APA AGENDA SEBENAR SEKSYEN 28 ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) BERKAITAN SEKS LUAR TABII DICABAR?

109
SHARES
889
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM) 

1. Hari ini dilaporkan di media Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada seorang lelaki mencabar keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 berkenaan “persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii”. Cabaran difailkan lelaki tersebut setelah didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas tuduhan melakukan seks luar tabii.
2. Penghakiman seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang dibuat pada 14 Mei lepas adalah bersandarkan kepada Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan memutuskan keperlembagaan sesuatu undang-undang.

3. Lelaki tersebut yang merupakan salah seorang daripada sebelas yang didakwa di Mahkamah Syariah itu juga dilaporkan telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi permohonan tersebut ditangguhkan bagi memberi laluan kepada prosiding di Mahkamah Persekutuan ini. Begitu juga perbicaraan di Mahkamah Syariah telah ditangguhkan.

4. Antara asas cabaran tersebut ialah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 telah melampaui bidang kuasanya kerana terdapat peruntukan kesalahan yang sama di dalam Kanun Keseksaan khususnya seksyen 377 secara berasingan ataupun keseluruhannya.

5. Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan seperti berikut:

Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

6. Manakala seksyen 377A hingga 377C adalah seperti berikut:

Seksyen 377A. Persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikata melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Seksyen 377B. Seksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.

Seksyen 377C. Melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dsb.

Barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan luar tabii ke atas seorang lain tanpa kerelaannya, atau bertentangan dengan kemahuannya atau dengan meletakkan orang lain dalam ketakutan mati atau cedera kepada orang itu atau kepada mana-mana orang lain, hendaklah disiksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari 5 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat

7. Cabaran yang dibuat oleh lelaki tersebut hanya terhadap keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang membawa hukuman jauh lebih rendah daripada yang diperuntukkan oleh Kanun Kesiksaan. Jika beliau berjaya Seksyen 28 tersebut tidak lagi boleh digunakan bagi mendakwa mereka di mahkamah syariah terhadap orang yang melakukan liwat. Seksyen 28 membawa hukuman maksima didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

8. Manakala Seksyen 377A boleh diseksa dengan hukuman yang dinyatakan di dalam Seksyen 377B iaitu dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat atau hukuman dalam Seksyen 377C iaitu disiksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari 5 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.

9. PPMM juga ingin menjelaskan sebatan di mahkamah syariah adalah sangat ringan berbanding dengan sebatan yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil yang mendatangkan kesengsaraan melukakan dan mendatangkan kecederaan.

10. Oleh itu timbul persoalan apakah niat sebenar lelaki tersebut ataupun sesiapa juga di belakang beliau mencabar Enakmen Syariah dan bukan Kanun Kesiksaan. Apakah keuntungan yang akan diperolehi beliau apabila mencabar undang-undang yang membawa hukuman lebih ringan berbanding yang lebih berat?

11. Malah golongan LGBTIQ juga dilaporkan mengalu-alukan penghakiman tersebut kerana berpandangan akan memberi kesan luas terhadap hak serta layanan saksama bagi individu LGBTIQ tanpa merujuk hukuman yang ada di dalam seksyen 377A hingga C itu lebih berat dari hukuman di dalam Enakmen Syariah. Adakah hukuman berat di dalam Kanun Keseksaan tersebut menggambarkan layanan saksama bagi individu LGBTIQ?

12. Kes-kes terdahulu juga telah memutuskan tafsiran “offences against the precepts of Islam” di dalam Jadual Kesembilan Senarai II Butiran 1 ditafsirkan sebagai kesalahan yang melanggar perintah agama Islam telah jelas menunjukkan bidang kuasa kepada Dewan-Dewan Undangan Negeri mengadakan apa-apa kesalahan yang melanggar perintah agama Islam termasuklah liwat.

13. Begitu juga jika terdapat dua kesalahan yang sama, telah diputuskan seseorang itu tidak boleh didakwa atas kesalahan yang sama sebanyak dua kali, tetapi jika satu mahkamah telah mengadilinya, mahkamah yang lain tidak boleh sekali lagi mengadili kesalahan yang sama.

14. Oleh yang demikian sekali lagi persoalan sebenarnya ialah kenapakah cabaran tidak dibuat terhadap peruntukan yang membawa hukuman lebih berat di dalam Kanun Kesiksaan berbanding Enakmen Jenayah Syariah? Adakah lelaki tersebut mahu dihukum dengan hukuman lebih berat?

15. PPMM merasakan asakan yang tidak putus-putus terhadap institusi Islam seperti ini sejak kebelakangan membawa agenda yang tersembunyi dan mempunyai objektif yang tertentu. PPMM menyeru Kerajaan Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor khususnya supaya memohon mencelah dalam prosiding ini apabila merit kes didengar kelak.

16. Begitu juga Majlis Agama Islam negeri-negeri lain mengambil peranan aktif memohon kebenaran mencelah atau menjadi amicus curae (pemerhati) untuk sama-sama membantu mahkamah memberi keputusan yang tepat di dalam kes ini kerana negeri-negeri lain juga mempunyai peruntukan yang lebih kurang sama dengan peruntukan di dalam Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 tersebut.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar

Presiden

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

27 Mei 2020

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan