MANDAT RAKYAT KEPADA PH – ISHAM JALIL

1.8k
SHARES
9.9k
VIEWS

Kelmarin pada ulang tahun ke-2 Pilihan Raya Umum ke-14, pemimpin-pemimpin PH termasuk Dr. Mahathir dan anaknya Mukhriz serta ketua pembangkang Anwar Ibrahim mula membuat ucapan, ‘road show’ dan ceramah untuk mengenang kemenangan mereka mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan dua tahun lalu.

Mereka tidak berpuas hati dengan kejatuhan kerajaan PH selepas dua tahun sahaja, walhal kejatuhan itu adalah di tangan mereka sendiri akibat perebutan kuasa di antara mereka dan peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 Dr. Mahathir.

Mereka mempersoal kesahihan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini dan mendesak untuk membentuk semula kerajaan PH berdasarkan mandat yang telah mereka peroleh semasa PRU-14.

Apa yang mereka pura-pura tidak tahu untuk memperdaya rakyat lagi ialah mereka (PH) sebenarnya telah lama hilang mandat rakyat ini.

Kini PH tidak lagi mempunyai mandat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka dua tahun lalu.

Mandat yang diperoleh oleh sesuatu parti politik dalam pilihan raya adalah satu bentuk kontrak sosial di antara parti politik tersebut dan rakyat yang mengundi mereka.

Mandat melalui undi ini diberikan oleh rakyat kepada sesuatu parti politik semasa pilihan raya adalah dengan timbal balas bahawa parti politik tersebut akan menunaikan janji-janji yang dibuat oleh mereka kepada rakyat selepas pilihan raya.

Jika parti politik tersebut tidak menunaikan janji-janji mereka malah menipu rakyat untuk meraih undi maka mandat yang diberikan tersebut secara automatiknya terbatal.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 dua tahun lalu, Pakatan Harapan telah menjanjikan pelbagai perkara yang kononnya akan dikotakan oleh mereka apabila rakyat mengundi mereka dan mereka telah menang pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Namun selepas mereka (PH) menang, mereka tidak menunaikan janji-janji mereka malah menunjukkan bahawa mereka tidak berniat pun untuk menunaikannya dengan mengatakan kononnya “manifesto bukannya kitab suci”.

Selama 22 bulan pemerintahan Kerajaan PH, rakyat rasa tertipu dan menarik balik mandat yang diberikan oleh mereka kepada PH dahulu.

Ini ditunjukkan melalui kekalahan teruk PH dalam pilihan raya kecil terkini lima kali berturut-turut.

Oleh itu desakan mereka (PH) kini untuk membentuk semula kerajaan PH berdasarkan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka semasa PRU-14 adalah tidak berasas.

Sebab itu apabila Kerajaan PH menjatuhkan diri mereka sendiri dengan peletakan jawatan Perdana Menteri Dr Mahathir dan kerajaan bertukar ke Perikatan Nasional, rata-rata rakyat tidak membantah malah menyokong pertukaran ini; bantahan yang didengar kebanyakannya adalah daripada pemimpin-pemimpin PH yang hilang jawatan dan konco-konco serta kroni-kroni mereka sahaja.

Rakyat tahu bahawa buat apa simpan kerajaan yang tidak tunai janji, menipu dan berprestasi buruk; jika dibiarkan lebih lama lebih teruk keadaan jadi.

……..

Antara sebab utama kemenangan PH dalam PRU-14 yang lepas adalah mereka telah berjanji untuk menghapuskan hutang PTPTN untuk orang-orang muda.

Akibatnya, majoriti daripada 5 juta pengundi muda pada PRU-14 yang lepas telah mengundi PH; Hampir semua saluran-saluran peti undi orang muda mereka telah menang.

Namun selepas PRU-14, dalam  beberapa pilihan raya kecil yang diadakan, hampir semua saluran-saluran peti undi muda mereka telah kalah iaitu selepas rakyat sedar yang mereka (PH) telah menipu.

PH juga telah menang di lebih 20 Parlimen FELDA iaitu lebih separuh kawasan-kawasan FELDA iaitu kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Ini kerana mereka (PH) telah berjanji dan menipu untuk menghapuskan separuh hutang-hutang peneroka-peneroka FELDA.

Pendek kata PH telah menang PRU-14 dan mendapatkan mandat rakyat dengan menipu.

Berbanding dengan PH, Kerajaan BN terutama di bawah Perdana Menteri ke-6 yang dijatuhkan mereka dahulu iaitu Najib mempunyai rekod menunaikan janji yang tinggi.

Sebelum PRU-14, hampir semua janji-janji dalam pilihan raya telah dikotakan oleh Najib dan pentadbirannya, namun mereka (PH) telah menjatuhkan Najib dengan penipuan mereka.

Jika mereka (PH) boleh menipu berkenaan manifesto dan janji-janji pilihan raya mereka, adalah tidak mustahil mereka juga boleh menipu berkenaan Najib.

Semasa PRU-14, bukan sahaja Najib menjadi mangsa utama mereka, namun rakyat juga telah menjadi mangsa.

Oleh itu, setiap kali kita mendengar ceramah-ceramah Mahathir, Mukhriz, Anwar, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Khalid Samad, Mat Sabu dan lain-lain selepas ini, ingatlah perkara-perkara yang dijanjikan oleh PH dahulu di bawah ini:

1. Hapus Tol = TIPU

2. Hapus PTPN = TIPU

3. Hapus AES = TIPU

4. Hapus hutang peneroka Felda = TIPU

5. Pendidikan percuma = TIPU

6. Turun Minyak RM1.50 = TIPU

7. Tutup Lynas = TIPU

8. 1 juta peluang pekerjaan = TIPU

9. 1 juta rumah mampu milik = TIPU

10. 200 ribu peluang kerja di Sabah & Sarawak = TIPU

11. Gaji minimum RM1500 = TIPU

12. Beri RM150 pada semua warga emas = TIPU

13. Beri RM500 pada anak muda yang berkahwin = TIPU

14. Batal caj renew lesen motor = TIPU

15. Siaran percuma bola sepak Liga Perdana Inggeris = TIPU

16. Menambah 10 ribu bas ke seluruh negara = TIPU

17. Duit KWSP RM50 untuk semua suri rumah = TIPU

18. Lantikan Pesuruhjaya SPRM oleh Parlimen = TIPU

19. Negara hendak bankrap hutang RM1 trillion = TIPU

20. Tiada lantikan politik dalam GLC dan sektor awam = TIPU

21. Pisahkan Pejabat Pendakwaraya daripada Pejabat Peguam Negara = TIPU

22. Mahathir serah jawatan kepada Anwar selepas 2 tahun = TIPU

23. …

24. …

25. …

Oleh itu adakah masuk akal untuk kita mengembalikan mandat kepada PH seperti yang didesak oleh mereka selepas kita tahu yang mereka telah menipu dan mempunyai tabiat tidak tunai janji?

Mereka sendiri yang telah mengkhianati mandat rakyat yang telah diberikan kepada mereka.

ISHAM JALIL

12 Mei 2020

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/716287492460111/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts