharmonian negara. Peranan rakyat Malaysia seharusnya bersama pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan maruah negara kerana ia merupakan tanggungjawab bersama.

ATM dengan sokongan dan keprihatinan kerajaan serta rakyat akan terus dipersiapkan untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan. Keupayaan ATM pada masa kini bukan sekadar berupaya mempertahankan kedaulatan negara, malah ATM juga berupaya untuk menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang dinaungi negara.

“KEDAULATAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA”

21 SEPTEMBER 2020

(Dikeluarkan pada jam 5.30 petang)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts