KEPINCANGAN LAPORAN TAHUNAN KEBEBASAN BERAGAMA DI MALAYSIA OLEH KERAJAAN AS

469
SHARES
2.6k
VIEWS

Seperti tahun-tahun sebelumnya, nama NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) disebut lagi dalam laporan kebebasan beragama antarabangsa Amerika Syarikat. Apa yang menariknya, laporan terbaru mereka (2019), menyebut nama saya secara khusus dalam isu-isu yang kononnya “menggugat hak kebebasan beragama” bagi negara Malaysia.

Selain itu, kempen beli produk Muslim atau ‘BMF’ juga disebut dalam laporan ini buat julung-julung kalinya. Ini antara bukti bahawa kempen kita memberikan impak yang begitu kuat sekali.

Bagi yang tidak tahu, kerajaan Amerika Syarikat akan mengeluarkan laporan-laporan sebegini bagi setiap negara pada setiap tahun kononnya untuk rujukan antarabangsa bagi isu-isu penindasan minoriti, termasuklah isu hak kebebasan beragama.

Bagi saya, ini hanyalah satu bentuk tekanan kepada negara-negara lain secara halus bagi menguatkan hegemoni dan campur tangan mereka melalui proksi-proksi. Di Malaysia, rujukan utama mereka ialah Suhakam yang kita semua ketahui dikuasai oleh pemikiran liberal, termasuk liberalisme agama.

Apa yang lucunya ialah, rakyat Malaysia sendiripun tidak mempercayai Suhakam tetapi mengapakah ‘kuasa besar’ dunia ini mengambilnya sebagai sumber rujukan utama? Pasti ada sesuatu yang peliknya di sini.

Dalam laporan terbaru ini, perkataan ‘Syiah’ disebut sebanyak 22 kali di mana ia menekankan mengenai sekatan-sekatan yang dikenakan oleh kerajaan dan jabatan-jabatan agama terhadap penularan ajaran Syiah, kononnya sebagai penindasan terhadap golongan ini dengan membawa naratif Syiah juga sebahagian dari Islam yang dijamin dalam Perlembagaan.

Laporan ini langsung tidak menyebut betapa suburnya penularan ajaran Syiah ini sehingga boleh berakar umbi. Selain ‘Syiah’, perkataan ‘Kristian’ juga antara paling banyak disebut iaitu sebanyak 16 kali. Apa yang menariknya di sini ialah naratif paderi-paderi yang ‘lesap’ di Malaysia dimain-mainkan sepanjang laporan ini, kononnya mereka ini diculik oleh pihak tertentu.

Bagi pembaca luar, terutamanya ahli-ahli akademik, pastinya perkara ini akan ditafsir sebagai penindasan terancang ke atas penganut Kristian. Malah, nama saya dipetik apabila saya berucap mengenai rancangan terancang Evangelis Kristian yang sedang bebas berdakyah di akar umbi masyarakat terutamanya di pedalaman-pedalaman.

Saya pernah mendedahkannya sebelum ini. Majlis Agama Islam Selangor juga pernah menerbitkan sebuah buku mengenai perkara ini. Itu belum lagi menyenaraikan campur tangan-campur tangan yang melibatkan pihak gereja dan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) dalam isu-isu hal ehwal Islam yang terlalu banyak tetapi tidak diambil tindakanpun.

Malah, penubuhan dan pergerakan MCCBCHST itu sendiri telah membuktikan pengamalan agama selain Islam itu sudah terlalu bebas. Malah, laporan ini juga menyebut mengenai isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah kononnya sebagai paksaan halus untuk agama Islam walhal tulisan Jawi adalah tulisan warisan kebangsaan turun-temurun.

Siapa yang pihak Amerika rujuk dalam isu ini? Mengapakah naratif ini seperti naratif yang dibawa oleh Dong Zong? Atau apakah ‘sumber’ mereka telah memberikan maklumat palsu? Apa yang paling menariknya ialah, laporan ini langsung tidak menyebut mengenai ‘kebebasan’ agama lain.

Contohnya, pembinaan kuil-kuil haram di serata Malaysia yang kebanyakan antaranya mendapat tanah percuma untuk membina kuil secara sah selepas kuil haram tersebut dirobohkan. Lebih malang lagi, kerana isu pembinaan kuil haram jugalah yang akhirnya menyebabkan kematian Allahyarham Adib yang sehingga kini tidak terbela. Tidakkah ini sesuatu ‘kebebasan’ yang terlampau? Mengapakah ini tidak disebutkan?

Yang paling malang sekali ialah, dasar “Rahmatan lil Alamin” kerajaan terdahulu tidak diberikan ‘kredit’ langsung walaupun terlalu banyak perkara pelik di luar kebiasaan dilakukan oleh kerajaan dan Menteri Agama kononnya untuk ‘meraikan’ kebebasan agama.

Apa gunanya Menteri Agama (dulu) berpegang tangan di sisi sami kuil haram selepas tragedi Adib? Apa gunanya Menteri Agama (dulu) bersalam-salaman dengan Nisha Ayub di hadapan JAKIM? Apa gunanya Menteri Agama (dulu) membusukkan imejnya di mata umat Islam demi memenangi hati penganut agama lain dan puak-puak liberal?

Kasihan sungguh saya mengenangkan nasib beliau. Saya tidak bercadang untuk mengulas perenggan demi perenggan apa yang ditulis dalam laporan Amerika Syarikat ini tetapi saya ingin mengajak kita berfikir, adakah dengan melunak dan mencairkan prinsip kita dalam agama maka akan membuatkan ‘mereka’ reda dengan kita?

Dan melihat kepada kepincangan laporan ini, adakah badan-badan hak asasi seperti Suhakam ini boleh dipercayai? Atau mungkinkah ini masanya untuk pihak kerajaan boleh kaji semula keahlian dalam Suhakam?

Fikir-fikirkan.

Aminuddin Yahaya

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

29 Jun 2020

Sumber: https://www.state.gov/reports/2019-report-on-international-religious-freedom/malaysia/

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3001600293245527&id=450309788374603

http://www.mais.gov.my/info-mais/informasi/penerbitan/muat-turun/34-buku-pendedahan-agenda-kristian-completed/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts