KEMPEN ‘TANGANI RASISME’ ANJURAN DONG ZONG YANG PENUH DENGAN HIPOKRASI

402
SHARES
2.4k
VIEWS

Dong Zong baru-baru ini mengumumkan penganjuran kempen menangani rasisme kononnya sebagai usaha menangani kebencian dan diskriminasi terhadap kumpulan masyarakat ‘tertentu’, termasuklah diskriminasi terhadap warga asing ketika krisis wabak COVID-19 ini.

Ini secara tidak langsung merujuk kepada operasi-operasi kerajaan bagi membasmi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), sama seperti naratif fitnah sesetengah NGO hak asasi manusia. Kempen yang dijalankan oleh Dong Zong ini saya kira, penuh dengan hipokrasi sahaja yang mahukan perhatian dan simpati.

Kita tidak pernah lupa bahawa Dong Zong merupakan pihak yang mewujudkan dan mempertahankan sistem sekolah vernakular dan UEC yang kita semua maklum merupakan sebuah sistem yang telah menjadi barah kepada perpaduan negara? Dengan ‘kuasa’ dan ‘pengaruh’ yang mereka ada, agenda-agenda subversif mereka ini didokong kuat oleh parti-parti Cina seperti DAP, MCA dan Gerakan sehinggakan mengiktiraf sistem UEC menjadi manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Kita tidak lupa bahawa penganjuran perhimpunan bekas-bekas anggota komunis yang diadakan pada tahun lalu telah dianjurkan dalam premis milik Dong Zong di Kajang, iaitu Kolej New Era. Kita tidak lupa bahawa Dong Zong telah menghasut masyarakat Cina dan sebahagian kecil masyarakat India untuk membenci tulisan Jawi dengan pelbagai tuduhan Islamofobik dan tidak masuk akal.

Hasutan tersebut sangat berhasil sehingga sekolah-sekolah vernakular seluruh negara telah bangkit dan menggantung kain rentang dengan mesej-mesej anti-Jawi yang sangat mencabar kesabaran kita.

Dong Zong jugalah yang ingin menganjurkan himpunan anti-Jawi secara besar-besaran yang menghimpunkan persatuan-persatuan Cina seluruh negara, tetapi akhirnya dihalang oleh polis. Kita tidak lupa juga bagaimana Dong Zong sangat berkuasa mengasak Kementerian Pendidikan ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan yang singkat itu sampaikan pelbagai tuntutan mereka dipenuhi dan berjaya mengakibatkan seorang Menteri Pendidikan letak jawatan.

Paling penting, kita tidak lupa bahawa pengasas Dong Zong iaitu Lian Geok pernah dilucutkan kerakyatan Malaysia kerana ‘terlalu rasis’. Antaranya, beliau kuat menghasut rakyat membenci Yang Dipertuan Agong dan menghasut masyarakat Cina menolak sistem pendidikan negara melalui penentangan terhadap Penyata Barnes, Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib.

Serta memang terbukti bahawa sejak awal penubuhan Dong Zong sehingga sekarang memang ternyata memecah-belahkan masyarakat. Banyak lagi siri keceluparan dan kerosakan yang dilakukan oleh Dong Zong yang telah merosakkan negara ini dan kita tidak pernah lupa.

Jika benar individu-individu di dalam Dong Zong ikhlas mahukan keharmonian, mansuhkan sistem pendidikan vernakular dan bersama-samalah kita bina sistem pendidikan satu aliran. Kemudian, bubarkanlah Dong Zong yang penuh dengan noda-noda dan kekotoran rasisme dan kebencian itu dan tinggalkan perjuangan pendidikan vernakular.

Banyak lagi NGO Cina yang jauh lebih moderat, sederhana dan benar-benar ikhlas berkhidmat untuk masyarakat yang anda boleh pilih untuk menabur bakti. Kepada pihak kerajaan pula, kita tidak lupa ketika kita bersama-sama melaung-laungkan agar pendidikan vernakular dimansuhkan dan agar diharamkan sekali pertubuhan rasis Dong Zong ketika kalian belum menjadi kerajaan dahulu.

Petisyen rakyat menuntut Dong Zong diharamkan yang telah kami hantar dalam bentuk memorandum kepada pihak kerajaan ketika zaman Pakatan Harapan, sehingga kini masih tiada tindakan. Maka kita harapkan memorandum itu diambil tindakan oleh kerajaan ini.

Ingat, kami tetap akan berjuang sehingga sekolah vernakular dimansuhkan, tidak kira siapapun menjadi kerajaan.

Wallahu’alam.

Aminuddin Yahaya Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA

7 Jun 2020

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/528851

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts