KENAPA PILIH YANG TERUK SETELAH DAPAT YANG LEBIH BAIK? 

30
SHARES
333
VIEWS

Dalam keadaan negara dan dunia masih belum pulih sepenuhnya dengan ancaman pandemik COVID-19, media sosial tidak putus-putus menyajikan rakyat dengan berita-berita mengenai perebutan jawatan oleh pihak yang hanya mampu mentadbir negara ini selama 22 bulan dengan reputasi begitu buruk sekali. Seluruh rakyat telahpun menilai pencapaian mereka yang terserlah lebih banyak melakukan keburukan dan kerosakan daripada kebaikan.

2. Berita-berita yang dipaparkan, kebanyakannya mengenai siapa patut jadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Anehnya tempat tersebut yang direbut-rebut oleh mereka itu telahpun diisi dengan perkenan Tuanku Yang Di-Pertuan Agong. Tidak ada sebab untuk dikosongkannya kembali setelah PM lantikan mereka sebelumnya telah meletakkan jawatan dengan kerelaan dirinya dan secara tidak langsung menyebabkan kerajaan sebelum ini juga jatuh bersama dengan peletakan jawatan beliau.

3. Dalam Islam, kita dilarang melakukan ‘bughah’ atau memberontak, hukumnya jelas haram, kecuali pemerintah itu terang-terangan melanggar hukum Islam, itupun dengan syarat-syarat yang sangat ketat. Islam tidak melarang rakyat menegur pemerintah yang zalim namun ia harus dengan penuh hikmah dan berani dalam perkara yang melibatkan kepentingan orang ramai. Ini mengingatkan kita kepada kisah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS diutuskan Allah SWT kepada Firaun seperti firman-Nya dalam surah Toha ayat 44: “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.”

4. Islam mengharuskan kita menegur pemerintah yang zalim dalam perkara yang betul-betul zalim menurut hukum syarak dan hendaklah menyuruh dan menasihati pemerintah itu terlebih dahulu sebelum melangkah ke tahap yang lebih tegas sebagaimana hadis mengajar kita, di mana Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Apabila tidak mampu, hendaklah dia merubah hal itu dengan lisannya. Apabila tidak mampu lagi, hendaknya dia ingkari dengan hatinya dan inilah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim no. 49)

5. Kini negara sudah kembali tenang dengan kerajaan baru, Perikatan Nasional bawah pimpinan TS Muhyiddin Yassin atas perkenan Tuanku Yang Di-Pertuan Agong. Maka selayaknya kita sebagai umat Islam membantu beliau membangunkan semula bukan hanya ekonomi negara tetapi lebih penting dari itu iaitu agenda memartabatkan dan memperkasakan kembali Melayu Islam setelah 22 bulan dihancurkan oleh kerajaan sebelumnya.

6. Usaha ini bukannya mudah dan mengambil masa sedikit, perkara ini kita sedia maklum iaitu menghancurkan suatu negara itu lebih mudah daripada membangunkannya. Negara kita terpaksa merangkak naik dengan pembangunan selama 60 tahun lebih tetapi hanya memerlukan 22 bulan sahaja untuk menjahanamkannya sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

7. Umat Melayu Islam harus sedar akan perkara ini. Kita tidak mengatakan kerajaan hari ini adalah yang terbaik tetapi kita mengatakan kerajaan hari ini lebih baik daripada kerajaan paling teruk yang lalu. Justeru, mari kita bersama membangunkan kembali ekonomi Melayu Islam dengan peluang yang ada melalui kerajaan baru Melayu Islam ini. In Sya Allah dengan niat yang ikhlas dan usaha yang bersungguh-sungguh matlamat boleh dicapai.

8. MUAFAKAT meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan baru ini agar lebih memfokuskan kepada agenda-agenda yang tidak merugikan Melayu Islam. Melalui penyusunan kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti tinggi, bukannya dari kalangan yang mendokong fahaman-fahaman sesat seperti Liberalisme dan Pluralisme. Perkara ini serius dan membimbangkan apabila kebelakangan ini individu-individu dari golongan liberalis dilihat mendapat tempat di posisi-posisi penting pentadbiran negara.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan