HUKUM KANUN NEGERI-NEGERI MELAYU MASIH BERKUAT KUASA DALAM KERANGKA PERKARA 162 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

1.4k
SHARES
8k
VIEWS

Sistem perundangan Malaysia membenarkan pemakaian English Common Law TERTAKLUK PADA Seksyen 3 (1) dan Seksyen 5 Akta Undang-undang Sivil 1956 (semakan 1972). Bagi Semenanjung Tanah Melayu, mahkamah hendaklah mengguna pakai English Common Law dan kaedah-kaedah ekuiti seperti ditadbir setakat 7 April 1956 dengan syarat-syarat berikut:

a. Sekiranya peruntukan undang-undang berkaitan dengannya belum digubal dan berkuat kuasa di Malaysia,

b. Tertakluk pada sejauh mana yang diizinkan oleh keadaan-keadaan di Negeri-negeri dan masing-masing penduduknya,

c. Dan tertakluk pada penyesuaian seperti yang diperlukan oleh keadaan-keadaan tempatan.

Peruntukan di atas secara jelas menunjukkan common law dan kaedah-kaedah ekuiti tidak boleh diterima bulat-bulat dalam sistem perundangan negara. Syarat-syarat tersebut merupakan tadbir urus dan penyaring bagi penerimaan common law dan kaedah-kaedah ekuiti, bahkan di sana perlu ada modifikasi untuk memelihara keadaan-keadaan watan (lokal).

Prinsip common law dikembangkan oleh hakim Inggeris kerana mereka terlatih dengan prinsip itu. Prinsip undang-undang Inggeris diperkenalkan oleh hakim Inggeris di negeri-negeri Melayu sebelum adanya Enakmen Undang-undang Sivil 1938, yang lebih kurang serupa dengan Seksyen 3 (1) Akta Undang-undang Sivil 1956 (Semakan 1972) di atas. Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi (2018) dalam Kedaulatan Raja-Raja Melayu; Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan telah membahaskan isu amalan common law dan kaedah-kaedah ekuiti dengan panjang lebar.

Ringkasnya, peruntukan di atas secara jelas mengangkat ‘Jurisprudens Watan’, iaitu mengemukakan keadaan-keadaan watan (observation on local conditions and circumstances as well as local inhabitans) dalam pentafsiran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri kerana watan itu ialah prinsip teras pada suatu undang-undang tempatan seperti termaktub dalam Perkara 181(1) yang menyentuh prinsip kedaulatan Malaysia dan disyaratkan oleh seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 (semakan 1972) sebagaimana di atas (Wan Ahmad Fauzi 2019).

Apa yang perlu diperingatkan adalah hakikat bahawa kesultanan-kesultanan Tanah Melayu telah wujud beratus-ratus tahun sebelum kedatangan British, dan kesultanan-kesultanan ini mempunyai ketamadunan dan peradaban yang diiktiraf seantero dunia, dengan sistem politik dan perundangan yang disuratcara dengan kemas, baik dan tersusun.

Undang-undang watan seperti Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang, Hukum Kanun Johor, Undang-Undang Kedah, Hukum Kanun Perak (termasuklah Undang-Undang 99), Undang-Undang Sg. Ujong dan lain-lain perlembagaan dalam kesultanan-kesultanan Melayu telahpun digubal dan berkuatkuasa, berkembang terus-menerus sepanjang zaman semenjak Islam mula menjadi dasar pentadbiran kerajaan-kerajaan Melayu silam.

Walaupun campur tangan British dalam abad ke-19 di Tanah Melayu dilihat membangunkan prinsip undang-undang Inggeris dalam sistem perundangan kita, namun keabsahan suatu undang-undang mahupun dasar politik dan perundangan masih tertakluk pada prinsip kedaulatan di Tanah Melayu dan kerangka perjanjian-perjanjian antara British dengan Raja-raja Melayu. Sungguhpun undang-undang Islam dilihat terpencil dan terbatas kepada undang-undang nikah, cerai dan harta pusaka semata-mata, perlu diingatkan bahawa bukan semua undang-undang yang diperkenalkan atas nasihat British bercanggah dengan prinsip undang-undang takzir.

Menurut Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi semalam, “Banyak dakwaan bahawa hakim-hakim berbangsa Inggeris hanya terlatih dengan English Common Law dan kaedah-kaedah ekuiti justeru mereka mengabaikan prinsip perundangan Islam, namun begitu berapa banyak kajian dibuat untuk menilai jumlah undang-undang yang diperkenalkan atas nasihat British dalam penghakiman mahkamah waktu itu bercanggah dengan prinsip undang-undang Islam?”.

Tambah Datuk Dr Wan, “kita tidak boleh menerima bulat-bulat apa yang orang pada hari ini kata, kita mesti merujuk kepada sumber-sumber yang sah dan semasa ketika itu”.

Tidak kurang pentingnya untuk dikongsikan di sini ialah, selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya dalam tahun 1957, apakah undang-undang watan telah dibatalkan atau dimansuhkan, seterusnya seluruh prinsip dan sistem perundangan kini bercanggah dengan prinsip perundangan Islam?

Jawapannya TIDAK!!

Bahkan pemakaian common law dan kaedah-kaedah tegas Datuk Dr Wan hendaklah diharmonikan dengan syarat-syarat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Undang-undang Sivil 1956 (semakan 1972), bahawa pemakaian English Common Law dan kaedah-kaedah ekuiti hanya boleh dipakai “Sekiranya peruntukan undang-undang berkaitan dengannya belum digubal dan berkuat kuasa di Malaysia”, bermakna jika wujud peruntukan undang-undang watan dalam sesuatu perkara, maka undang-undang watan tersebutlah yang sepatutnya mengatasi (prevails).

Manakala ayat “tertakluk pada sejauh mana yang diizinkan oleh keadaan-keadaan di Negeri-negeri dan masing-masing penduduknya”, “dan tertakluk pada penyesuaian seperti yang diperlukan oleh keadaan-keadaan tempatan”, menunjukkan kaedah-kaedah sah amalan undang-undang tersebut di Malaysia.

Apakah kesan terbesar dari sudut di atas?

Datuk Dr Wan menegaskan itu memberikan implikasi bahawa prinsip undang-undang Islam yang merupakan watan di Alam Melayu tidak pernah dibatalkan ataupun dimansuhkan, bahkan undang-undang watan terus terpakai dalam kerangka Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya tidak pernah berlaku sekatan terhadap prinsip perundangan watan walaupun selepas campur tangan British, apa yang berlaku menurut Datuk Dr Wan lagi, bagaimana para hakim dan pengamal undang-undang Inggeris mentafsirkan keadaan-keadaan watan (tempatan/lokal) dan modifikasi yang perlu dilakukan untuk mematuhi prinsip yang digariskan oleh mahkamah-mahkamah di Tanah Melayu, juga kehendak Enakmen Undang-Undang Sivil 1938, dan statut selepasnya.

Seringkali hakim-hakim berbangsa Inggeris waktu itu terkhilaf dalam memahami Islam dan adat Melayu (selain menyamakan amalan Raja-Raja Melayu dengan sistem Monarki UK sebelum Bill of Rights 1689 yang hakikatnya berbeza), berbanding kefahaman sebenar masyarakat Melayu turun temurun yang mengambil ‘Faham Kontinum’. 

Faham Kontinum di sini bermaksud, prinsip dan ciri utama daripada undang-undang watan adalah AGAMA ISLAM, mengambil sumber perundangan daripada Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak, Qiyas, dan Adat Melayu bersendi kitabullah, berteraskan ajaran Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Persoalannya, mengapa perkara yang sangat penting ini sering dicampur aduk dengan fahaman liberal dalam pentafsiran prinsip perundangan dan keadilan negara dari dulu sehingga ke hari ini?

Jawapannya ialah semenjak awal kemerdekaan Tanah Melayu, kebanyakan hakim dan pengamal undang-undang adalah mereka yang mengambil pengajian undang-undang di UK, sehingga mereka lebih selesa memakai prinsip English Common Law dan kaedah-kaedah ekuiti tanpa merujuk kepada Jurisprudens Watan. Dalam tangan mereka inilah, pemikiran Dikotomi menatijahkan tafsiran-tafsiran dan keputusan-keputusan yang mencerminkan sistem politik dan perundangan. Namun begitu perlu dinyatakan bahawa bukan kesemuanya bercanggah dengan prinsip perundangan watan bersumberkan ajaran Islam.

Sebaliknya Jurisprudens Watan terbatas dalam kerangka mahkamah syariah dan berkembang di fakulti-fakulti pengajian Islam. Namun begitu sejak lebih kurang 30 tahun lepas agenda pengharmonian undang-undang sivil dengan prinsip perundangan Islam sudah berlaku dan masih berjalan, Alhamdulillah.

Mi’RAJ berharap lebih ramai pengamal undang-undang dan pelajar undang-undang tempatan memberi tumpuan kepada elemen-elemen watan termasuk mempelajari sejarah perkembangan peradaban Melayu Islam di Tanah Melayu termasuk sistem-sistem pentadbiran dan perundangan tradisi, membuat pengkajian lanjut dan pembangunan (R&D) elemen-elemen adat Melayu bersendi kitabullah, sekaligus membuat penelitian semula elemen-elemen pengabaian prinsip perlembagaan dan perundangan Islam yang telah berlaku semenjak awal kemerdekaan Tanah Melayu.

Tun Suzana @ Suzana Hj Othman

Merujuk sumber: Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts