TUN MAHATHIR, PEMAAF DAP (TUN MAHATHIR, THE DAP APOLOGIST)

451
SHARES
2.7k
VIEWS

Kepada: Tun Dr Mahathir

Daripada: Isham Jalil, rakyat biasa

Yang saya hormati dan kasihi Tun Dr Mahathir Mohamad,
……..

Kelmarin dalam majlis Bersatu Blackout, Tun telah berucap berkenaan tiga perkara:

PERTAMA, seperti biasa Tun menyalahkan dan menyerang Dato’ Seri Najib.

Saya faham sebabnya.

Dalam politik dan peperangan, pihak musuh akan menyerang panglima perang lawan yang paling kuat.

Ini kerana mereka tahu jika panglima ini jatuh, besar kemungkinan mereka akan menang.

Panglima utama musuh tidak akan membuang masa menyerang panglima biasa-biasa, mahupun askar bawahan dan sebagainya.

Dia akan serang orang yang dia paling takut, paling terkesan, dan paling gerun (oleh itu paling hormat).

Dalam kes Tun, tentunya orang ini adalah Najib.

Najib telah dihadapkan ke mahkamah selama dua tahun kebelakangan ini berdasarkan tuduhan-tuduhan yang dilontarkan oleh Tun kepada dirinya walaupun tuduhan-tuduhan Tun ke atas Najib tersebut adalah berasaskan fitnah dan tidak bersandarkan bukti.

Tun telah menuduh Najib sebagai penyamun, pencuri dan kleptokrat, walaupun hakikatnya Tun dan keluarga adalah antara orang-orang yang terkaya di Asia dengan harta berbillion ringgit yang diperoleh semasa Tun menjadi Perdana Menteri.

Adalah mustahil jika kesemua harta-harta berbillion ini diperoleh tanpa elemen rasuah atau salah guna kuasa.

Tun tentunya tahu bahawa seorang wartawan tersohor Barry Wain pernah menulis bahawa dalam tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Tun telah menggelapkan RM100 billion ringgit.

Namun tidak seperti Najib, Tun tidak pernah dihadapkan ke mahkamah walaupun Tun adalah kleptokrat terbesar dalam sejarah Malaysia.

Tun bijak menyalahkan orang lain untuk menutup kemungkaran Tun sendiri.

……..

KEDUA, Tun juga menyalahkan musibah yang berlaku kepada diri Tun termasuk kejatuhan kerajaan PH yang kononnya adalah salah Najib, dan juga kepada pengkhianatan yang dilakukan oleh rakan-rakan Tun dalam Bersatu dan kumpulan Azmin yang sebelum ini adalah penyokong kuat Tun.

Ini walaupun Tun sendiri yang telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 yang menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Tun berkata Tun hanya letak jawatan sebagai Perdana Menteri setelah Bersatu keluar PH.

Ini tidak benar; Bersatu umum keluar PH sejam selepas Tun meletakkan jawatan bukannya sebelumnya.

Tun kata kerajaan PH tidak akan jatuh jika tidak berlaku pengkhianatan kepada Tun dengan ahli-ahli Parlimen melompat kem.

Apa yang Tun tidak beritahu ialah sekiranya Tun tidak meletakkan jawatan dan masih Perdana Menteri, tidak ada siapa ahli-ahli Parlimen dari kem Tun yang berani melompat kem dan mengkhianati Tun.

Ini kerana sebagai Perdana Menteri, Tun memegang kuasa yang amat kuat terutama untuk menentukan jawatan kerajaan dan peruntukan, dan juga untuk mengarahkan agensi-agensi kerajaan untuk memulakan siasatan ke atas salah guna kuasa ahli-ahli Parlimen.

Namun apabila Tun meletak jawatan, kuasa ini tidak ada lagi, dan ahli-ahli Parlimen tidak lagi takut kepada Tun dan tidak segan silu untuk meninggalkan dan mengkhianati Tun. Sebab itu kerajaan PH jatuh.

Walaupun Tun tidak tunjuk, dalam hati kecil Tun tentunya sedar dan menyesal meletakkan jawatan.

……..

KETIGA, Tun mempertahankan DAP dan menyatakan bahawa DAP bukanlah musuh Melayu.

Tun berkata, sebelum ini kita telah berjaya mengalahkan komunis dan penyangak mata wang, oleh itu Tun mempersoal mengapa kini kita perlu menganggap DAP itu bahaya.

Namun, komunis dan penyangak mata wang adalah ancaman-ancaman dari luar.

Mengikut sejarah, orang-orang Melayu sememangnya telah berjaya menentang dan mengusir kuasa-kuasa dan pengaruh luar seperti British, Jepun dan komunis.

Namun sejarah juga telah menunjukkan yang orang-orang Melayu walaupun berjaya mengusir musuh dari luar tetapi telah jatuh oleh musuh dari dalam.

Kerajaan Melayu Melaka telah jatuh kerana si Kitol dan Raja Mendeliar yang dengkikan Bendahara telah membuka pintu Kota Melaka kepada musuh.

Sejak sekian lama DAP berjuang untuk melemahkan hak-hak orang Melayu.

Tun berkata bahawa DAP tidak boleh berbuat apa-apa kecuali dipersetujui oleh Kabinet dan dipersetujui oleh Tun.

Tun juga berkata Tun tidak setuju jika DAP buat sesuatu yang merugikan orang-orang Melayu.

Tun berkata 22 orang menteri Melayu dalam kerajaan PH tidak akan tunduk kepada 6 orang menteri DAP.

Namun 6 menteri-menteri DAP ini berada dalam kementerian-kementerian kritikal termasuk Kementerian Kewangan yang memberikan kesan signifikan kepada kehidupan orang-orang Melayu berbanding kementerian-kementerian yang disandang oleh menteri-menteri Melayu.

Dan 22 orang menteri-menteri Melayu dalam kerajaan PH Tun tersebut telahpun tunduk kepada 6 menteri DAP tersebut.

Ketika DAP berkuasa dalam kerajaan persekutuan selama 22 bulan di bawah Tun, banyak bantuan-bantuan kerajaan kepada orang-orang Melayu telah dipotong dan dibatalkan termasuk bantuan kepada nelayan, petani, penoreh getah dan orang-orang miskin dengan alasan kerajaan tiada duit.

Kehidupan orang-orang Melayu telah menjadi semakin teruk di bawah pemerintahan Tun dan DAP selama 22 bulan.

Kadar pertumbuhan pendapatan B40 telah menurun daripada 8 peratus di bawah Najib kepada sekitar 5 peratus di bawah Tun dan DAP, dan kadar pengangguran telah meningkat ke paras 3.9 peratus dengan pengangguran belia melebihi 10 peratus di bawah pentadbiran Tun.

Kebanyakan daripada golongan yang terkesan dengan hal ini adalah orang-orang Melayu.

Namun, berganding dengan DAP, Tun telah menyarankan supaya orang-orang Melayu dan orang-orang miskin agar mengikat perut, tidak lagi mengharapkan bantuan kerajaan dan tidak cemburu kepada orang kaya.

Semasa mereka berkuasa, pemimpin-pemimpin DAP bersama menteri-menteri Kabinet Tun juga telah mencadangkan dan menyokong untuk meratifikasi ICERD dan Statut Rom yang terang-terangan merugikan dan melemahkan orang-orang Melayu dan institusi Raja-raja Melayu.

……..

Tun perlu menerima hakikat dan tidak berada dalam sindrom penafian bahawa DAP adalah musuh Melayu dari dalam negara.

Dahulu Tun sendiri pernah menyatakan bahawa DAP adalah rasis dan musuh Melayu.

Tetapi apakan daya kini Tun telah menjadi pemaaf dan pengampun DAP.

Kembalilah ke pangkal jalan, Tun.

Salam hormat,

ISHAM JALIL

20 Julai 2020

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/765475140874679/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts