WIRAWATI PUTRA GESA KERAJAAN TAMBAH BAIK PELAN SISTEM PENYURAIAN BANJIR DI IBU NEGARA

364
SHARES
2.1k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN WIRAWATI PUTRA MALAYSIA

1. Banjir kilat di bandaraya Kuala Lumpur adalah satu perkara sinonim setiap kali hujan lebat. Lebih teruk lagi apabila melibatkan kerugian terhadap rakyat bila mana kereta dan motosikal yang mereka gunakan untuk mencari nafkah terendam di dalam air hingga merosakkan fungsi enjin dan sebagainya. Walaupun ada segelintir yang mempunyai insurans bencana alam, namun ia masih menjadi risiko kepada rakyat yang tidak memilikinya setiap kali berlaku hujan lebat di ibu negara.

2. Wirawati PUTRA Wilayah Persekutuan merasa terkilan kerana hal ini masih belum dapat diselesaikan sehingga kini. Ia sewajarnya menjadi keutamaan kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertingkatkan kemampuan sistem penyuraian banjir di ibu kota. Jika mereka benar-benar fokus untuk menyelesaikan hal ini, pasti pelan yang terancang dan teratur diumum dan diusahakan agar rakyat rasa lebih selamat apabila berlaku hujan lebat. 

3. Hujan lebat di Kuala Lumpur hari ini yang dicatatkan mencecah 1.5 meter sekali lagi menyaksikan kawasan-kawasan utama termasuk penempatan di Kampong Bharu, KL digenangi air. Begitu juga kawasan-kawasan yang disekitarnya ada tapak pembinaan dan pembangunan yang berkemungkinan menghalang pengaliran air sama ada secara sengaja atau tidak.

4. Sebenarnya, penghuni bandaraya dan pengguna jalan raya sudah muak berhadapan dengan masalah banjir terutamanya ketika waktu puncak. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga berlakunya suatu tragedi untuk bertindak menyelesaikan masalah yang semakin meruncing ini.

5. Wirawati PUTRA menyarankan agar pihak berkuasa seharusnya menyediakan pelan komprehensif untuk menyelesaikan isu banjir kilat dengan segera kerana orang ramai tidak sepatutnya diselubungi dengan masalah ini secara berterusan. Kerajaan wajar memikirkan kaedah seperti menambah laluan sistem saliran air serta menambah kawasan takungan dan tidak sekadar mengharap kepada terowong SMART dan sistem takungan sedia ada kerana pertambahan bangunan di bandaraya akan terus mengurangkan kecekapan kadar penyerapan air di ibu negara.

Sekian.

Nurhafizah Jamalludin

Naib Ketua Wirawati PUTRA Malaysia merangkap Ketua Wirawati PUTRA Wilayah Persekutuan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts