UEC: PROPAGANDA MAHU JATUHKAN KERAJAAN PN?

435
SHARES
2.6k
VIEWS

Perjumpaan Hua Zong dengan PM baru-baru ini bersama tuntutan mereka, mengingatkan kita kepada peristiwa pada tahun 1999, bagaimana beberapa bulan sebelum PRU-10, Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (SUQIU) pernah menuntut 17 perkara bertujuan untuk memberi tekanan kepada kerajaan pada masa itu disebabkan sokongan orang Melayu waktu itu tidak begitu kuat.

Mengenai tuntutan SUQIU boleh rujuk di sini:
https://web.archive.org/web/20010406191713/http://suqiu.org/Suqiu_malay.htm

2. BN pada masa itu telah mengeluarkan kenyataan setuju dengan tuntutan SUQIU. Dari itu, persatuan Cina ini kemudian mengarahkan sokongan dialihkan kepada BN sepenuhnya pada saat-saat akhir menjelang PRU-10 dan BN menang. Selepas menang, BN tolak SUQIU dan gelar kumpulan ini sebagai ekstremis seperti Komunis dan al-Maunah.

3. Sebelum daripada itu, tuntutan seperti ini sudahpun berulang kali berlaku, bermula sejak 1969 – pada masa itu kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam, bahasa dan kedudukan istimewa orang Melayu dicabar oleh bukan Melayu khususnya bangsa Cina mengakibatkan tercetusnya pergaduhan kaum iaitu peristiwa 13 Mei. Kesannya, darurat diisytihar, Parlimen digantung dua tahun serta pindaan dilakukan terhadap Perlembagaan yang mengehadkan kebebasan bersuara selain berlaku penggubalan Akta Hasutan 1948.

4. Semalam Sin Chew Daily melaporkan dalam tulisan Cina dengan tajuk: “Muhyiddin: Saya juga berharap agar UEC diluluskan.” Persoalannya, adakah kenyataan ini bentuk provokasi yang sama ataupun mungkin Tan Sri Muhyiddin menerima kehadiran Hua Zong ini kerana mahu menimbulkan spekulasi politik seperti sebelumnya yang disebutkan tadi? Jawapannya hanya YAB Tan Sri Muhyiddin yang boleh menjawabnya.

Rujukan: https://www.sinchew.com.my/pad/con/content_2308828.html

5. Namun, sama ada Hua Zong sedar atau tidak, kebangkitan semula orang Melayu selepas BN tumbang pada PRU-14 adalah kerana isu UEC. Ketika UMNO masih terpinga-pinga dengan kekalahan mengejut itu, orang Melayu bangkit menentang hingga berlakunya himpunan yang dikenali sebagai Himpunan Kebangkitan Ummah dengan gabungan NGO-NGO Melayu Islam di Padang Kelab Sultan Sulaiman pada 28 Julai 2018 adalah kerana membantah pengiktirafan UEC.

6. Ini hakikat, bukannya spekulasi tetapi anehnya kaum Cina yang diterajui oleh Hua Zong masih tetap berdegil mahu menuntut perkara yang sama yang boleh menaikkan semula kemarahan orang Melayu Islam. Jika benar pada pertemuan tersebut ada tuntutan berulang seperti mana sebelumnya, itu bermakna Hua Zong dengan kedegilannya langsung tidak ambil peduli sensitiviti orang Melayu sekalipun jelas ada tentangan kuat membantahnya. Hua Zong juga seolah-olah memperlekehkan keperluan kaum Cina menguasai Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan.

7. Jika diimbas kembali sejarah tuntutan yang sering menjadi kontroversi antara kaum ini, kita boleh kembali kepada sejarah apabila Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II) meminta kerajaan menghapuskan hak istimewa Melayu di bawah dasar penyusunan semula masyarakat jika mahu melihat mereka maju dan mampu berdikari.

8. Ia timbul lagi apabila SUQIU menuntut agar unsur tradisi itu dilenyapkan, lantas mengundang kemarahan pertubuhan Melayu yang berpendapat hak istimewa bangsa itu dijamin Perlembagaan dan tidak wajar disentuh SUQIU.

9. Perkara sama juga pernah dibangkitkan oleh bekas pemimpin GERAKAN, Tun Dr. Lim Keng Yaik yang menggesa parti politik melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana didakwa membuatkan masyarakat Cina dan India berasa kecil hati kerana orang Melayu ada hak keistimewaan manakala kaum selainnya tidak ada.

10. Kali ini, sekali lagi ditimbulkan perkara yang sama, kebetulan pula ada ura-ura mengatakan bahawa Parlimen akan dibubarkan jika terdapat desakan kuat daripada pembangkang yang telahpun terpecah dua kepada blok Tun Mahathir dan blok Anwar Ibrahim – masing-masing menyatakan ada sokongan majoriti, dan sudah bersedia mahu mengambil alih semula kerajaan daripada PN melalui usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri lantikan YDPA.

11. MUAFAKAT melihat apa yang telah dan sedang berlaku hanyalah spekulasi dan persepsi media bertujuan mahu melaga-lagakan dan mencetuskan semula kepanasan arena politik berebut kuasa. Padahal negara sudahpun mempunyai pemimpin dan PM yang lebih baik daripada pemimpin sebelumnya yang ternyata telah membuat kesilapan besar apabila meletakkan jawatan dan kini kembali mahu merampas semula melalui propaganda-propaganda murahan.

12. Perlu diperakui rakyat tidaklah sebodoh sebelum PRU-14 yang waktu itu terlalu mudah terpengaruh dengan tuduhan dan janji pihak pembangkang. Sepatutnya semua parti tidak kira daripada parti mana sekalipun wajib bersatu menyelamatkan negara dengan memberi sokongan penuh kepada PM dan kerajaan PN yang diperkenan YDPA dan bersama mengatur strategi bagaimana mahu membangunkan negara daripada terjunam ke gaung kemelesetan ekonomi bukannya mengatur strategi mahu menumbangkan kerajaan.
 
Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts