MPPK CADANG KPT KAJI SEMULA YURAN DI SETIAP IPT

893
SHARES
2.4k
VIEWS

Wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara Malaysia bukan sahaja memberi impak yang besar kepada kehidupan seharian rakyat malah ia juga memberi kesan kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran di IPT akan dilaksanakan secara atas talian sehingga 31 Disember 2020 akibat terkesan akan wabak pandemik pada ketika ini.

Sehubungan itu, kami di pihak Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ingin mengusulkan satu cadangan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi bagi mempertimbangkan dan mengkaji semula berkenaan isu yuran pengajian semester yang terkesan akibat penularan wabak pandemik Covid-19.

Hal ini diambil kira dari segi fasiliti yang tidak digunakan sepenuhnya oleh mahasiswa memandangkan hampir 80 peratus sudah kembali ke kampung halaman dan tidak menggunakan fasiliti universiti sepenuhnya.

Lebih-lebih lagi berkenaan dengan yuran pengajian serta yuran kolej kediaman, kami di pihak MPPK berharap Yang Berhormat Menteri KPT dapat meneliti serta mempertimbangkan hasrat yang diutarakan demi kelangsungan mahasiswa di seluruh negara.

Terdapat beberapa wakil MPP IPT telah mengeluarkan kenyataan rasmi membangkitkan isu berkaitan yuran pengajian kepada pihak universiti masing-masing namun masih tiada tindakan selanjutnya. Begitu juga dengan segelintir universiti yang memilih untuk tidak mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berbangkit ini.

Oleh itu, kami memohon agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi menyelaraskan satu garis panduan ataupun saranan bagi pihak IPT di seluruh negara dalam menangani isu yuran ini.

Selain itu, terdapat beberapa buah universiti telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dalam memberi data percuma agar urusan pembelanjaran dalam talian berjalan dengan lancar.

Namun, masih terdapat beberapa buah universiti yang tidak mengambil sebarang tindakan berhubung perkara ini sehinggakan proses pembelanjaran dalam talian agak terganggu seperti jaringan ‘wifi’ yang terlalu perlahan, tidak mendapat akses pembelajaran dalam talian yang mencukupi dan sebagainya.

Justeru, MPPK juga mohon pihak KPT memandang serius isu ini agar ia dapat diselesaikan dan masalah pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terganggu.

Perlu diingat bahawa kebajikan pelajar adalah tanggungjawab utama bagi setiap pengurusan universiti yang telah diamanahkan oleh pihak kerajaan dalam usaha memacu tahap akademik tertinggi di negara ini.

Akhir sekali, MPPK memohon agar setiap pihak yang terlibat supaya lebih fokus dalam menangani isu-isu berbangkit seperti ini agar ia tidak membantutkan usaha mengekalkan tahap pembelajaran optimum walaupun semasa pandemik wabak Covid-19 ini.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts