111 UNDIAN, BUKTI KUAT ATAU LEMAH?

540
SHARES
3.2k
VIEWS

Di sebalik 220 daripada 222 undian di Dewan Rakyat semalam bagi menentukan siapa Speaker Dewan seterusnya untuk menggantikan Yang DiPertua Dewan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff, sepatutnya dapat menunjukkan kekuatan ataupun kelemahan sesuatu kerajaan dalam membuat keputusan.

220 Ahli Parlimen yang layak mengundi semalam berbanding jumlah keseluruhan 222 anggota Dewan Rakyat, adalah kerana 2 Ahli Parlimen lagi tidak mengundi. 1 daripada mereka tidak hadir ke sidang Dewan  kerana uzur manakala seorang lagi tidak mengundi iaitu Timbalan Speaker, yang hanya akan mengundi apabila sesuatu keputusan yang dicapai mendapat jumlah yang sama maka barulah beliau akan dibenarkan mengundi bagi menentukan keputusan.

Daripada sejumlah 220 tersebut, 111 memihak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional, manakala baki 109 memihak kepada Pakatan Harapan, sangat tipis namun tetap jumlah lebih besar yang dikira  menang walaupun hanya berbeza 1 undi. 

Jumlah ini dianggap lemah oleh Pakatan Harapan yang pasti akan memainkan isu ini berhari-hari atau mungkin berbulan lamanya namun apa yang pasti, Ariff tetap berjaya ditukarkan semalam kepada Speaker yang baharu iaitu Datuk Azhar  Azizan Harun, yang juga dikenali sebagai Art Harun, sebelum ini menjawat jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya.

Lantikan Azhar ini juga agak kontroversi apabila beliau sebelum ini begitu cenderung dan berat sebelah menyokong Pakatan Harapan ketika menjadi Pengerusi SPR sehinggakan pelbagai bukti salah laku ketika pilihan raya kecil yang dilakukan Pakatan Harapan sebelum ini tidak diendahkan langsung oleh beliau. 

Justeru lantikan Azhar selaku Speaker Dewan Rakyat diharapkan tidak ‘menyukarkan’ Muafakat Nasional dan ‘memudahkan’ Pakatan Harapan ketika sesi sidang Parlimen berlangsung sehinggalah Parlimen dibubarkan kelak bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

Hakikatnya kelebihan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin dengan hanya mempunyai kelebihan sebanyak 2 undi, sememangnya kerajaan beliau tidak boleh dianggap mempunyai sokongan yang kuat dan kukuh, tetapi hanya boleh dianggap sebagai ‘mujur’, ‘nasib baik’ atau ‘sipi-sipi’ tidak kalah.

Pakatan Harapan yang pasti akan mengambil kesempatan sama ada memainkan isu ataupun mencari sokongan tambahan selepas ini dalam menuju agenda mereka merampas kembali kerajaan tanpa melalui Pilihan Raya Umum, akan berusaha lebih gigih kerana semakin yakin sokongan terhadap Muhyiddin ini sangat lemah dan pada bila-bila masa sahaja ia akan berubah. 

Gesaan bubarkan Parlimen kini bukan sahaja semakin kuat didengari malah Muhyiddin juga kini sepatutnya mendapat maklumat tambahan yang jelas mengenai jumlah sokongan terhadapnya yang tidak kukuh dan akan berubah pada bila-bila masa.

Tambah menyulitkan keadaan, sebarang keputusan melalui Parlimen yang ingin dibuat kelak, apatah lagi jika ia melibatkan perkara-perkara sensitif antaranya seperti agenda memperkasa agama, Melayu dan Bumiputera sukar dilaksanakan kerana pasti jumlah 111 ini akan terpecah mengikut pandangan dan kecenderungan agama dan kaum masing-masing.

Tidak seperti dahulu di zaman Barisan Nasional (BN) memerintah, sokongan terhadap mereka mendapat majoriti besar dan sebarang pindaan atau keputusan yang ingin dilaksanakan mudah untuk dibuat kerana majoriti anggota Dewan Rakyat akan memihak kepada BN.

‘Signal’ kepada Muhyiddin sangat jelas, iaitu kerajaan yang diperintahnya ketika ini masih majoriti tetapi sangat tipis dan tidak kukuh serta ini merupakan cabaran kepada kerajaannya walaupun telah berbuat sehabis baik untuk rakyat ketika ancaman pandemik Covid-19 melanda negara sehingga mendapat pujian masyarakat antarabangsa termasuk WHO, selain pelan pasca Covid-19 juga memuaskan hati ramai pihak.

Muafakat Nasional perlu menyokong beliau tanpa berbelah bahagi sehingga PRU-15 kelak dan selepas itu terpulang kepada perancangan dalam parti masing-masing mengikut parti mana yang akan mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan kelak. Jika ketika itu UMNO mendapat majoriti maka parti Melayu tertua negara itu akan menghulurkan tangan kepada parti lain yang berada dalam blok kerajaan bagi membentuk kerajaan seterusnya yang akan diketuai oleh mereka kelak.

Ketika itu lebih mudah, kerana kerajaan tidak terbentuk seperti Perikatan Nasional yang tergesa-gesa diwujudkan apabila Tun Mahathir meletakkan jawatan secara drastik dan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong terpaksa mencemar duli menyelasaikan kemelut yang berlaku serta melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Apa yang pasti, rakyat Malaysia yang majoritinya Melayu dan Islam mengharapkan teraju pemerintahan negara akan terus dipimpin oleh pemimpin Melayu Islam berteraskan konsep memperkasa agama, bangsa dan negara dan bukannya Pakatan Harapan yang berteraskan DAP yang cauvinis.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts