SIAPA MENIPU, HAMID BADOR ATAU PIHAK KESELAMATAN MACAU?

485
SHARES
5.4k
VIEWS

Bagaimana Tan Sri Hamid Bador mengeluarkan kenyataan bahawa ahli perniagaan yang sangat dikehendaki iaitu Jho Low sedang bersembunyi di Macau sedangkan dalam masa yang sama pihak keselamatan Macau menerusi Pejabat Pegawai Tertinggi Sekretariat Keselamatan Macau menafikan perkara tersebut?

Lebih memeranjatkan terdedah pula bahawa bahawa pihak keselamatan Malaysia khususnya pihak Polis DiRaja Malaysia rupa-rupanya tidak pernah menghubungi rakan sejawatnya serta pihak polis di Macau bagi memohon Jho Low diekstradisi ke Malaysia bagi membantu siasatan 1MDB.

Timbul persoalan yang sangat besar yang boleh mempengaruhi kes yang sedang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang akan diteruskan di Mahkamah Rayuan tidak lama lagi iaitu kenapa pihak polis langsung tidak mencuba menghubungi pihak keselamatan Macau selama ini?

Jika individu utama yang merupakan dalang serta saksi utama tidak dihadapkan ke mahkamah bagi membantu perbicaraan, bagaimana mungkin kerajaan Malaysia tanpa mengetahui kisah sebenar di sebalik apa yang berlaku, tetapi tetap menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh?

Jika polis Macau yang menipu, Hamid Bador perlu menjelaskannya dan menunjukkan bukti-bukti PDRM telah berusaha dan mengecam penipuan oleh pihak keselamatan Macau tersebut agar tidak dituduh masih berpihak kepada Pakatan Harapan yang sebelum ini berusaha memenjarakan Najib tanpa bukti yang kukuh. 

Kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah Malaysia selama 22 bulan menggunakan isu 1MDB dan siasatan ke atas Najib sebagai modal politik mereka sehingga berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 lepas tetapi timbul kemusykilan dan tanggapan kenapa dalang yang juga saksi utama ini tidak berani dibawa pulang walaupun pihak polis tahu di mana beliau berada sejak sekian lama?

Apa yang ingin disembunyikan? Apa yang Pakatan Harapan bimbangkan dan takut terdedah jika Jho Low dibawa ke muka pengadilan? 

Sama seperti skandal banglo Lim Guan Eng dan Phang Li Koon, Pakatan Harapan terpaksa menggunakan Peguam Negara lantikan politik mereka iaitu Tommy Thomas bagi membebaskan dan melepaskan mereka berdua tanpa menjalani perbicaraan di mahkamah, tentu ada yang mereka takut terdedah atau diketahui oleh umum. 

Begitu juga kes semburit yang dipercayai dilakukan oleh salah seorang menteri yang tidakpun dibawa sehingga kini ke muka pengadilan walaupun bukti dan pengakuan saksi telahpun direkodkan.

Mungkin kerana itulah selama ini kita mendengar pelbagai alasan tidak masuk akal yang dikeluarkan Hamid Bador antaranya iaitu Jho Low berjalan seperti seladang dan mengubah rupanya menjadi beruang, seolah-olah cerita dongeng ingin menakutkan kanak-kanak agar jangan keluar malam. 

Justeru, kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu ada keberanian untuk mengarahkan Hamid Bador benar-benar berusaha membawa pulang Jho Low untuk membantu perbicaraan di Mahkamah Rayuan kelak, agar kebenaran dapat diungkapkan.

Jika tidak kes Najib perlu dibuang begitu sahaja kerana pihak pendakwaan sehingga kini gagal membawa saksi utama ke mahkamah dan hanya berdasarkan ‘andaian-andaian’ yang dikemukakan para saksi. 

Sedangkan semua saksi-saksi sebelum ini sangat jelas mengaitkan pelbagai transaksi dan arahan yang diterima daripada Jho Low dan Nik Faisal (yang kini juga masih juga gagal dibawa pulang bagi membantu kerajaan Malaysia), yang perlu dipastikan. 

Ketika ini kredibiliti semua pihak yang terlibat boleh dipersoalkan apatah lagi Najib kini telah disabitkan kesalahan di Mahkamah Persekutuan walaupun saksi-saksi utama masih gagal dikemukakan pihak pendakwaan – yang hanya memberi kesan buruk kepada imej perundangan dan pihak keselamatan di Malaysia, yang perlu dipulihkan oleh kerajaan Muhyiddin.

Jika tidak, kerajaan seterusnya yang akan menggantikan Muhyiddin perlu memastikan kedaulatan undang-undang dimartabatkan kembali dan tidak sewenang-wenangnya dicabul seperti ketika Pakatan Harapan memerintah. 

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan