SMART TUNNEL YANG ‘TIDAK SMART’ UNTUK MENGATASI BANJIR KILAT

571
SHARES
3.4k
VIEWS

Semalam, 10 September 2020, hujan lebat yang turun dari tengahari selepas Zohor telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di kotaraya Kuala Lumpur, walaupun kotaraya ini bangga kerana mempunyai Smart Tunnel yang khabarnya boleh mengatasi masalah banjir jika berlaku di Kuala Lumpur, terbukti Smart Tunnel ‘tidaklah smart’ sebagaimana kehebatannya diuar-uarkan dahulu.

2. Kita masih tertanya-tanya apa punca sebenar masih boleh berlaku banjir kilat sedangkan kita sudah ada Smart Tunnel dan hujan yang turun pula tidaklah terlalu lebat sampai berhari-hari lamanya, hanya beberapa jam saja, Kuala Lumpur sudah dilanda banjir besar menenggelami beberapa jalan utama.

3. Banjir kilat yang berlaku semalam membuktikan bahawa Smart Tunnel adalah projek kerajaan yang gagal, ini kerana ia tidak mampu menampung kapasiti air hujan yang turun mendadak tanpa henti hanya dalam 2-3 jam sahaja, dengan air yang sebanyak itupun boleh menyebabkan banjir kilat. Apa fungsi sebenar Smart Tunnel yang berbilion ringgit kos pembinaannya, termasuk kos operasi yang tinggi dan peralatan yang dikatakan serba terkini dan tercanggih? Apapun yang betul-betul ‘smart‘ ialah kontraktor yang dapat projek gajah putih ini yang bernilai berbillion-billion ringgit.

4. “Stormwater Management and Road Tunnel” atau ringkasnya SMART adalah suatu struktur jalan dan perparitan yang terletak di Kuala Lumpur dan merupakan satu projek kebangsaan negara. Ia merupakan terowong lencongan air yang terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia. Panjang terowong ini adalah sepanjang 9.7 kilometer tetapi laluan untuk kenderaan hanyalah 3.3 kilometer sahaja, selebihnya untuk menampung lambakan air jika berlaku banjir.

5. Objektif utama Smart Tunnel ini adalah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan juga untuk mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang Jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew di Pudu apabila berlaku kesesakan kenderaan. Maknanya terdapat dua tujuan pembinaan terowong ini iaitu terowong air dan terowong jalan raya.

6. Terowong ini bermula dari tasik Kampung Berembang berdekatan dengan Sungai Klang di Ampang dan berakhir di tasik Taman Desa berdekatan dengan Sungai Kerayong di Salak Selatan. Projek ini diketuai oleh kerajaan, termasuklah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga satu syarikat pakatan kerjasama di antara Gamuda Berhad dan Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC).

7. Sama ada terdapat pembabitan rasuah atau tidak, menteri yang diamanahkan jawatan dan yang memberi kelulusan harus memikul tanggungjawab atas projek gajah putih dengan kos yang sangat besar. Dari mula projek ini bermula sampai ke hari ini setiap kali hujan lebih sedikit dalam beberapa jam, Kuala Lumpur akan dilanda banjir besar. Pertamanya pada 13 Disember 2011 sebaik Smart Tunnel yang pertama siap dibina iaitu bersebelahan dengan Jalan Sungai Besi.

8. Kemudian beberapa kali insiden kecil-kecil an di sana-sini di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur dan alasan masa itu adalah kerana kegiatan pembinaan jejantas sedang rancak berjalan dan tersumbatnya longkang dengan tanah adalah perkara biasa. Alasan ini juga tidak munasabah kerana ia menunjukkan kegagalan pihak kontraktor menjaga kebersihan dan keselamatan di tempat kerja. Biasanya SOP kerja setelah selesai kerja setiap hari pegawai bertugas mesti memastikan keadaan di tempat kerja mesti selamat dan bersih sebelum meninggalkannya.

9. Adalah difahamkan dahulu bahawa Pembinaan Smart Tunnel ini diluluskan untuk mengatasi masalah banjir tetapi jika masalah banjir tetap juga berlaku sudah tentu orang ramai mengesyaki sesuatu tidak kena di sebalik projek mega sebesar ini dengan kos berbilion ringgit tetapi masih juga lagi gagal mengatasi masalah banjir, jika begitu untuk apa ia dibina, tidakkah ia satu pembaziran?

10. MUAFAKAT mendesak supaya pihak yang berwajib segera siasat apa sebenarnya yang sedang berlaku, mengapa dengan belanja yang begitu besar masalah banjir masih terus menerus berlaku, di manakah silapnya? Adakah ada unsur-unsur rasuah di sebalik projek ini? Jika ada, maka tanpa memilih bulu mereka yang terlibat harus dikenakan tindakan sewajarnya. “Rule of law” akan menjadi retorik ahli politik untuk menang apabila yang melaungkannya terkecuali.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts