TIADA KEMAKMURAN BERSAMA DALAM RANTAIAN INDUSTRI GETAH JIKA PEKEBUN KECIL DAN PENOREH DIABAIKAN

34
SHARES
377
VIEWS

Saya ingin mencetuskan diskusi awam dan akademik berkenaan mengapa kekayaan Industri ini tidak dinikmati dengan adil oleh pengeluar bahan mentah sedangkan eksport produk getah kita sangat tinggi dan maju. Ayah saya seorang penoreh getah sambilan selepas bersara, beliau banyak memberi maklumat harga getah dalam peringkat lokal. Saya juga ada berbincang dengan salah seorang ahli Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), seorang Timbalan Pengarah Lembaga Getah Malaysia dan beberapa orang lama dalam industri ini. Kita biasa dengar cerita penoreh yang tidak cukup makan apabila harga getah jatuh sangat rendah sekitar RM1 lebih sahaja, lebih murah dari segelas teh tarik di restoran.

Penoreh juga ada yang tidak peka dengan insentif dan peraturan seperti tidak mendapatkan resit bercop dan bernombor ketika menjual getah menyebabkan mereka tidak menikmati bantuan Insentif Pengeluaran Getah (Bayaran bantuan ‘top-up‘ harga getah sehingga cukup RM2.50 jika harga jatuh bawah dari RM2.50). Industri getah Malaysia juga sebenarnya banyak bergantung kepada negara asing terutamanya Thailand. Pengeluaran dalam negara sebanyak 673,513 MT setahun tidak mencukupi menyebabkan Malaysia menjadi pengimport getah asli ketiga terbesar didunia pada jumlah 930,333 MT setahun selepas China dan USA sedangkan kita adalah negara pengeksport produk getah ke-4 terbesar di dunia dengan jumlah eksport 1.017 juta MT setahun.

Majoriti getah mentah yang dihasilkan dalam negara adalah dalam bentuk skrap (beku) yang akan diproses menjadi blok getah dipanggil Standards Malaysian Rubber (SMR). Kita menghasilkan 633,148 MT getah skrap setiap tahun. SMR digunakan untuk membuat produk yang lebih bersifat pejal seperti tayar dan pelapik getah untuk industri. Getah mentah cair atau dipanggil lateks sangat sedikit dihasilkan di Malaysia kerana dikatakan sukar diuruskan kerana bentuknya adalah cecair. Ia perlu dicampurkan dengan larutan ammonia untuk mengelakkan ia membeku dan disimpan dalam tong khas. Tanpa latihan pengendalian yang baik, lateks mudah tumpah dan menyebabkan kerugian. Lateks digunakan untuk membuat sarung tangan getah, kondom dan produk-produk medikal.

Walaupun harga lateks lebih mahal tetapi ia tidak diutamakan oleh pihak berwajib kerana dikatakan harganya masih tidak setimpal dengan tambahan kerja dan masa yang diperlukan untuk memproses lateks berbanding getah skrap yang lebih mudah dikumpulkan oleh penoreh. Pengeluaran lateks berkurangan kepada 40,000 metrik tan (MT) ketika ini sedangkan keperluannya meningkat setiap tahun.

300,000 MT lateks diimport setiap tahun, 99.8 peratus daripada Thailand. Sedangkan, Malaysia adalah pengeluar terbesar sarung tangan getah medikal, nitrile butadiene rubber (NBR) dan kondom. Sekarang sewaktu Zaman COVID-19, jurang ekonomi dalam sektor ini lebih ketara kelihatan.

Di Malaysia lahir 5 billionair baru dari sektor penghasilan produk getah terutama sarung tangan getah dan alatan perubatan. Saya faham bahawa margin untung pengeluar bahan mentah dan margin untung pengeluar produk mestilah berbeza. Tetapi mengapa margin untung pengeluar bahan mentah mengecil sedangkan margin untung pengeluar produk meningkat. Sepatutnya kedua-duanya meningkat pada kadar yang setara pada ketika ini. Sewaktu Covid-19, harga getah jatuh sehingga RM1.80 daripada sekitar RM2.50 sebelum Covid-19. Kerajaan mesti bertindak untuk memperbaiki ekosistem industri getah yang tidak seimbang ini sama ada dari sudut isu kebajikan pekebun dan penoreh kecil dan pekerja ladang getah serta isu kebergantungan bahan mentah getah asli daripada negara luar. 

Saya mengalu-alukan tindakan kerajaan menaiktaraf Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) kepada Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi berasaskan getah dalam negara. Telah diumumkan di media bahawa MRC akan melihat pembangunan industri getah di peringkat hulu (upstream), tengah (middle) dan hiliran (downstream).

Namun begitu persoalan berkenaan perkongsian kekayaan dalam industri ini masih belum terjawab oleh MRC apabila diumumkan program-program yang dilancarkan oleh MRC dalam media baru-baru ini. Banyak bantuan subsidi yang diberikan kepada industri hiliran dan tidak disebut berkenaan pekebun dan PENOREH. MRC memberikan subsidi dana RM20 juta untuk automasi dan teknologi hijau, RM3 juta dana hubungan industri, RM36 juta dana untuk mendorong syarikat hiliran getah mengambil lebih banyak pekerja tempatan. MRC juga memberikan biasiswa untuk graduan Master dan Phd mendaftar dalam program Graduan Profesional Teknologi Getah yang ditawarkan oleh Plastics & Rubber Institute Malaysia (PRIM) dan UniKL. Tidak ada apa-apa untuk pekebun dan penoreh, paling kurangpun, berilah biasiswa pelajaran khas kepada anak-anak pekebun dan penoreh.

Tidak dinafikan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Industri Getah (RISDA), ada bantuan untuk pekebun kecil seperti tanaman semula, baja, bantuan musim tengkujuh dan ‘top-up’ harga ke RM2.50 (IPG) namun jelas ia tidak mengubah status-quo industri. Sejak sekian lama, para pekebun dan penoreh telah memohon agar diberikan harga lantai getah skrap dan lateks sebanyak RM3 hingga RM4 namun ditentang oleh pihak industri. Malahan, cukai cess produk getah yang sepatutnya dibayar oleh pihak industri hiliran juga disalurkan bebannya kepada pekebun dengan potongan harga jualan getah di kilang pemprosesan. Matlamat cukai ini sepatutnya adalah perkongsian kekayaan daripada mereka yang untung lebih kepada mereka yang kurang beruntung. Apa yang berlaku adalah seolah-olah yuran dikutip daripada orang miskin kemudian wang tersebut digunakan kembali untuk subsidi.

Mugkin kerana industri hiliran getah banyak bergantung kepada getah import dari Thailand dan Vietnam menyebabkan nasib pekebun dan penoreh getah tempatan tidak begitu diendahkan oleh pemain besar industri hiliran ini dalam hal tawaran harga yang lebih baik. Kita perlu sedar bahawa pengabaian terhadap pengeluaran getah tempatan ini akhirnya nanti akan turut merugikan industri hiliran getah.

Kebergantungan kepada getah asli import menyebabkan pengeluaran produk getah Malaysia sentiasa berisiko untuk mendapatkan bekalan bahan mentah yang mencukupi dengan harga yang berpatutan sepertimana yang sering berlaku. Di media-media tempatan Thailand, kerajaan mereka sudah mula berbicara tentang menaiktaraf industri hiliran getah untuk menjadi pengeluar produk getah utama. Thailand boleh sahaja mengurangkan eksport bahan mentah atau mengenakan cukai eksport yang lebih tinggi dan mensubsidikan serta memberi insentif kepada industri hiliran getah mereka dengan lebih banyak.

Dengan keuntungan berganda industri hiliran getah, tiba masanya pihak kerajaan menaikkan cukai cess export kepada jumlah yang lebih berpatutan dan satu mekanisme dirangka untuk mengelakkan cukai ini dibebankan pula kepada pekebun. Penetapan harga lantai pula dapat mengurangkan eksploitasi harga kepada pekebun. Bayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) mestilah ditukar daripada top-up harga sehingga RM2.50 kepada bayaran tambahan untuk setiap kilo getah yang dihasilkan sama seperti Insentif Harga Padi untuk menggalakkan pengeluaran bahan mentah tempatan. Para pekebun dan penoreh juga mesti diberi latihan dan kemahiran mengendalikan lateks dengan lebih efisien dan infrastruktur dan alatan yang berkaitan mesti disediakan untuk menggalakkan pengeluaran lateks tempatan.

Sudah tiba masanya para pekebun kecil dan penoreh getah bersuara dengan lebih lantang dan bekerjasama dengan lebih rapat bersama pihak kerajaan untuk memastikan kebajikan mereka dipelihara sepertimana pihak kerajaan menjaga kebajikan pemain industri hiliran. Keseimbangan kek ekonomi dalam industri getah bukan sahaja akan menjamin kebajikan pekebun kecil dan penoreh malah akan membantu negara mengurangkan kebergantungan kepada sumber asli import.

Sejak tahun 2018 lagi sebenarnya saya dan rakan-rakan telah mula mengkaji, membuat field trip dan dialog ringkas berkenaan pekebun dan penoreh getah, tetapi gerakan untuk melaksanakan advokasi dan membela nasib pengeluar bahan mentah yang menuntut perkongsian ekonomi yang lebih adil ini memerlukan komitmen yang tinggi. Kerja ini sukarela, bermakna tidak ramai yang boleh memberi fokus menyiapkan kajian dan melaksanakan gerak kerja. Saya mengambil kesempatan mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk kita sama-sama memulakan gerakan ini.

NURFITRI AMIR B MUHAMMAD

Penyelidik dan aktivis sosial

Merangkap Setiausaha Agung

IDRIS Association

5 September 2020

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

No Content Available