PEMBAHAGIAN KAWASAN PILIHAN RAYA ANTARA PARTI KOMPONEN PN DALAM PRU-15 – TUN ABDUL HAMID

239
SHARES
1.2k
VIEWS

Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad

(Saya bukan ahli politik. Saya tidak ada apa-apa kepentingan peribadi. Saya juga tidak tahu mengenai kehendak akar umbi parti dan persefahaman antara sesama parti komponen PN yang menjadi faktor pertimbangan dalam urusan pembahagian kawasan untuk bertanding dalam PRU-15. Maka, jika pandangan saya ini dikatakan akademik, saya terima. Jika dikatakan idealistikpun saya terima. Tetapi saya fikir ia ada juga baiknya. Pendapat ini dibuat semata-mata berdasarkan alasan-alasan yang disebut terang-terang dan tidak dipengaruhi oleh sesuatu sebab yang dirahsiakan, jika ada. Maka ia lebih bebas (independent) dan lebih telus.

Perbincangan dalam rencana hanya tertumpu kepada kedudukan di Semenanjung Malaysia sahaja.)

PN adalah satu kumpulan parti-parti politik yang diwujudkan secara ad hoc dalam usaha menjatuhkan kerajaan PH. Ia terdiri daripada UMNO/BN, PAS dan Bersatu. PN perlu bersatu dalam menentang PH dalam PRU-15 yang akan datang. Maka, isu pembahagian kawasan bertanding oleh parti-parti komponen PN perlulah diselesaikan lebih awal.

Bahawa ia adalah satu perkara yang sangat rumit untuk diselesaikan tidak dapat dinafikan, Tetapi, ia perlu diselesaikan dan dipersetujui oleh parti-parti komponen PN. Jika tidak, dan jika mereka akan bertanding sesama sendiri dalam menentang PH, PH yang mempunyai undi pejal orang-orang Cina mungkin akan mengalahkan PN. Maka, pemimpin-pemimpin parti-parti komponen PN perlu ingat bahawa keutamaan mereka adalah mengelak bertanding sesama sendiri dalam menentang PH.

Sebelum membincangkan mengenai pembahagian kawasan bertanding itu, kita perlu ambil ingatan mengenai kedudukan parti-parti komponen PN itu.

Antara UMNO, PAS dan Bersatu, UMNO adalah parti terbesar, paling tua dan saya percaya, mempunyai sokongan akar umbi orang Melayu yang paling meluas. Dalam PRU-14, di mana pengundi Cina bersatu menyokong PH, UMNO menang dengan undi Melayu dan mungkin sedikit undi orang India. Saya fikir, PRU-14 adalah satu detik di mana peratusan sokongan orang Melayu terhadap UMNO adalah paling rendah. Ia disebabkan oleh kempen benci DS Najib yang dicanangkan oleh Tun Dr. Mahathir yang pada masa itu, berjaya menarik sebahagian pengundi Melayu mengundi PH.

Sekarang, keadaan itu sudah berubah. Tun Dr. Mahathir semakin hilang kredibiliti dan popularitinya. Tsunami Melayu kepada PH itu telah berpatah balik kepada UMNO dan PN. Tun Dr. Mahathir telah dipecat oleh parti yang ditubuhnya sendiri dan Bersatu telah keluar daripada PH dan kini bersama-sama PN. Maka, saya percaya undi Melayu kepada UMNO dalam PRU-15 akan melonjak. Oleh itu, memberikan bilangan kawasan bertanding kepada UMNO berdasarkan undi yang diperolehinya dalam PRU-14, berbanding dengan PAS dan Bersatu, adalah tidak adil kepada UMNO.

PAS adalah parti Melayu kedua terbesar, kedua paling tua dan kedua mempunyai sokongan akar umbi orang Melayu yang meluas. Dalam PRU-14, ia menang semata-mata dengan undi orang Melayu. Demikian juga, dalam PRU-15, ia semata-mata mengharapkan undi orang Melayu.

Dalam PRU-14, terutama sekali di Kedah, PAS mendapat faedah daripada kempen benci DS Najib. Sebahagian orang Melayu yang biasanya mengundi UMNO/BN yang terpengaruh dengan kempen itu tetapi tidak selesa mengundi PH, mengundi PAS. Pertandingan tiga penjuru menguntungkan PAS. Penyokong tegarnya tidak berubah kerana faktor agama: Mengundi PAS adalah menyokong perjuangan Islam. Pengundi PAS tidak lari kepada PH. Yang lari adalah pengundi UMNO/BN. Penyokong UMNO yang berpindah mengundi PH juga, secara tidak langsung (indirectly), memberi kemenangan kepada PAS selain daripada mereka yang terus berpindah mengundi PAS.

Tetapi, keadaan itu juga akan berubah dalam PRU-15.  Saya percaya kedua-dua kategori pengundi itu akan balik kepada UMNO dalam PRU-15. Maka, memberi kawasan untuk bertanding kepada PAS berdasarkan undi yang diperolehinya dalam PRU-15 di Kedah dan di Pantai Barat Semenanjung, malah, walaupun pada tahap yang berkurangan, di Terengganu juga, adalah tidak adil kepada UMNO. UMNO patut diberi lebih.

Kita sampai kepada Bersatu. Bersatu ditubuh oleh Tun Dr. Mahathir untuk memberi landasan kepadanya untuk mendapat kerjasama PKR, DAP dan Amanah untuk menjatuhkan DS Najib. Beliau mahu menjatuhkan DS Najib tidak kita apa akibatnya.

Setelah PH menang PRU-14, maka lebih jelaslah tujuan beliau. Beliau mahu menghapuskan UMNO, menyerapkan ahli-ahli Dewan Rakyat dan ADUN UMNO yang dikehendakinya kepada Bersatu untuk menguatkan kedudukannya dalam PH dan mengambil alih ahli-ahli dan aset UMNO seperti yang pernah dilakukannya apabila UMNO diharamkan dalam tahun 1988 dan beliau menubuh UMNO Baru. Beliau telah berjaya melakukannya sekali, mengapa tidak sekali lagi? Tetapi, kali ini Allah SWT tidak mengizinkannya.

Tetapi, UMNO kembali kuat walaupun asetnya dibekukan. Bersatu keluar daripada PH dan menyertai PN dan Tun Dr Mhathir disingkir daripada Bersatu. Maka tiada berpartilah beliau sekarang.

Oleh sebab Bersatu sekarang berada dalam PN dan ia juga mengharapkan undi Melayu, maka kawasan majoriti Melayu yang sepatutnya dibahagikan di antara UMNO dan PAS, jika Bersatu masih berada dalam PH, akan terpaksa dibahagikan di antara Bersatu, UMNO dan PAS. Ini menyulitkan pembahagian.  

Walaupun Presiden Bersatu adalah Perdana Menteri, Bersatu mestilah akur bahawa, di antara tiga parti komponen PN itu, Bersatu adalah parti yang paling muda, paling kecil dan paling lemah organisasi di akar umbinya. Ia telah kehilangan orang yang menubuhnya yang menjadikan tarikan kepada bekas-bekas pemimpin UMNO yang sudah tidak mendapat tempat dan orang-orang yang nampak peluang untuk mencuba nasib dalam politik. Mereka ini adalah oportunis, kebanyakannya tanpa bahan (substance). Ini dapat dilihat daripada prestasi mereka yang dilantik menjadi Menteri dan Timbalan Menteri dalam kerajaan PH.

Dalam PRU-14, Bersatu menang kerana sokongan padu pengundi Cina dan sokongan pengundi-pengundi Melayu yang menjadi pengikut setia Tun Dr. Mahathir dan yang terpengaruh dengan kempen membenci DS Najib. Dalam PRU-15, ketiga-tiga faktor itu sudah tidak ada lagi. Ertinya, jika Bersatu bertanding sendiri dalam PRU-15 di kawasan-kawasan yang dimenanginya dalam PRU-14 dan UMNO dan PAS mengelak bertanding sesama sendiri, saya yakin Bersatu tidak boleh menang lebih daripada bilangan jari sebelah tangan, mungkin tidak langsung.

Mengenai MCA, sekian lama, dan paling akhir di Tajung Piai, MCA cuma boleh menang dalam kawasan majoriti Melayu. Namun demikian, ia tidak tahu berterima kasih, terutama sekali setelah menang. Malah, untuk menunjukkan ia ‘lebih Cina’ daripada DAP untuk cuba menarik sokongan orang Cina, pemimpin-pemimpinya mengeluarkan kenyataan-kenyatan tanpa menghirau sensitiviti orang Melayu. Malah, mereka cuba menunjuk kepada orang Cina bahawa mereka boleh memperolehi melalui PN, apa yang DAP tidak berjaya memperolehinya melalui PH. Ini orang Melayu perlu sedar.

Maka, dalam PRU-15, sepatutnya MCA hanya bertanding dalam kawasan-kawasan  majoriti orang Cina. UMNO, PAS dan Bersatu akan berkempen kepada orang Melayu di kawasan-kawasan itu supaya mengundi calon MCA. MCA juga sepatutnya berbuat begitu. Ia juga sepatutnya mendapatkan pengundi-pengundi Cina di kawasan-kawasan majoriti Melayu mengundi calon UMNO, PAS atau Bersatu yang mewakili PN.

Tetapi, apa yang telah berlaku berdekad-dekad ialah calon-calon MCA diberi bertanding di kawasan majoriti Melayu kerana mereka tidak boleh menang di kawasan majoriti Cina. Pengundi-pengundi Melayu memberi mereka menang. (Jangan harap calon UMNO boleh menang dalam kawasan majoriti Cina. Siapa lebih rasis?) Sekurang-kurangnya, sebelum milenium kedua, di kawasan majoriti Melayu di mana tidak ada calon parti orang Cina bertanding, orang-orang Cina mengundi calon UMNO/BN. Sekurang-kurangnya, mereka ada memberi balasan kepada pengorbanan UMNO dan baik hati orang Melayu.

Tetapi, terutama sekali selepas PRU-14, apabila MCA jelas tidak boleh mendapatkan pengundi Cina untuk mengundi calon UMNO, mengapa UMNO patut memberi kawasan majoriti Melayu kepada MCA? Tidakkah pemimpin-pemimpin UMNO boleh nampak hujah bagi UMNO berbuat demikian, sudah tidak ada?

Satu perkara lagi yang orang Melayu perlu beri perhatian ialah MCA tidak tahu berterima kasih. Ihsan dan murah hati (saya memanggilnya naif) orang Melayu dilihat sebagai kelemahan. Mereka menuntut lebih lagi.

Kita kembali semula kepada Tanjung Piai. Dalam PRU-14, kawasan majoriti Melayu itu diberi kepada MCA dan MCA kalah. Oleh sebab BN kalah dalam PRU-14, maka UMNO dikutuk dan dicerca sehabis-habisnya. UMNO sahajalah yang bertanggungjawab, MCA tidak. Jika demikian mengapa hanya seorang sahaja calon MCA yang menang dalam PRU-14, itupun di kawasan majoriti Melayu, berbanding dengan 47 kerusi yang dimenangi UMNO (di Semenanjung Malaysia). Pemimpin-pemimpin MCA mengugut MCA akan keluar daripada BN, malah Presidennya telahpun memperolehi resolusi bagi MCA keluar daripada BN.

Tetapi, apabila, tanpa bantuannya, satu demi satu Pilihan Raya Kecil (PRK) dimenangi BN, maka pemimpin-pemimpin MCA pun mula datang, kononnya untuk membantu kempen pilihan raya BN.

Apabila kerusi Parlimen Tanjung Piai menjadi kosong, lantas mereka menuntutnya atas alasan ia adalah kawasan tradisional MCA. Malays never learn, kawasan  itu diberi lagi kepada MCA. Apa yang dilakukan oleh MCA selepas itu hingga sekarang? Merekalah yang menjadi juara menuntut pengiktirafan sijil   UEC, melebihi DAP. Sekali lagi, Malays never learn, kerajaan PN memberi pula RM58 juta kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), pada hal kerajaan PH pun enggan memberinya!

Sebaik sahaja menerima pemberian itu, MCA sudah mula mambuat tuntutan-tuntutan “kawasan-kawasan tradisinya” untuk ditandinginya dalam PRU-15. Itulah MCA. Masihkah pemimpin-pemimpin UMNO/Melayu tidak menyedarinya?

Akhir sekali MIC.  MIC tidak boleh berlagak angkuh. Tidak ada satu kawasanpun yang ia boleh menang dengan sendirinya. Semenjak sebelum Merdeka, ia mengharapkan ihsan UMNO. Tetapi, satu dua kawasan kena juga diberi kepada MIC dan ia semestinya kawasan majoriti Melayu kerana mereka tidak akan menang dalam kawasan majoriti Cina. Itu tidak rasis? Maka, MIC perlu sedar bahawa ia hanya mengharap ihsan UMNO. Maka, ia perlulah berusaha mendapatkan pengundi India mengundi calon UMNO. Itulah cara membalas budi.

Bagaimanakah pembahagian hendak dibuat? Sebenarnya, dalam PN ada tiga kumpulan berkaitan dengan pembahagian kawasan bertanding:

  1. UMNO/BN, PAS dan Bersatu;
  1. UMNO/BN dan PAS;
  1. UMNO, MCA dan MIC.

Saya fikir pendekatannya perlulah dibuat seperti berikut:

  1. Tentukan kawasan yang hendak diberi kepada Bersatu, yang lainnya akan diberi kepada UMNO/BN dan PAS sebagai satu kumpulan;
  1. UMNO/BN dan PAS membahagikan di antara mereka kawasan-kawasan yang diberi kepada mereka sebagai satu kumpulan;
  1. UMNO, MCA dan MIC membahagikan di antara mereka kawasan-kawasan yang diberikan kepada UMNO/BN mengikut persetujuan dalam II.

Mengenai I (kawasan yang hendak diberi kepada Bersatu), dalam menentukan kawasan mana dan bilangan yang hendak diberikan kepada Bersatu, faktor-faktor yang saya sebut di atas perlu diambil kira. Ertinya, Bersatu tidak boleh menuntut semua kawasan yang dimenanginya dalam PRU-14. Faktor-faktor yang memberi kemenangannya dalam PRU-14 itu sudah tidak ada sekarang.

Maka, perlulah dilihat majoritinya; jumlah pengundi bukan Melayu, terutama sekali Cina dalam kawasan itu; anggaran jumlah tsunami patah balik kepada UMNO; anggaran jumlah pengundi Melayu yang dibawa oleh DS Azmin Ali kepada PN, yang terakhir disebut adalah plus factor bagi Bersatu, manakala yang lainnya adalah minus factor baginya.

Pendekatan ini terpakai juga kepada kumpulan DS Azmin Ali.

Mengguna pendekatan ini, besar kemungkinan Bersatu dan kumpulan DS Azmin akan mendapat bilangan yang kurang daripada yang dimenangi mereka dalam PRU-14. Mereka perlu menerima hakikat ini kerana jika Bersatu dan kumpulan DS Azmin bertanding sendiri menentang UMNO+PAS dan PH, saya percaya, mereka akan terkubur. Sekurang-kurangnya, dengan menerima kawasan-kawasan majoriti Melayu yang dipersetujui oleh UMNO dan PAS dan dengan sokongan pengundi-pengundi UMNO dan PAS, mereka boleh dikatakan terjamin untuk memenangi kawasan-kawasan itu.

Tetapi, jika UMNO+PAS bermurah hati untuk memberi kepada Bersatu dan kumpulan DS Azmin mana-mana kawasan yang tidak sepatutnya diberi kepada mereka, itu terserahlah kepada UMNO dan PAS. Memberi kawasan majoriti Melayu kepada Bersatu dan kumpulan DS Azmin adalah lebih baik daripada memberinya kepada MCA.

Mengenai II (antara UMNO dan PAS), faktor-faktor yang saya sebut di atas perlu diambil kira, terutama sekali di mana kemenangan PAS adalah dengan majoriti yang sedikit. Ertinya, bukan semua kawasan yang dimenangi PAS dalam PRU-14 patut diberi kepada PAS. Tetapi, jika UMNO hendak bertolak ansur dengan PAS, terserahlah kepadanya.

Bagi kawasan-kawasan yang dimenangi Bersatu dengan jumlah undi yang sedikit daripada jumlah undi yang diperolehi bersama oleh UMNO dan PAS (UMNO+PAS), melainkan jika ia dipersetujui untuk diberi kepada Bersatu, faktor-faktor yang saya sebut di atas perlulah diambil kira. Ertinya, kawasan-kawasan di mana UMNO memperolehi lebih banyak undi daripada PAS patut diberi kepada UMNO. Kawasan-kawasan di mana PAS memperolehi undi lebih daripada UMNO, tetapi tidak banyak bezanya, juga patut diberi kepada UMNO.

Demikian juga bagi kawasan-kawasan yang dimenangi oleh kumpulan Tun Dr. Mahathir, kumpulan DS Azmin, PKR dan DAP, melainkan jika UMNO hendak bertolak ansur dengan PAS, terserahlah kepadanya.

Walau bagaimanapun, PAS perlu mengurangkan kawasan yang ditandinginya. Dalam PRU-14, PAS bertanding dalam terlalu banyak kawasan yang ia tidak berkemungkinan  menang yang mengakibatkan kemenangan tipis kepada PH. PAS juga bertanggungjawab, secara tidak langsung (indirecrly), memberi kemenangan kapada PH dalam PRU-14.  Kawasan-kawasan itu patut diberi kepada UMNO.

Mengenai III (antara UMNO, MCA dan MIC), apa yang saya katakan di atas hendaklah diambil kira. MCA jangan lagi menuntut kawasan majoriti Melayu sebagai haknya. Ihsan jangan ditukar menjadi hak. MCA parti Cina, memperjuangkan hak orang Cina hingga terang-terang melanggar dasar kebangsaan, maka tempatnya ialah di kawasan majoriti Cina. Pengundi-pengundi Cinalah yang sepatutnya memberi mereka menang.

Gerakan sudah keluar daripada BN. Kawasan-kawasan yang ditandingi Gerakan dalam PRU-14 yang bukan kawasan majoriti Melayu, kesemuanya boleh ditandingi oleh MCA. MCA sudah mempunyai kawasan yang cukup banyak untuk ditandinginya. Tugasnya ialah memenanginya. Jangan salahkan UMNO jika kalah.

MIC hendaklah menerima apa diberi oleh UMNO dan berterima kasih.

22 Jun 2020

tunabdulhamid@gmail.com

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan