JANGAN TERTIPU LAGI DENGAN SLOGAN “ORANG BUKAN ISLAM YANG ADIL LEBIH BAIK DARIPADA MUSLIM ZALIM”

892
SHARES
5.2k
VIEWS

1. Tidak dinafikan pada PRU-14 ramai orang Melayu Islam sedikit sebanyak terpengaruh juga dengan slogan “bukan Islam yang adil lebih baik daripada Muslim yang zalim” atau “kafir yang amanah lebih baik daripada orang Islam yang rasuah”. Kata-kata ini diedar pantas oleh Pakatan Harapan (PH) melalui jentera Red Bean Army (RBA) mereka.

2. Tagline ini pantas menusuk masuk sampai ke dalam kalbu umat Melayu Islam, ditambah dengan pelbagai persepsi buruk hasil kelemahan yang ada pada seorang tokoh waktu itu – Dato’ Seri Najib Tun Razak. Akibatnya BN tumbang buat kali pertama dalam sejarah politik negara.

3. Terdapat ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang menerangkan tentang kelayakan bagi melantik seorang pemimpin, atau dahulunya sebagai Khalifah atau pemerintah negara. Kerana kejahilan umat Melayu Islam, terpaksa menanggung akibatnya selama 22 bulan dengan penyelongkaran biadab golongan rasis-cauvinis kiasu yang bersekongkol dengan Melayu barua lalu mengagihkan harta negara semahu-mahunya tanpa mempedulikan kebajikan rakyat. Alasan mereka negara bakal bankrup, dan rakyat perlu berjimat cermat.

4. Oleh itu, umat Melayu Islam perlu bangkit kepada kecerdikan dengan banyak membaca, meneliti dan memahami hal-hal yang berkaitan dengan politik negara. Bukan maksudnya dengan ilmu mengenai siasah itu kita mesti terjun dalam dunia politik, tetapi setidak-tidaknya kita tahu dan hal ini amat penting kerana kepimpinan negara amat berkaitan dengan realiti kehidupan umat Islam semasa. Terutamanya semasa mereka sedang dalam proses mewujudkan sebuah negara aman damai dan harmoni bersandarkan kepada syiar Islam.

5. Waqi’ atau realiti umat Islam semasa, memberikan cara dan kaedah yang berbeza. Maksudnya keadaan umat Islam semasa boleh menentukan dan memilih cara yang terbaik untuk umat Islam hidup bernegara. Dan jika ditanya mana satu yang terbaik antara memilih orang bukan Islam yang amanah dengan Muslim yang zalim atau korup?

6. Maka para ulama telahpun menyediakan jawapannya, dengan membahagikannya kepada dua keadaan iaitu perbuatan dan individu. Tidak salah kita memuji perbuatan orang kafir yang lebih baik. Namun daripada segi individu yang tidak beriman (kafir) dengan yang beriman (Islam), maka yang beriman itu adalah lebih baik daripada yang tidak beriman daripada banyak sudut. Kedua mengenai orang Islam itu sendiri dan agama Islam adalah dua perkara yang berbeza. Kita tidak boleh mengatakan ajaran Islam itu tidak baik kerana orang Islam tidak baik. Orang Islam tidak baik kerana mereka tidak melaksanakan ajaran Islam. Islam berpandukan ajarannya bukan amalan atau budaya orang Islam.

7. Di Indonesia, propaganda seumpama ini dikibar oleh golongan yang menyokong Ahok suatu masa dahulu kerana mahu memberi kemenangan kepadanya, antara ucapan yang dijaja ialah kata-kata Ibnu Taimiyah yang menyebut: “Tolak ukur kepimpinan itu keadilan, bukan iman!” Dan pada bahagian lain menyebut: “Allah menolong negeri yang adil walaupun kafir, dan tidak menolong negeri yang zalim walaupun beriman”. Inilah peringatan yang dikatakan oleh Sayyidina Ali bin Abi Thalib RadiAllahu Anhu iaitu “Kalimat yang haq tapi digunakan untuk kepentingan kebatilan”.

8. Imam al-Ghazali pula menggariskan 10 syarat penting melantik pemimpin dan yang menariknya pada prinsip yang kedua, kesembilan dan kesepuluh. Prinsip kedua iaitu bahawa pemimpin yang adil adalah pemimpin yang selalu rindu mahu berjumpa dengan para ulama. Maksudnya pemimpin yang suka mendengar nasihat-nasihat ulama. Dalam masa yang sama, Imam Al-Ghazali memperingatkan, agar penguasa berhati-hati dengan ulama su’ (ulama jahat). Prinsip kedua ini kalau bukan kerana melihat masalah keimanan sangat mendasar bagi keadilan, sudah tentu tidak akan dimasukkan oleh Imam Al-Ghazali dalam prinsip keadilan.

9. Prinsip kesembilan: pemimpin yang adil adalah pemimpin yang berusaha meraih reda rakyatnya dengan bertugas sesuai mengikut ketentuan syariat. Dan prinsip kesepuluh: pemimpin yang adil adalah pemimpin yang tidak mencari reda atau simpati rakyatnya dengan menentang atau menyelisihi syariat. Tiga prinsip ini bersama tujuh lagi yang lain, semua disebutkan oleh Imam Al-Ghazali ketika menjelaskan prinsip-prinsip keadilan yang mesti seiringan dengan keimanan, bukan dalam kekafiran. Maka dengan garis-garis prinsip ini barulah tampak sekali nilai-nilai keimanan menurut faham Islam.

10. Rasulullah SAW ketika menulis surat kepada raja dan pembesar dunia bukan Islam, Baginda memuji mereka sebagai pemimpin agong di negara masing-masing seperti Heraclius, pembesar Romawi, Raja Parsi, Raja Muqauqis di Mesir dan Raja Najasyi di Habsyah. Walaupun memuji Raja Najasyi yang beragama Nasrani tetapi Baginda Nabi tidak menyerahkan urusan agama para Sahabat R.Anhum yang berhijrah ke Habsyah kepada Al-Najasyi malah menyeru beliau kepada Islam. Malah Rasulullah SAW boleh berkerjasama dengan mereka selama mana mereka tidak menggugat Islam.
 
11. Manakala jika kita mengambil pandangan ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf Al-Qaradawi, menurut beliau, golongan bukan Islam mempunyai hak untuk menjawat jawatan-jawatan negara kecuali jawatan-jawatan yang lebih dominan unsur keagamaan seperti ketua negara, panglima tentera, penghakiman antara orang Islam dan pengurusan zakat. Adapun jawatan-jawatan selainnya maka tiada masalah jika mahu diberikan kepada bukan Muslim jika syarat-syarat kompetensi, amanah dan kesetiaan kepada negara dipenuhi.

12. Justeru ayat yang selalu diratib oleh puak kiasu dan Melayu barua: “bukan Islam yang adil lebih baik daripada Muslim yang zalim” adalah satu kebatilan yang sangat buruk yang bertujuan jahat mahu menjatuhkan kerajaan Melayu Islam dengan menaikkan kerajaan kafirun.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts