SARANAN AGAR BERSATU DIBUBARKAN, SERTAI UMNO ATAU PAS

565
SHARES
6.3k
VIEWS

Oleh Shahbudin Embun

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa jumlah parti politik yang terlalu banyak  dan isu  perkauman di mana rakyat mengundi mengikut kaum masing-masing, menyebabkan negara ini tidak stabil.

Menurutnya, oleh itu rakyat perlu bijak memilih parti yang terbaik selain memberi sumbangan kepada negara apabila diberi pilihan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sejajar dengan saranan mantan Perdana Menteri itu, seharusnya Bangsa Melayu bernaung hanya di bawah parti yang telah berakar umbi dan mempunyai sejarah yang panjang seperti UMNO dan PAS.

Sejarah lampau telah membuktikan apabila Parti Melayu Semangat 46 (S46) ditubuhkan, orang Melayu berpecah-belah. Akhirnya pada tahun 1996 S46 dibubarkan dan ahli-ahlinya memasuki UMNO secara ‘en block‘.

Demi survival bangsa, adalah disarankan supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibubarkan. Ahli-ahli parti tersebut boleh memilih sama ada menyertai UMNO atau PAS.

Kebetulannya pada tahun hadapan (2021), UMNO akan mengadakan pemilihan parti disemua peringkat. Oleh itu ahli ahli PPBM berkesempatan menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan.

Tan Sri Muhyiddin Yasin boleh menawarkan diri bertanding sebagai Presiden UMNO. Disebabkan populariti beliau dewasa ini, dijangka Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak menghadapi masaalah untuk memenangi jawatan tersebut.

Buanglah yang keruh, ambil yang jernih. Carik-carik bulu ayam lama lama bercantum jua. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Lupakan politik dendam dan janganlah seboleh-bolehnya mengamalkan strategi pecah dan perintah. Apabila bangsa Melayu berpecah-belah, maka lemahlah Melayu. Melayu terbela maka Islam secara tidak langsung akan terbela dan berdaulat.

Ingatlah semua pemimpin-pemimpinku bahawa sampai bila kita ingin lihat perpecahan sesama kita kerana perbezaan politik dan Muafakat Nasional telah dimenterai dengan piagamnya yang penuh bermakna. Tunjukkanlah bahawa bangsa Melayu boleh bersatu dan berukhwah dan bukankah kita semua ingin menyaksikan perpaduan ummah itu sebagai satu lambang kekuatan Melayu dan ikatan penyelamat negara Malaysia?

Ayuh mari kita berselawat kepada Nabi SAW dan menghulurkan tangan demi bangsa, agama dan tanahair.

Penulis merupakan penganalis Politik merangkap Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan