ADAKAH JASA PN AKAN DIKENANG DENGAN BANTUAN TAMBAHAN RM58 JUTA?

1.7k
SHARES
16.5k
VIEWS

Oleh Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Membaca berita bantuan RM58 juta kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) memang amat menyakitkan hati. Selepas ini, akan diikuti dengan bantuan kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Sekolah Persendirian Cina dan lain-lain.

Ketika di bawah PH, bantuan disalurkan melalui Alumni mereka. Kini di bawah PN, terus secara langsung kepada Lembaga pengurusan mereka. Hanya kerana mereka adalah orang MCA. Tidak hairan, ketika PRU-14, lembaga inipun tidak mengundi BN. Jangan haraplah undi Cina ultra kiasu akan beralih kepada PN meskipun berapa banyakpun bantuan diberikan kepada Sekolah Persendirian Cina, TAR UC dan UTAR.

Ini MCA baru ada dua kerusi Parlimen, bayangkan selepas ini ada banyak kerusi? Malas nak fikir semua ini. Menang pula di kawasan majoriti Melayu. Melayu menangkan MCA, MCA bantu sesama mereka. Jika tidak mana mungkin MCA dan Gerakan mempunyai bangunan konglomerat mereka sendiri, dan jutawan demi jutawan yang dilahirkan melalui syarikat yang ditubuhkan.

Jika nak bantu sangatpun, bantulah sekadar berpada-pada, tetapi bukan sehingga menenggelamkan bantuan kepada Sekolah Agama dan Sekolah Swasta yang jelas haknya dalam Perlembagaan, berbanding dengan institusi yang terkeluar daripada senarai Perlembagaan, tetapi masih terus dibantu.

Sekolah agama seperti melukut ditepi gantang. Sekolah Tahfiz usahlah cerita. Malah dihina lagi. Kita terus berdiam diri. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan sama seperti status Sekolah Kebangsaan, pun tidak dapat menambat hari mereka, malahan Persatuan Ibu dan Guru (Dong Jiao Zong), menjadi semakin ultra kiasu.

Saban kali mengugut kerajaan untuk iktiraf segala sijil mereka meskipun tidak layak berbuat demikian. Pendek kata, semakin banyak bantuan diberikan, semakin mantap kedudukan mereka, semakin ultra kiasu mereka, sebab ultra kiasu sudah menjadi terlalu kuat. Bermandikan duit.

Tidakkah semua sedar bahawa boleh dikatakan majoriti 1300 SJKC yang ada di seluruh negara mempunyai bangunan tambahan sendiri, termasuk dewan yang canggih, selain daripada bangunan yang disediakan sepenuhnya oleh kerajaan. Dari mana mereka dapat wang yang begitu banyak kalau bukan majoriti jutawan mereka menderma kepada sekolah tersebut?

Saya sudah lama katakan bahawa tanpa bantuan kerajaanpun, institusi pendidikan mereka tidak akan ada masalah langsung, kerana komitmen jutawan dan ibu bapa mereka sangat tinggi.

Kita tidak pernah belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini. Saya secara konsisten mengingatkan tetapi tidak pernah diendahkan. Sedangkan dengan mengingatkan melalui tulisan ini, terlalu mahal harga yang perlu dibayar.

Ugutan demi ugutan, kecaman demi kecaman, penghinaan demi penghinaan diterima. Saya terima sahaja dengan harga yang perlu dibayar. Sejak zaman Pak Lah, tidak ketinggalan zaman Najib Razak lagi saya lantang bersuara, sebanyak manapun bantuan diberikan, undi mereka tidak akan beralih.

Malah saya berani katakan semakin banyak bantuan diberikan, semakin ramai ultra kiasu yang akan dilahirkan. Undi tidak akan pergi kepada MCA atau Gerakan, tetapi kepada DAP. Bukan sedikit tetapi lebih banyak.

Adakah kita sudah lupa bantuan ‘bulan bintang’ yang Najib Razak telah berikan kepada kepada Sekolah Persendirian Cina dan Universiti Cina ketika kempen PRU-14? Saya sudah ingatkan berkali-kali, hingga akhirnya BN kecundang.

Paling terkesan, kelulusan pemberian 1.2 hektar tanah kepada Sekolah Persendirian Cina Chong Hwa, Sentul, bagi tempoh 99 tahun, pembinaan kompleks sukan ketika kempen PRU14?

Akhirnya, geran dia dapat, undi pergi kepada ultra kiasu, PRU-14 BN tumbang. Sudah lupa? Hairan saya, kenapa masih tidak belajar, walaupun sudah dipatuk dua kali. Ingin saya tegaskan di sini, institusi yang dibantu dengan banyak ini, tidak membantu pembangunan negara bangsa dan jati diri negara bangsa.

Bayangkan semua Cina berkumpul di suatu tempat tanpa bercampur dengan bangsa asal atau majoriti. Sudahlah sejak kecil kita dipisahkan dengan sekolah berbeza. Sampai ke peringkat pengajian tinggipun kita dipisahkan. Dengan bantuan yang diberikan, institusi pendidikan mereka semakin canggih, penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan ibarat melukut di tepi gantang.

Sejarah Tanah Melayu diperlekehkan, sejarah Tanah Besar China dilebihkan. Adakah kita sudah lupa, Universiti Awam yang dihuni bersama dengan majoritipun mereka begitu berani. Sudah lupa peristiwa tunjuk perasaan membawa plakad ketika istiadat majlis konvokesyen Universiti Malaya tahun lepas?

Desakan mahukan Naib Canselor UM dipecat. Tidak ada apapun tindakan dikenakan oleh PH. Lepas begitu sahaja. Banyak lagi kes lain.

Nampaknya, kita tidak pernah mahu belajar. Kita berpolitik kerana kemarukkan undi bukan mahu membina negara bangsa. Jika beginilah keadaannya, PH ke memerintah, PN ke memerintah, seolah-olah tidak ada beza.

Semua hendak mengambil hati orang lain. Hati sendiri terluka tiada siapa yang ambil tahu.

Berbaloikah politik sebegini?

Maaf dipohon, Eid Mubarak…

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan