MUHYIDDIN PERLU UBAH ‘STRATEGI KERAS’ DEMI SURVIVAL POLITIKNYA SENDIRI

700
SHARES
4.1k
VIEWS

1. Ada banyak perkara yang perlu Tan Sri Muhyiddin Yassin lakukan termasuk meminta maaf kepada majoriti rakyat Malaysia terutamanya Melayu Islam yang terbeban dan tertekan semasa Pakatan Harapan memerintah.

Rujuk “12 Perkara Muhyiddin dan Bersatu perlu minta maaf” di pautan; https://editormalaysia.com/16798/

Beliau juga perlu dinasihatkan dengan strategi politik yang betul dan lebih praktikal jika ingin mengambil hati rakyat terutamanya orang Melayu dan Islam.

Muhyiddin tidak boleh menggunakan cara keras ala Mahathir apatah lagi apabila berdepan dengan parti politik Melayu Islam yang lebih lama dan berpengalaman daripada partinya. 

2. Muhyiddin tidak boleh tertipu dengan strategi menangani isu Covid-19 yang dilihat amat berkesan sehingga mendapat pujian dalam dan luar negara kerana sebenarnya ia banyak dibantu oleh penjawat awam yang sedia berdisiplin, pakar, komited dan cekap dalam melaksanakan tugas-tugas hakiki mereka. 

3. Beliau juga tidak boleh terpukau dengan strategi sementara untuk menaikkan beliau melalui ‘Abah’ – Pak Long, Pak Lang ini semua akan ‘basi’ dan tidak relevan apabila semakin lama digunakan, yang akan membuatkan rakyat akan mula menyampah dan muak. Bersatu perlu kepada strategi lain yang lebih matang. 

4. Muhyiddin terlihat lebih banyak “duduk di belakang” Menteri-menterinya dan sehingga kinipun tidak banyak membuat kenyataan yang sepatutnya seorang Perdana Menteri lakukan. Terutamanya dalam menangani isu-isu sensitif – bagi membina keyakinan rakyat terhadapnya. 

5. Beliau perlu lebih menonjolkan diri, atau setidak-tidaknya melakukan tinjauan lapangan, walaupun secara senyap-senyap. Ia bagi menyantuni dan mengetahui hal ehwal masyarakat – yang akan ‘dihidu’ juga oleh pihak media dan memberi mileage politik yang baik buat beliau.

6. Amat baik sekali jika Muhyiddin mulakan dengan berjumpa keluarga arwah Muhammad Adib Mohd Kassim terlebih dahulu, mengikut keutamaan yang perlu disegerakan.

Jika pihak kerajaan termasuk para menteri boleh beriya menyantuni dan meminta maaf terhadap pelajar Veveonah Mosibin hanya apabila Timbalan Menteri tersalah cakap, apatah lagi pentingnya Muhyiddin bertemu dan menyantuni keluarga arwah Adib yang terbunuh ketika berkhidmat untuk negara, yang masih belum mendapat pembelaan sewajarnya.

7. Selain isu arwah Adib, isu lain seperti penghinaan berleluasa terhadap agama Islam dan Raja-raja Melayu, isu meremehkan Perlembagaan, isu RCI Tabung Haji yang entah bila akan dibuat, isu Dong Zong dan sekolah vernakular wajar ditangani segera. Termasuk juga isu bendera diubah dan diterbalikkan serta isu penghinaan terhadap Jata Negara yang perlu beliau tangani.

Selagi Muhyiddin tidak tampil sendiri menjelaskannya, selagi itulah rakyat akan menilai beliau tidak ikhlas membuat kerjasama politik dengan parti Melayu Islam yang lain bagi membawa agenda memperkasa agama, bangsa dan negara. 

8. Muhyiddin tidak boleh dilihat lemah dan asyik menyorok di balik tabir kerana takut diserang Tun Mahathir dan Pakatan Harapan. Beliau lebih banyak ‘play safe‘ dan bukannya ‘play smart‘. Aura takut kepada Tun Mahathir yang sedang ‘menggelegak’ marah terhadapnya wajar disembunyikan. 

9. Muhyiddin juga wajar meneliti kembali para penasihat dan ‘pakar’ strategi politik di sekelilingnya yang tidak lagi memberikan impak dan nasihat yang sesuai malah cenderung kepada membina ‘kubu’ di sekelilingnya.

Tindakan beberapa kerat ‘gatekeeper‘ Muhyiddin ini tidakpun memberi keuntungan kepadanya malah bakal membenam beliau lebih awal daripada dijangka. Survival politiknya di hujung tanduk jika Muhyiddin masih angkuh, lambat sedar dan masih selesa dengan nasihat-nasihat ‘bernas’ orang-orang di sekelilingnya. 

10. Diburukkan dengan isu staf kanan beliau sendiri yang baru sahaja Muhyiddin sedari rupa-rupanya kesetiaannya dicurahkan kepada Tun Mahathir. Tetapi entah kenapa selepas Muhyiddin menyedarinya beliau masih mengekalkan staf tersebut. Ini juga dilihat antara punca kelemahan yang akan menyusahkan beliau di kemudian hari.

11. Selain itu, siapa tidak tahu masalah Muhyiddin yang berkali-kali mengelak berjumpa dan berbincang dengan ahli politik tertentu, kecuali mereka yang disenanginya sahaja. Ada individu berpengaruh dan penting yang sejak Perikatan Nasional memerintah, Muhyiddin masih mengelak berjumpanya sehingga kini walaupun beberapa kali perjumpaan cuba diadakan.

Tidakkah ini merugikan? Salahkan menyantuni saudara seIslam lain yang mempunyai agenda yang serupa dengan partinya? Tidak mungkin saudara seIslamnya ini lebih buruk dari DAP yang pernah disantuninya suatu ketika dahulu.

Persoalan lebih penting, sampai bila Muhyiddin hendak mengelak? 

12. Muhyiddin perlu sedar diri, beliau memerlukan orang Melayu Islam untuk kekal berkuasa. Jika keras caranya, lebih keraslah tentangan yang akan diterimanya. Jika lembut dan berhemah caranya maka lebih lembut dan berhemahlah rakyat akan datang kepadanya. 

13. Orang Melayu Islam di negara ini lembut sifatnya, pendatang disantuni malah lebih kaya darinyapun tidak mengapa asalkan saling hormat menghormati, hidup berharmoni dan jangan sesekali menyentuh hak dan sensitiviti agama Islam dan bangsa Melayu. 

14. Begitu juga UMNO, seluruhnya adalah Melayu Islam dan Bumiputera. Jika tidak kena caranya maka mereka akan semakin menjauhi Muhyiddin. Untuk ‘mengikat’ mereka, ikatlah ketuanya.

Jika ketuanya dizalimi, ditindas, maka bangkitlah mereka marah dan lebih teruk mungkin ‘menyerang’ kembali. Ini tidak balas ‘alami’ atau retaliation yang sekeliling Muhyiddin buat-buat tidak nampak, berasa besar diri kerana angkuh mempunyai kuasa di tangan. 

15. Muhyiddin jangan lupa hakikatnya orang Islam ini bersaudara, dicubit paha kiri paha kananpun terasa. Jangan dipandang remeh sekitar 3.5 juta ahli UMNO – yang sedang dipandang lekeh oleh Muhyiddin. 

Jika Muhyiddin tidak menempatkan mereka di hatinya, jangan harap mereka akan menempatkan Muhyiddin dan Bersatu di hati mereka. 

16.  Isu penolakan terhadap UMNO pada PRU-14 tidak lagi boleh diambil kira setelah gagalnya Pakatan Harapan memerintah setelah hanya 22 bulan berkuasa. Sehinggakan Muhyiddin sendiri terpaksa ‘merangkak’ mencari ‘dahan baru’ untuk berpaut.

17. Kini formula telah berubah, Muhyiddin dan Bersatu akan terus ketinggalan jika masih berkeras menggunakan formula lapuk meminta pihak lain berkorban tanpa ada sesuatu yang ditawarkan. Bersatu perlu sedar diri dan bukannya asyik bermegah apabila di puncak kuasa.

18. Cukup-cukuplah Muhyiddin terpedaya dengan orang di sekelilingnya yang berhelah kononnya semakin ramai menyertai Bersatu. Malah jika ada ramai Ahli Parlimen melompatpun tidak berguna, bila-bila masa sahaja mereka boleh melompat lagi mengikut siapa berkuasa. 

Muhyiddin tidak boleh lagi tertipu dengan “kabinet bersih”nya, kerana ada juga yang tidak  bersih dan liberal turut dilantik. Muhyiddin juga kena mula belajar mendengar pandangan-pandangan lain di luar ‘circle‘ beliau yang mengongkongnya daripada bersikap lebih lembut. 

19. Terkini lihatlah bagaimana kenyataan beliau yang lebih awal mengumumkan Datuk Hajiji Mohd Noor, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah sebagai Ketua Menteri sekiranya Perikatan Nasional menang di PRN Sabah. 

Ini bukti jelas yang menunjukkan Muhyiddin membelakangkan rakan-rakan lain dalam Muafakat Nasional. Malah rakan penaja Perikatan Nasional sendiri iaitu PAS juga tidak dihirau, walaupun PAS rela berkorban memberi laluan mudah kepada Bersatu untuk bertanding. 

Namun tiba-tiba tanpa rundingan, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bakal Ketua Menteri Sabah adalah daripada partinya sendiri.

Bukankah ini membelakangkan semangat setiakawan dan seolah-olah menikam rakan dari belakang?

Mujurlah Datuk Seri Zahid Hamidi tampil membetulkan keadaan dengan mengatakan bahawa “Ketua Menteri Sabah hanya akan dipilih oleh ADUN BN dan rakan kongsi apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu.” – lebih rasional dan tidak membelakangkan rakan-rakan yang lain. 

20. Inilah masalahnya apabila Muhyiddin terlalu mempercayai nasihat salah oleh ‘circle‘ di sekelilingnya. Adakah Muhyiddin mampu terima hakikat sekiranya Bersatu ditinggalkan bersendirian kerana dilihat semakin angkuh membuat keputusan tanpa rundingan? 

Hanya masa yang menentukan, kerana ‘belang’ Muhyiddin dan Bersatu semakin kelihatan, yang wajar beliau neutralkan demi perpaduan dan agenda bersama rakan sekutu yang lain.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts