UMNO DAN PAS PERKUKUH MUAFAKAT NASIONAL, ABAI ‘CUCUKAN’ PAKATAN HARAPAN

157
SHARES
1.7k
VIEWS

MUAFAKAT NASIONAL SELAKU AGENDA PENYATUAN UMMAH

UMNO dan PAS dengan setulus hati bekerjasama dan mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia pada 14 September 2019 yang lalu.

Kesepakatan ini wajib dijaga sebaik-baiknya, dibajai dan disuburi dengan sikap tawadduk dan istiqamah, memuliakan sesama Islam dan saling bertolak ansur.

PIAGAM MUAFAKAT NASIONAL 

UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan-kewajipan tertentu yang wajib dilaksanakan melalui Piagam Muafakat Nasional seperti berikut;

“MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan negara, Islam sebagai agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara;”

“MEMPERKUKUHKAN MUAFAKAT NASIONAL melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.” 

“MEMPERKASAKAN AGENDA ISLAM, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.” 

“MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.” 

“MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.”

Justeru permuafakatan antara PAS dan UMNO ini adalah dalam bentuk perjanjian piagam yang wajib diikuti dalam menggenggam amanah yang wajib pula disuburi. 

TAAT ATAU BATAL APABILA KHIANAT

Dalam Islam pula, mana-mana pihak yang bersetuju dan berjanji tidak boleh berdolak-dalik walaupun situasi  atau apa jua yang berubah kerana menurut Baginda Nabi SAW, hanya ada dua  cara iaitu TAAT ataupun BATAL.

Rasulullah SAW amat mementingkan semua pihak agar taat dengan perjanjian dan tidak mengengkarinya, dan ini amat dititikberatkan oleh Baginda SAW yang wajar dicontohi oleh semua pihak yang meletakkan Islam sebagai perjuangan. Apatah lagi ketika ini agenda Islam diutamakan dan wajib untuk diperkasakan maka tidak mungkin perkara asas seperti perjanjian ini tidak boleh difahami oleh sesiapapun yang terlibat tidak kira UMNO ataupun PAS. 

PERJANJIAN TIDAK BOLEH SUKA-SUKA DIUBAH IKUT KEADAAN

Tidak boleh ada mana-mana pihak yang tiba-tiba ingin mengubah perjanjian kononnya atas alasan keadaan ataupun situasi telah berubah. Jika ada salah satu yang tidak TAAT, pilihan yang tinggal hanyalah BATAL.

Pilihan ‘batal’ ini walaupun kelihatan tidak baik ataupun mempunyai kesan negatif namun jika ada yang tidak taat, maka itu sahaja pilihan yang tinggal. Kerana itu semua pihak kena belajar taat dan bukannya sewenang-wenangnya ingin mengubah apa jua yang telah dimaktubkan jika hati mula berubah. Jika tidak, tidak guna berjanji apabila kandungan perjanjian atau kesepakatan akan diubah kemudiannya. 

TERSERLAH SIKAP SIAPA YANG TIDAK TAAT

Namun pihak yang ENGKAR ATAU TIDAK TAAT tersebut sehingga mengakibatkan satu pihak lagi terpaksa MEMBATALKAN perjanjian itu, maka akan terserlahlah hati budi sebenar mereka kerana memungkiri perjanjian dan kesepakatan yang telahpun dimeterai. Ini adalah seburuk-buruk amalan kerana tergolong dalam sifat-sifat orang munafik.

Tidak mungkin kerana tamakkan kuasa dan kedudukan maka perjanjian dan kesepakatan yang dibuat ingin diubah semata-mata kerana keadaan  ataupun situasi telah berubah melainkan sifat munafik mula menyuburi hati masing-masing. 

HATI-HATI MAINAN PERSEPSI DAN SARAF PAKATAN HARAPAN

Kerana itu mainan persepsi Pakatan Harapan yang ditunjangi DAP kononnya ada dalam kalangan  pihak dalam Muafakat Nasional akan bersama Bersatu dan meminggirkan pihak satu lagi ini di dalamnya ini tidak berasas sama sekali. Tidak mungkin dalam kalangan parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair, berpuluh tahun berusaha menegakkan ABATA di bumi Malaysia ini akan bersikap sedemikian, sama ada UMNO ataupun PAS. 

Jangan ada mana-mana pihak melayan dan ‘menyambut’ mainan persepsi ini. Namun jangan pula mainan persepsi ini diambil ringan kerana negara telah melihat bagaimana ia digunakan untuk meruntuhkan sesebuah kerajaan Islam di seluruh dunia.

Kemungkinan pihak lain di luar Pakatan Harapan digunakan untuk ‘cucuk-mencucuk’ agar pihak dalam Muafakat Nasional saling curiga-mencurigai. 

PAKATAN HARAPAN GUSAR MEREKA TIADA KESEPAKATAN

Apatah lagi dalam keadaan genting ketika ini apabila Pakatan Harapan masih lagi tidak berupaya menentukan siapakah pilihan Perdana Menteri mereka sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun Tun Mahathir, jika ditakdirkan Allah Taala mereka akan memerintah kembali. Nauzubillah semoga perkara ini dijauhkan daripada kita semua.

Semua pihak wajar bertenang dan bersikap rasional, jangan ada pihak yang melatah akibat daripada  mainan ‘cucukan’ Pakatan Harapan yang semakin kuat cucuk-mencucuk akhir-akhir ini. Usah jatuh dalam lubang yang sama dua kali, iaitu sebelum ini ada yang percaya dan termakan fitnah sehinggakan sanggup meninggalkan perjuangan dan kepercayaan sendiri. 

MUSYAWARAH DAN JEMPUT BERSATU MENYERTAI MUAFAKAT NASONAL

UMNO dan PAS perlu kuatkan Muafakat Nasional dan kembali ke meja musyawarah untuk melihat bagaimana kaedah terbaik ingin menjemput Bersatu menyertai Muafakat Nasional, bukan sebaliknya iaitu Muafakat Nasional dikorbankan demi kelangsungan mana-mana parti.

Apatah lagi seruan terhadap penyatuan ummah ini adalah perintah Allah yang wajib diikuti. Jangan berpisah dalam satu penyatuan kukuh yang telahpun disepakati untuk bersama dengan fraksi atau kesepakatan yang lain demi parti, kuasa dan pemerintahan. 

ISLAM SEBAGAI MATLAMAT, TAATI APA YANG TELAH DISEPAKATI

Kerana itu Islam ini jelas sebagai penentu hala tuju, penanda aras, malah matlamat akhirnya ingin mendapat keredaan Allah Taala, semasa hidup di dunia dan berbahagia di akhirat akhirnya. 

Jika mana-mana pihak yang engkar dengan sebarang perjanjian atau kesepakatan maka masyarakat boleh melihat yang mana intan dan yang mana kaca.

Yang mana jelas memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair ataupun hanya retorik bagi menyedapkan pengundi dan penyokongnya.

Maka usah dilayan cucukan Pakatan Harapan yang ingin melemahkan Muafakat Nasional yang semakin kukuh, apatah lagi setelah berjaya membantu membentuk Perikatan Nasional bersama Bersatu sehingga PRU-15 kelak. 

PERKUKUH MUAFAKAT NASIONAL DAN KEKALKAN MOMENTUM

Walau bagaimanapun, Muafakat Nasional wajar berunding dengan Bersatu, PKR dan mana-mana pihak dalam Perikatan Nasional agar strategi ampuh dapat dimesyuaratkan agar tidak berlakunya pertembungan tiga penjuru dan jika ada sebarang masalah perselisihan pendapat dapat diselesaikan. 

Selepas itu, kekalkan momentum agar kegerunan Pakatan Harapan terutamanya DAP terhadap Muafakat Nasional diteruskan sehingga ke PRU-15, In sha Allah kemenangan akan bersama mereka yang istiqamah.

Wallahualam.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan