MCA BERLAGAK GANTI TEMPAT DAP DALAM ISU MENCABAR BAHASA KEBANGSAAN

2.3k
SHARES
7.5k
VIEWS

Sebelum ini ketika negara berada di bawah era pentadbiran Pakatan Harapan atau PH, pemimpin DAP Lim Guan Eng, yang ketika itu Menteri Kewangan dan Teo Nie Ching Timbalan Menteri Pendidikan telah menyalahgunakan urusan rasmi kerajaan dengan menggunakan tulisan Cina dan secara tidak langsung membelakangi tulisan Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.

2. Hari ini MCA pula cuba tunjuk lagak hero memperjuangkan bahasa Mandarin melalui Timbalan Menteri Pendidikan yang baru di bawah kerajaan PN, Dato’ Dr. Mah Hang Soon, dengan sengaja membuat ucapan sambutan perayaan dengan menggunakan tulisan Mandarin sepenuhnya berlatar belakangkan logo kementerian. Mungkin beliau tidak tahu atau boleh jadi juga beliau sengaja melakukannya untuk melihat kesan dan akibat daripada perbuatannya yang boleh disifatkan sebagai provokasi itu.

3. Isu guna bahasa selain Bahasa Kebangsaan bukannya suatu yang baru tetapi telah lama dibuat oleh pihak tertentu dengan harapan mahu membuka minda orang Melayu supaya boleh mesra menerima bahasa dan tulisan bangsa lain, atas alasan mengamalkan dasar keharmonian dan perpaduan berbilang kaum di dalam negara majmuk. Kononnya Malaysia adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi tulen untuk disampaikan kepada Barat betapa demokrasi berjaya dilaksanakan di rantau ini.

4. Dalam satu kenyataan oleh Lim Guan Eng semasa menjawat Menteri Kewangan, alasan beliau menggunakan bahasa dan tulisan selain Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan adalah: “Di bawah Perlembagaan Persekutuan, tiada siapa yang dicegah dari bercakap, mengajar, atau belajar bahasa lain. Dengan semangat Perlembagaan, apakah yang salah dengan mengeluarkan kenyataan akhbar yang diterjemahkan dalam bahasa Cina atau bahasa lain?” – Lim Guan Eng

5. Dan kenyataan beliau itu disanggah oleh Tun Hamid dalam tulisannya bertarikh 29 Jun 2018 dengan hujah:

Perkara 152, antara lain, memperuntukkan:
152. (1) Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.

Dengan syarat bahawa –
(a) tiada seorangpun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan”

Perhatikan bahawa klausa ini menyatakan bahawa, pertama, Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Melayu.

Kedua, peruntukan bahawa tiada sesiapa dilarang daripada mengguna, mengajar atau belajar bahasa-bahasa lain itu adalah selain daripada maksud rasmi (official purpose).

6. Maka, untuk maksud rasmi, larangan itu tidak terpakai. Ertinya, bagi maksud rasmi, Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) hendaklah digunakan. Maksud rasmi ditakrifkan dalam Klausa (6) seperti berikut:

(6) Dalam Perkara ini, “maksud rasmi” ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.”

7. Pernyataan ini cukup jelas dan kenyataan Guan Eng yang salah itu seolah-olah bertujuan mahu memanipulasi Perlembagaan bagi tujuan membolehkan bahasa selain Bahasa Melayu digunakan untuk urusan rasmi kerajaan. Padahal Perlembagaan tidak menyebut dan bermaksud membenarkan penggunaan bahasa lain di samping Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan. Tetapi, ia diperuntukkan oleh Seksyen 3 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32).

8. Kini sekali lagi isu ini diperhangatkan oleh MCA pula, dan setelah menerima ribuan kecaman dari warga maya, Timbalan Menteri Pendidikan segera menukarnya dengan alasan ia suatu kesilapan tanpa memohon maaf. Apakah jika tidak ditegur, perkara ini akan dibiarkan, dan apakah sesuatu yang berupa seperti provokasi ini mesti ditegur dahulu baru hendak dibuat pembetulan?

9. Jika demikian, MCA bagai meletakkan dirinya sebaris dengan perangai buruk DAP. Sering kali mencabar pemerintah dengan pelbagai provokasi yang sama seperti yang dibawa oleh DAP. Adakah selepas ini akan timbul pula provokasi mahu mengubah papan tanda jalan raya dengan tulisan Cina, atau lebih berani lagi meletakkan tulisan Cina pada semua nama-nama sekolah kebangsaan dengan alasan ramai orang Cina tidak tahu membaca tulisan Rumi Bahasa Melayu?

10. Walau apa sekalipun, MUAFAKAT berasa amat dukacita dengan sikap pemimpin MCA yang diberi peluang walaupun setelah kalah bertanding di kawasan majoriti Melayu, kemudian ada pula yang menuntut bahawa kerusi Parlimen adalah kerusi tradisi calon MCA. Sangat mengejutkan apabila ucapan biadab ini dilontar setelah ahli dari parti MCA ini dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pendidikan yang merupakan kementerian strategik yang mempunyai ruang yang luas untuk mempengaruhi pengundi belasan tahun.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts