MENJADIKAN MALAYSIA SEBAGAI PUSAT DIALOG PERADABAN GLOBAL

525
SHARES
3.1k
VIEWS

NARATIF PERADABAN MALAYSIA SIRI 4:

Prof Madya Dr Amran Muhammad

Dekan Pusat Pengajian Sastera, Kemanusiaan dan Sains Sosial, Asia e University (AeU)

Bila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membuat keputusan untuk mengusir puluhan ribu pelajar asing serta ratusan ribu pendatang keluar dari Amerika Syarikat, ia menandakan berakhirnya ideologi demokrasi liberal yang meliputi hak asasi manusia, kebebasan bersuara, keadilan sosial dan peluang sama-rata ekonomi yang digembar-gemburkan oleh Peradaban Barat selama ini. Keputusan Donald Trump itu juga tidak boleh dianggap sebagai keputusan individu kerana ia merupakan sentimen popular bagi kebanyakan rakyat Amerika Syarikat berkulit putih yang diketahui oleh Trump akan meningkatkan sokongan kepada beliau. Malah jika Trump tidak dipilih semula sebagai Presidenpun, ini tidak bermakna rakyat Amerika Syarikat berkulit putih tidak lagi bersifat rasisme melihat kepada apa yang telah berlaku sejak sekian lama di sana.

Jika di Amerika Syarikat, diskriminasi sistematik bersifat institusi jelas berlaku terhadap rakyat Amerika berkulit hitam sehingga tercetusnya demonstrasi besar-besaran ketika pandemik coronavirus sedang melanda, fenomena khusus Islamofobia dan anti imigran di negara-negara Eropah juga tidak jauh bezanya. Suasana Peradaban Barat di Eropah juga tidak lagi mencerminkan demokrasi liberal adalah ideologi anutan mereka. Negara-negara Eropah semakin hari semakin menjurus kepada orientasi rasisme dan ektremisme penduduk tempatan yang menyemarakkan kebencian terhadap orang luar dan pendatang asing.

Pengaruh parti-parti politik perkauman sekarang ini mengatasi parti-parti politik yang beraliran sosialis dan komunis. Jika dahulu pemikiran, falsafah dan ideologi sosialis dan komunis dianggap sebagai musuh Peradaban Barat, tetapi hari ini demokrasi liberal itu sendiri dilihat sebagai ancaman kepada keutuhan dan kesinambungan masyarakat Barat!

Selama ini Amerika Syarikat sering dianggap sebagai Dunia Baru Peradaban Barat menggantikan Dunia Tua Benua Eropah, tempat lahir Peradaban Barat. Justeru Amerika Syarikat juga diterima sebagai kemuncak pencapaian Peradaban Barat dari sudut sains, teknologi, industri, politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Bagaimanapun perkembangan yang berlaku di Amerika Syarikat hari ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin Peradaban Barat sedang mengalami krisis kemanusiaan yang nyata.

Malah sebenarnya dari penelitian pemikiran, falsafah, ideologi dan agama; Peradaban Barat telah lama mengalami bankrup nilai dan makna tentang kebenaran dan kewujudan. Peradaban Barat hanya mampu bertahan dan kelihatan hebat hanya kerana dokongan kekuatan material sains, teknologi, industri, politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan.

Dari krisis kronik Peradaban Barat, kita berpindah kepada konflik semasa Peradaban Timur, pertembungan ketenteraan antara Tanah Besar China dan Benua India baru-baru ini. Kedua-dua negara China dan India dianggap sebagai tonggak Kebangkitan Asia bagi abad ke-21 bagi menggantikan abad Amerika Syarikat dan sebelumnya Abad Eropah. Konflik geo-politik antara China dan India jika tidak dapat dibendung dengan harmoni tentu sahaja akan membantutkan realisasi Kebangkitan Asia. Kebangkitan China dan India juga sebenarnya akan mengurangkan hegemoni Eropah dan Amerika Syarikat ke atas negara-negara di dunia. Masih tidak dapat dikenalpasti negara manakah yang berupaya menjadi orang tengah mendamaikan konflik antara China dan India setakat ini.

Dari krisis Peradaban Barat dan konflik Peradaban Timur, kemelut Peradaban Islam di negara-negara Islam khususnya di Asia Barat jauh lebih menyayat hati. Beberapa negara Islam telah hancur seperti Iraq, Syria, Libya dan Yaman. Beberapa negara lagi sedang berkonfrontasi tanpa henti antara Arab Saudi, Mesir dan UAE dengan Qatar dan Turki. Beberapa lagi negara hidup atas belas ihsan Israel dan Amerika Syarikat termasuk Jordan, Arab Saudi, UAE dan Qatar sendiri. Turki sebagai salah sebuah negara Islam paling kuat dan berpotensi ketika ini juga terheret dalam kancah kehancuran buatan sendiri oleh negara-negara Islam Arab.

Dalam konteks ini kita wajib mensyukuri nikmat yang Tuhan berikan kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara kita Malaysia. Justeru atas tanda kesyukuran ini, Malaysia boleh memainkan peranan penting menjadi Pusat Pendidikan Peradaban Global, menjadi pewasit (perantara) bagi menyantuni Peradaban Barat, Peradaban Timur dan Peradaban Islam yang kini berada di persimpangan, hilang pedoman dan menuju kehancuran jika tidak diselamatkan. Kehancuran Peradaban bermaksud kemusnahan manusia. Tidak sesiapapun yang waras akan mencadangkan kemusnahan mana-mana Peradaban kerana kesan kemusnahan satu Peradaban akan menimpa juga kepada Peradaban lain sepertimana yang kita alami ketika ini.

Dunia global memerlukan kemahiran pewasit dan pendidik diplomasi dan dialog antara peradaban-peradaban untuk memperbaiki krisis, konflik dan kemelut yang berlaku. Dunia memerlukan pengkalan atau hub di mana proses merawat penyakit-penyakit peradaban ini boleh dilakukan tanpa rasa curiga oleh sebahagian besar dari mereka yang terlibat. Kita sebagai rakyat Malaysia sewajarnya mengetahui bahawa negara kita berada pada kedudukan yang unik dan istimewa dalam menyantuni pelbagai peradaban dunia sejak dari dahulu sehingga kini.

Mungkin telah lebih 500 tahun Alam Melayu dan kini Malaysia menjadi medan perhubungan dan pertembungan antara Peradaban. Peradaban Tanah Besar China dan orang-orang Tanah Besar China telah mengenali Tanah Melayu lebih dari 500 tahun seperti mana Peradaban Benua India dan orang-orang Benua India telah mengenali kita lebih dari 500 tahun. Sudah tentu Peradaban Islam sudah berada di Alam Melayu lebih dari 500 tahun. Manakala kita sudah bertarung dengan Peradaban Barat juga melebihi 500 tahun.

Begitu juga pengalaman langsung Malaysia menjadi pewasit dan pendamai dalam persengketaan di Selatan Thailand – Patani, Filipina – Mindanao, Indonesia – Acheh, Bosnia dan beberapa tempat berkonflik dunia bagi menambahkan keyakinan kita terhadap peranan berkesan Malaysia dalam diplomasi dan dialog menyelesaikan krisis peradaban kemanusiaan ini.

Kesemua yang dinyatakan di atas adalah ‘resume’ atau ‘CV pengalaman’ lebih 500 tahun yang penting bagi menunjukkan keupayaan Malaysia untuk menjadi pusat pewasit dan pendidikan, pangkalan atau hub diplomasi atau dialog peradaban di peringkat global yang kini gagal dilakukan oleh pelbagai pihak hatta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan didambakan oleh umat manusia sesuai dengan amanah yang Allah berikan kepada kita sebagai ‘ummatan wasatan’ atau umat penengah, pewasit atau pengadil.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts