PINJAMAN BON SAMURAI, PERSOALAN BELUM TERJAWAB

3.2k
SHARES
6.9k
VIEWS

Oleh Shehdi Hazrik Shamsudin

Sudah seminggu Menteri Kewangan Dato Seri Tengku Zafrul Aziz membuat kenyataan menzahirkan persoalan beliau berhubung keputusan kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir sebelum ini yang telah membuat pinjaman luar negara meskipun simpanan kewangan negara masih kukuh namun sehingga hari ini rakyat masih tidak menerima jawapan kenapa kerajaan PH membuat pinjaman tersebut.

Pada November 2018 BERNAMA melaporkan mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah membuat pinjaman luar dari Negara Jepun dengan kerjasama Japan Bank of International Cooperation (JBIC) sebanyak 200 billion Yen melalui terbitan Bon selama 10 tahun.

Menurut Lim pinjaman dibuat bagi membayar hutang negara, dan persoalannya hutang negara tetap meningkat dan Lim masih tidak menjawab soalan Zafrul, malah ketika ini mereka cuba mengalih fokus rakyat kepada isu di Parlimen, sekaligus menimbulkan banyak tanda tanya dan persoalan mengapa pinjaman dibuat.

Zafrul sebelum ini dalam kenyataan beliau telah mempersoalkan mengapa kerajaan PH begitu rakus membuat pinjaman wang melalui Bon Samurai sedangkan kedudukan kewangan negara masih kukuh. “Apa sebenarnya motif Tun Mahathir dan Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan ketika itu telah menimbulkan banyak tanda tanya?” soal beliau.

Secara tidak langsung penulis melihat kenyataan Tengku Zafrul itu sekaligus cuba menjelaskan bahawa negara sebenarnya tidak perlu membuat pinjaman dari luar negara, malah mempersoalkan tujuan sebenar pinjaman tersebut dibuat.

Ramai berpendapat ada perkara yang disembunyikan oleh Tun Mahathir dan Lim Guan Eng dari pengetahuan rakyat berhubung tujuan pinjaman melalui Bon Samurai sehingga 200 bilion Yen tersebut dan paling menjadi tanda tanya pada Mei 2019 Tun Mahathir mengumumkan mahu melaksanakan terbitan Bon Samurai kedua pula.

Pelbagai pihak mendesak kerajaan menjalankan siasatan sama ada melalui SPRM ataupun satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi mencari jawapan kenapa Guan Eng membuat pinjaman tersebut sedangkan Tun Mahathir sendiri mengakui bahawa negara mempunyai simpanan dana kewangan bernilai RM2 trillion dan RM1.2 trillion dikumpul ketika beliau menjadi Menteri sementara baru-baru ini tanpa Lim Guan Eng di sisi beliau.

Lim Guan Eng sebelum ini sering membuat kenyataan yang meragukan mengenai status kewangan negara baik hutang negara mahupun pendapatan dan perbelanjaan negara sehingga pernah mendakwa 5 bulan pertama beliau hanya berbekalkan RM450 juta sahaja sedangkan gaji dan elaun penjawat awampun sudah lebih RM8 billion sebulan.

Tanda tanya mengapa pinjaman ini dibuat boleh membuka ruang kepada ketidaktentuan ekonomi negara ini kerana hutang Bon Samurai yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia dengan jaminan kerajaan asing bakal menjadikan ekonomi Malaysia lebih terdedah kepada risiko mata wang asing terutama Yen.

Malaysia sebelum ini mempunyai hutang dalam mata wang asing yang sedikit setiap tahun dan keseluruhan hutang negara adalah dalam bentuk mata wang Ringgit Malaysia. Namun pada Jun 2019, hutang dalam bentuk mata wang Yen telah meningkat kepada RM13 billion.

Walaupun kadar faedah yang dikenakan kepada Bon Samurai tersebut serendah 0.63 peratus namun kita perlu melihat juga nilai perdagangan mata wang asing atau kesan faktor Forex ini kerana ia boleh menjadikan kadar faedah juga terkesan kepada kenaikan mata wang asing tersebut berbanding Ringgit.

Dalam tempoh 10 tahun pinjaman tersebut tiada siapa berani mengatakan bahawa nilai Yen tidak akan berubah. Serangan pandemik Covid-19 ini menjadikan Yen dan Ringgit tidak menentu maka jurang nilai pertukaran wang asing berkemungkinan besar boleh melebar. Jika mata wang Yen dan Ringgit melebar, ini bakal mengakibatkan Malaysia perlu membayar lebih tinggi nilai interest kepada pihak Jepun. Hari ini sahaja nilai Ringgit masih lemah, bukan sahaja dengan US Dolar, begitu juga dengan seluruh mata wang asing di rantau Asia.

Sehingga kini Lim Guan Eng masih tidak memperincikan keputusan yang dicapai antara Kementerian Kewangan dan JBIC, malah pendedahan perbelanjaan atau pergerakan jumlah pinjaman tersebut tidak didedahkan kepada rakyat, dan persoalan paling besar yang Lim perlu jelaskan adalah keadaan hutang negara yang makin meningkat walaupun Bon Samurai yang pertama telah dibuat dengan alasan untuk melunaskan hutang negara sebelum ini.

Shehdi Hazrik Shamsudin

Ketua Penerangan DPPK Hulu Langat

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts