KERAJAAN PN TETAP DISOKONG AHLI-AHLI PARLIMEN SEHINGGA PRU-15, RAKYAT TIDAK MAHU PH KEMBALI MEMERINTAH

527
SHARES
3.1k
VIEWS

Oleh Shahbudin Embun

Ramai rakan-rakan keliru mengenai kerjasama pelbagai parti melalui kerajaan Perikatan Nasional. Ketika ini gabungan Perikatan Nasional masih belum didaftarkan secara rasmi dan lebih kelihatan seperti ‘formasi’ sahaja. 

Ahli-ahli Parlimen termasuk Menteri-menteri Kabinet daripada berbagai parti menjadi pendokong dan penyokong setia Perikatan Nasional yang akan menyokong setiap pengundian dan dasar-dasar kerajaan ketika sidang Parlimen diadakan kelak.

Sebenarnya mereka juga adalah penyokong kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional yang dilantik secara sah oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. 

Pembentukan kerajaan secara ini tidak wujud dalam mana-mana buku pentadbiran negara yang pernah saya baca tetapi ia lebih kepada satu bentuk ‘new normal‘ (istilah baharu semasa pandemik Covid-19 melanda dunia) dan akan tergugat sekiranya ada pembelotan atau penarikan sokongan semasa pengundian terhadap sebarang usul di Parlimen.

Sebagai contoh usul mengenai Belanjawan Tahunan Negara dan jika sekiranya Kerajaan Perikatan Nasional ciptaan TSMY ini gagal mendapat jumlah sokongan yang mencukupi iaitu 112 undian maka dengan sendirinya kerajaan ini wajar memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mandat seterusnya diberikan daripada rakyat untuk membuat pilihan.

Bagi Datuk Seri Zahid Hamidi yang telah mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO memperkasa Muafakat Nasional dan tidak menyertai Perikatan Nasional tetapi tetap menyokong kerajaan sedia, itu adalah keputusan politik yang juga menjelaskan lagi bahawa sehingga hari ini Perikatan Nasional bukanlah satu entiti yang sah sebagai entiti politik seperti Pakatan Harapan ataupun Barisan Nasional.

Parti PAS juga telah mengeluarkan kenyataan media yang senada dengan pendirian UMNO untuk memperkukuh Muafakat Nasional dan kekal menyokong Perikatan Nasional.

Rujuk artikel “PAS PERTEGAS KOMITMEN DALAM MUAFAKAT NASIONAL, PERKUKUH KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL” di pautan; https://editormalaysia.com/15954/

Selain itu, tidak ada keperluan bagi UMNO dan PAS bersama Perikatan Nasional malah PAS serta UMNO sudah jauh kehadapan daripada segi piagamnya dan ikatan mereka  secara rasmi dinamakan sebagai Muafakat Nasional (MN), yang telah menjadi imej ‘goodwill‘ dan mempunyai nilai komersil serta politik kepada orang-orang Melayu amnya.

Bukan itu sahaja, sebelum ini sudah 6 kali Muafakat Nasional menghadapi ujian PRK bersama dan telah berjaya dengan jayanya sehingga kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan runtuh tanpa diduga.

Isu yang wajib kita semua ambil perhatian adalah memang sudah ada niat di hati bahawa parti PPBM atau Bersatu telah dijemput bersama-sama Muafakat Nasional sebagai salah satu daripada parti yang bergabung dan ini menurut saya adalah bagi melengkapkan perpaduan ummah di negara ini.

Selain itu, gabungan ini juga merupakan satu wadah untuk meletakkan Islam, bangsa Melayu dan Bumiputera sebagai tonggak “Kepimpinan Utama Negara”.

Saya berharap agar semua pihak dapat berpakat secara baik dalam suasana ukhwah  kerana dapat dilihat sejak tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke-8 pada hujung Februari lepas, ia telah mendapat ‘high rating‘ sebagai kerajaan yang popular dan diterima rakyat.

Terutamanya melalui dasar-dasar kerajaan yang banyak membantu rakyat dan perniagaan bagi memulihkan ekonomi yang terkesan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat daripada wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia, yang memusnahkan banyak perniagaan sehingga ada yang terpaksa ‘gulung tikar’.

Saya juga berharap pemimpin-pemimpin utama parti dalam Muafakat Nasional wajar masing-masing mencari jalan dan menggunakan  pendekatan formula ‘menang-menang’ agar negara tidak jatuh kembali ke tangan Pakatan Harapan.

Hasrat saya juga agar Parlimen dapat dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada PRU-15 kerana ekonomi dunia diramal amat ‘muram’ pada tahun mendatang, serta paling penting dapat dielakkan sengketa sesama kita dan tumpukan kepada kesihatan dan bantuan kepada rakyat di samping membina semula ekonomi negara yang terbantut.

Ia bukan mudah tetapi kerajaan yang akan dibina kelak mesti mendapat mandat yang selesa agar kerajaan tersebut stabil dan kembali mendapat keyakinan pelabur-pelabur luar negara.

Saya turut mencadangkan beberapa perkara sebagai saranan melalui artikel saya sebelum ini iaitu, “SARANAN TERBUKA KEPADA SEMUA PIMPINAN TERTINGGI MN DAN PN SEBELUM PRU-15” di pautan; https://editormalaysia.com/15800/ untuk diperhalusi dan diambil perhatian oleh pimpinan tertinggi Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. 

Terima kasih.

(Penulis merupakan penganalisa politik merangkap Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts