KETUANAN MELAYU – NASIR OTHMAN

621
SHARES
3.7k
VIEWS

Jika anda seorang Melayu maka menjadi kewajipan mempertahankan KETUANAN MELAYU. Hakikat dan konsep Ketuanan Melayu perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas dan terbuka, bukan hanya dilihat dari sudut yang sempit.

Perlu dilihat dalam konteks asal-usul sesebuah negara termasuk kedudukan geografi di permukaan bumi, bangsa atau kaum, bahasa, budaya, kepercayaan, sifat fizikal dan nilai serta sifat-sifat umum yang lain.

Allah SWT mencipta bumi dari Timur ke Barat. Dibahagikan kepada beberapa benua yang dihuni oleh bangsa dan kaum asal. Contohnya negara Cina dihuni oleh kaum Cina, India dihuni kaum India, Arab dihuni bangsa Arab, Eropah dihuni bangsa Eropah dan Kepulauan Nusantara didiami oleh Melayu Nusantara yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum. Ada Jawa, Boyan, Bugis, Minang, Patani, Jawi Peranakan, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta pelbagai lagi.

Khususnya Tanah Malayu (Malaya) mengikut sejarah asal didiami oleh orang Melayu. Walaupun terdapat penghijrahan daripada Indonesia, asalnya adalah daripada Kepulauan Melayu Nusantara. Kaum pendatang secara ramai-ramai yang dibawa masuk oleh Inggeris dalam abad ke-19 dan awal abad 20-an daripada China dan India untuk tujuan perburuhan perlombongan dan perladangan. Pada awalnya kaum pendatang datang hanya untuk “menumpang kerja” dan kesetiaan mereka masih di negara asal. Perkara ini tertulis dalam sejarah Tanah Melayu.

Berbalik kepada Ketuanan Melayu, Tanah Melayu adalah diperintah oleh Raja-raja Melayu yang asalnya daripada Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor Riau. Setelah campur tangan Inggeris yang menguasai pentadbiran dan sistem percukaian, Raja-raja Melayu hanya berkuasa ke atas hal ehwal agama lslam dan Melayu.

Selain ‘putar belit’ lnggeris, wujudnya perebutan takhta dan ancaman Siam telah memberi peluang kepada Inggeris untuk meluaskan pengaruh pentadbiran mereka dalam negeri-negeri Melayu.

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan atas persetujuan Raja-raja Melayu, bangsa Melayu diwakili UMNO, wakil-wakil kaum Cina melalui MCA dan MIC mewakili kaum India, sepakat menerima dan mengiktiraf Perlembagaan dan “Kontrak Sosial” serta kewarganegaraan yang diberi secara “Jus-soli” kepada kaum pendatang. Ini adalah fakta sejarah.

Tanah Melayu ketika itu berhadapan dengan keganasan komunis, ramai yang terkorban terutamanya orang-orang Melayu yang mempertahankan negara ketika itu. Keganasan komunis bukan sahaja mengorbankan nyawa tetapi juga infrastruktur, bangunan awam dan lain-lain kemudahan. Barisan hadapan yang mempertahankan Tanah Melayu daripada ancaman komunis  ketika itu majoritinya terdiri daripada bangsa Melayu.

Pengisian kemerdekaan di peringkat awal berjalan lancar namun kemelut politik bermula setelah Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965 dan tertubuhnya parti DAP, iaitu serpihan parti PAP Singapura yang dipimpin oleh Lim Kit Siang.

Maka bermulalah “politik perkauman”, sehingga kemudian tercetusnya tragedi 13 Mei pada tahun 1969 setelah DAP menang besar dan membuat provokasi terhadap bangsa Melayu.

Pada tahun 1970, kerajaan ketika itu menyedari perpaduan kaum adalah sangat penting. DEB diperkenalkan untuk mengimbangi kuasa ekonomi dengan penyertaan 30 peratus Bumiputera namun sehingga kini hasrat mengimbangi ekonomi tersebut masih belum tercapai. Pencapaian Bumiputera dalam sektor tertentu juga masih jauh ketinggalan berbanding dengan kaum-kaum yang lain.

Mungkin di antara punca kaum-kaum lain mempertikaikan Ketuanan Melayu kerana mereka telah berjaya menguasai ekonomi. Kaum ini perlu sedar bahawa di awal kemasukan di Tanah Mereka, mereka dilanda kemiskinan dan tiada yang kaya daripada negara asal mereka.

Oleh kerana Melayu tidak rasis, membiarkan mereka mencari kekayaan di negara ini tanpa sebarang halangan malahan memberi sokongan mereka berniaga. Dibantu oleh Insentif-Insentif kerajaan, penyediaan kemudahan dan infrastruktur, kawasan industri, kemudahan perlesenan dan permit, kontrak-kontrak kerajaan, insentif percukaian dan banyak lagi memudahkan berkembangnya ekonomi mereka.

Kestabilan politik, keamanan, keselamatan, ekonomi terbuka, kemudahan perbankan, adalah  antara kelebihan peluang mereka membina kekayaan di negara ini. Dekad akhir 80-an, 90-an, 20-an perkembangan pesat ekonomi Malaysia memberi kelebihan kepada mereka untuk menguasai ekonomi negara.

Mungkin kerana Melayu ketinggalan jauh dalam penguasaan ekonomi maka mereka mula mempertikaikan Ketuanan Melayu. Dengan sikap rasis dan cauvinis maka mereka berani mempertikai secara terbuka Perlembagaan, Bahasa Melayu, kedudukan Islam dan hak istimewa Melayu ketika PAS dan PKR bersama DAP dalam Pakatan Rakyat.

Mereka lebih berani secara terang-terangan ketika DAP mendominasi kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan. Mereka menentang Jawi hingga ke hari ini, mereka sesuka hati menggunakan Bahasa Cina dan Tamil di papan tanda, iklan kekosongan, premis perniagaan dan sebagainya.

Mereka cuba mengubah fakta sejarah dalam buku teks, provokasi menghina Raja-raja dan agama Islam. Memaksa institusi sekolah menerima budaya mereka dengan menghias tanglung dan sambutan pesta Ponggal dengan alasan perpaduan tanpa menghormati sensitiviti orang lain.

Orang Melayu mempertahankan Ketuanan Melayu adalah demi menjaga kepentingan Melayu dan kedudukan lslam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui sebagai salah satu syarat untuk mendapat kemerdekaan.

Salahkah dari segi agama, undang-undang dan moral jika Melayu mempertahankan hak mereka menurut Perlembagaan? Rasiskah Melayu? Jika bangsa Melayu rasis tidak mungkin bangsa lain boleh berkongsi ekonomi, kuasa politik serta menjaga keselamatan dan keamanan untuk kesejahteraan bersama.

Pengorbanan orang Melayu dan toleransi yang diberikan kepada kaum pendatang minoriti tidak mungkin terdapat pada bangsa-bangsa lain di dunia.

Dalam aspek keagamaan pula, mereka bebas mengamalkan agama masing-masing dan dijamin Perlembagaan. Jika Melayu rasis mana mungkin terdapat patung Buddha terbesar di Kelantan dan DAP malah menganggap PAS yang memerintah sebagai Taliban.

Jika orang Melayu zalim dan rasis terhadap kaum minoriti pendatang, bolehkah kuil dan patung Hindu terbesar di dunia dibina di Batu Caves? Sekarang kuil-kuil dan tokong tumbuh bagai cendawan tiadapun halangan daripada orang-orang Melayu. Cuma kuil-kuil yang dibina secara tidak sah di atas tanah orang lain saja tidak dibenarkan.

Kaum minoriti Cina dan India sendiri yang menganggap mereka  sebagai warganegara kelas kedua di Malaysia. Itu hanya persepsi mereka sedangkan realitinya mereka tinggal di rumah dan apartmen mewah. Mereka mempunyai gedung perniagaan yang besar-besar.

Mereka memonopoli setiap sektor perniagaan dan industri. Sektor peruncitan, pakaian, perkilangan, industri makanan, perkilangan, hardware, pelancongan, pengangkutan, perhotelan dan sebagainya. Manakala pengguna yang terbesar ialah Melayu. Adakah Melayu rasis jika segala keperluan dibeli daripada kedai-kedai mereka?

Industri makanan halalpun malah bukan dikuasai Melayu…

Berbeza rasis kaum minoriti berbanding dengan ‘dianggap rasis’ orang Melayu..

Mereka rasis mempertikaikan hak Melayu manakala Melayu dianggap rasis apabila mempertahankan hak mereka tanpa ‘mengusik’ hak kaum minoriti.

Ketuanan Melayu dijamin oleh Perlembagaan, sesiapa yang mempertikaikan Perlembagaan adalah warganegara yang mengkhianati negara tanpa mengira kaum dan tidak ada jati diri serta semangat patriotisme.

Oleh Haji Nasir Othman 

2 Ogos 2020

(Penulis merupakan Ketua Penaja Negeri Pulau Pinang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – PUTRA) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts