DEFISIT ETIKA: CABARAN PERADABAN MALAYSIA

3.2k
SHARES
18.7k
VIEWS

NARATIF PERADABAN MALAYSIA SIRI 2:

Prof Madya Dr Amran Muhammad

Dekan Pusat Pengajian Sastera, Kemanusiaan dan Sains Sosial, Asia e University (AeU)

Aristotle mencirikan manusia sebagai ‘zoon politikon’ atau haiwan politik. Menyedari sifat haiwan politik yang sering dikuasai oleh hawa-nafsu berbanding dengan akal-fikiran, maka Aristotle menulis karya berjudul Etika Nicomachea bersempena nama anaknya sebagai pengantar sebelum menulis karya politik dan ekonomi beliau. Para ulama Islampun begitu juga, seperti Ibnu Maskawayh menulis Tahzib al-Akhlaq, Al-Farabi Madinah al-Fadhilah, Al-Ghazali Ihya Ulumuddin, Ibnu Khaldun Muqaddimah, Al-Razi Akhlaq Al-Razi, Al-Tusi Akhlaq Al-Nasiri dan Al-Dawani Akhlaq Al-Jalali; kesemua mereka dan ramai lagi menulis kitab-kitab akhlak atau etika sebagai asas dan teras bagi kehidupan politik dan bernegara. Sejak zaman berzaman telah menjadi hukum alam bagi masyarakat yang berpolitik tanpa etika bukan sahaja akan rosak binasa malah akhirnya akan menjadi hina dina bukan sahaja di mata dunia tetapi juga di sisi Tuhan!

Di saat negara sedang dilanda krisis pandemik, politik, ekonomik yang dilatari oleh krisis epistemik yang lebih besar, krisis etika juga sedang menghantui negara kita iaitu krisis defisit etika yang sangat teruk di kalangan ahli-ahli politik tanahair. Defisit etika ahli-ahli politik tanahair yang sedang berleluasa ketika ini termasuklah hilang integriti, mengambil rasuah, tidak bermoral, saling mengkhianati, pecah amanah, rela dijual beli dan pelbagai lagi kecurangan akhlak yang sekiranya tidak dibendung hanya akan mengundang padah dan malam petaka kepada negara, bangsa dan agama tidak lama lagi. Sudah tiba masanya bagi kelompok sedar yang boleh mempengaruhi masyarakat untuk mengambil inisiatif kenabian yang paling penting iaitu membentuk kemuliaan akhlak (makarim al-akhlaq) bagi menyelamatkan hal ehwal etika berpolitik para pemimpin negara kita di segenap peringkat kepimpinan.

Politik Peradaban yang berteraskan etika yang tinggi dan nilai-nilai yang mulia seperti yang disarankan oleh Ibnu Miskawayh, Al-Farabi, Al-Ghazali, Ibnu Khaldun, Al-Razi, Al-Tusi, Al-Dawani sewajarnya menjadi norma-norma baru amalan politik Malaysia. Dalam konteks ini, masyarakat Cina dan India juga wajar memperkenalkan falsafah politik peradaban mereka sekiranya ada demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia terutamanya generasi masa depan yang bakal menggantikan kita tidak lama lagi.

Politik Peradaban yang bersifat universal dan global dari cetusan para pembina peradaban tersebut jika dihayati dengan bersungguh-sungguh boleh menjadi hikmah yang berguna serta ubat yang mujarab menyembuhkan barah etika politik yang sedang merebak teruk dalam masyarakat ketika ini. Politik Peradaban yang berdasarkan kepada prinsip kebenaran dan nilai-nilai mulia ini juga sekaligus boleh menjadi pemangkin bagi membina negara Malaysia yang lebih dihormati dan disegani teman dan lawan.

Politik Peradaban ini juga wajar kita usahakan bagi menggantikan dua jenis politik yang telah sekian lama dipaksakan kepada rakyat Malaysia dan ternyata gagal melihat kepada pelbagai krisis dan kemelut politik yang melanda negara kita tidak putus-putus sejak lebih 20 tahun yang lalu, iaitu Politik Pembangunan dan Politik Agama.

Politik Pembangunan menggula-gulakan rakyat Malaysia dengan pembangunan material yang dibina tanpa asas etika yang kukuh bagi menghadapi godaan-godaan material yang akhirnya merosakkan sebahagian besar ahli politik dan para pengikutnya menjadi tamak-haloba melalui kapitalisme kroni dan seumpamanya.

Politik Agama pula menggula-gulakan rakyat Malaysia dengan slogan dan retorik keagamaan seperti Negara Islam, pelaksanaan syariah dan hudud, Al-Qur’an sebagai Perlembagaan yang dibina juga tanpa asas etika yang jelas tetapi sekadar bermain janji-janji dengan memanipulasikan sentimen dan emosi keagamaan rakyat.

Politik Pembangunan yang tidak lain sekadar satu bentuk penjajahan baru barat pasca-kolonialisasi yang akhirnya memerangkap negara ke dalam kancah ketidakadilan ekonomi, kemiskinan, jurang pendapatan yang luas, kebergantungan kepada hutang, kelebihan kepada majikan selari dengan matlamat neo-liberalisme para kapitalis barat.

Manakala Politik Agama pula menjadikan agama sebagai alat-tunggangan politik kelompok-kelompok tertentu yang tidak diasaskan dari kefahaman dan penghayatan yang benar dari khazanah dan tradisi keilmuan etika dan politik Islam yang tinggi dilihat dari sering berubahnya fatwa-fatwa politik agama selama ini.

Kedua-dua jenis Politik Pembangunan cetusan barat dan Politik Agama cetusan Timur Tengah telah menemui jalan buntu bukan sahaja di negara kita tetapi juga di mana-mana negara yang mengamalkan kedua-dua jenis politik ini. Politik Peradaban berupaya untuk mengeluarkan rakyat Malaysia dari belenggu Politik Pembangunan dan Politik Agama.

Sebagai langkah permulaan kepada kefahaman dan penghayatan Politik Peradaban yang sebenarnya lebih luas dan menyeluruh dari Politik Pembangunan dan Politik Agama, kita perlu mula memperkenalkan pemikiran Politik Peradaban kepada rakyat Malaysia bagi menimbulkan kesedaran terhadap amalan politik yang lebih sihat dan sejahtera serta bersifat peradaban.

Jika Politik Peradaban telah menjadi sebahagian dari etika, amalan dan budaya rakyat Malaysia maka soal hilang integriti, mengambil rasuah, tidak bermoral, saling mengkhianati, pecah amanah, rela dijual-beli dan seumpannya boleh kita kurangkan sedikit demi sedikit dan mencegahnya dari membiak. Di waktu yang sama karya-karya etika Politik Peradaban oleh Ibnu Miskawayh, Al-Farabi, Al-Ghazali, Ibnu Khaldun, Al-Razi, Al-Tusi, Al-Dawani yang berteraskan etika yang tinggi dan nilai-nilai yang mulia wajar kita sebar luaskan dalam masyarakat terutamanya melalui media sosial.

Rakyat Malaysia tidak memiliki pilihan lain jika mereka ingin keluar dari krisis dan defisit etika yang lahir dari ikatan Politik Pembangunan dan Politik Agama melainkan melalui jalan Politik Peradaban.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts