RAKYAT MALAYSIA TIDAK BOLEH ‘BUTA’ BAHASA KEBANGSAAN

607
SHARES
3.6k
VIEWS

Tindakan beberapa ahli DAP Sarawak menampal tulisan Cina pada papan tanda jalan raya jelas memperlihatkan bahawa mereka telah ketandusan idea dalam memperjuangkan agenda parti mereka sehingga sengaja melakukan provokasi murahan agar perkara ini menjadi isu dan seterusnya membangkitkan sentimen kaum Cina menyokong DAP.

2. Jangan disebabkan terdesak meraih undi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak, DAP Sarawak dengan sengaja membangkitkan isu-isu sentimen perkauman bagi memecahkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum yang telah lama wujud di negeri Sarawak.

3. Sama ada rakyat Malaysia itu daripada kaum mana sekalipun, bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan bagi negara kita dan sudah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dan silibus pendidikan negara menetapkan bahawa Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan yang diajar di sekolah-sekolah dalam negara kita, serta menjadi bahasa yang sepatutnya difahami dan dipertuturkan oleh semua kaum. Bahasa Melayu juga bahasa perantaraan di kalangan rakyat yang cintakan negara Malaysia.

4. Tanpa sebarang pengecualian kerajaan wajib mengekalkan hanya satu bahasa sahaja terpakai pada papan tanda, bukan hanya pada papan tanda jalan raya termasuk juga papan tanda iklan dan produk jualan. Tindakan meletakkan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa utama negara merupakan tanda kedaulatan sesebuah negara yang merdeka yang harus dipertahankan dengan bersungguh-sungguh.

5. Kita tidak bersetuju dengan kerajaan yang membenarkan tulisan di papan-papan tanda jalan raya menggunakan ejaan selain Bahasa Kebangsaan kerana ini menampakkan kepada dunia luar seolah-olah negara Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan selama 63 tahun masih ada rakyatnya yang buta huruf tidak tahu membaca tulisan dalam Bahasa Kebangsaan.

6. Bahasa Kebangsaan negara kita adalah Bahasa Melayu maka pembinaan jati diri rakyat juga bergantung kepadanya bagi pemupukan semangat perpaduan pelbagai bangsa termasuk pecahan suku kaum.

7. Maka, perlu diwajibkan di awal usia rakyat Malaysia – bermula daripada pendidikan awal telah menggunakan Bahasa Kebangsaan di semua sekolah rendah dan menengah serta tiada pengecualian samada di sekolah kebangsaan atau sekolah vernakular.

8. Serta diguna secara lebih luas dalam segala bentuk komunikasi seperti berjual beli, tempat bekerja, papan-papan tanda, iklan, hatta pada sarikata rancangan dan drama TV serta pada semua surat rasmi kerajaan, begitu juga pada laman web kerajaan. Tidak patut masih ada lagi yang jahil tidak tahu membaca tulisan Bahasa Kebangsaan?

9. Perbuatan menampal tulisan Cina oleh DAP menggambarkan ramai dari kalangan kaum Cina tidak tahu berbahasa Kebangsaan atau Bahasa Melayu. DAP sendiri sedang menghina kaum Cina kononnya majoriti masih buta huruf atau bodoh tidak pandai membaca tulisan Bahasa Melayu. Atau ini satu cara menzahirkan kebencian atau sikap rasis melampau terhadap apa-apa yang berkait dengan Melayu oleh Cina cauvinis DAP?

10. Tindakan oleh DAP ini juga merupakan vandalisme. Tindakan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 103 (3), Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 kerana mencacatkan nama di papan tanda nama jalan dan juga Undang-undang Kecil PBT (Kebersihan) 1999 kerana salah laku terhadap harta benda milik pihak berkuasa tempatan atau kerajaan. MUAFAKAT beranggapan memohon maaf sahaja tidak cukup, tindakan undang-undang perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada orang yang tidak menghormati undang-undang.

11. Kesimpulannya, MUAFAKAT selaku PIBK (Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap, rasis dan yang boleh menimbulkan kegusaran di kalangan kaum oleh sebahagian kaum Cina yang cauvinistik ini. Tindakan tegas dan hukuman keras harus diambil bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam kancah peperangan dalaman kelak.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Penerangan PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts