PERUTUSAN PRESIDEN PUTRA: ISYTIHAR DARURAT DAN MALAYSIA NEGARA ISLAM

955
SHARES
5.6k
VIEWS

Perutusan Presiden parti PUTRA Sempena ulang tahun pertama PUTRA pada 8 Mei 2020

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

1. Syukur kita pada Allah SWT dengan limpah rahmat dan keberkatan-NYA hari ini 8 Mei 2020 genaplah satu tahun usia Parti Bumiputra Perkasa Malaysia atau PUTRA.

Parti PUTRA berlogokan TANJAK lambang kepahlawan dan budaya Melayu Peribumi. PUTRA lahir dari roh inspirasi beberapa kepimpinan perjuangan NGO PERKASA yang lebih 10 tahun menongkah perjuangan bangsa dan bukan parti serpihan yang lahir dari tulung rusuk mana-mana parti yang pecah akibat perebutan kuasa. Ia lahir dari semangat roh idealisme perjuangan nasionalisme peribumi yang benar-benar patriotik.

2. Sejarah telah terpahat pada 28 September 2020, PUTRA dilancarkan di Padang Kampung Baru, Kuala Lumpur di hadapan hampir 3 ribu ahli-ahli PUTRA fasa pertama dari seluruh negara dan para tetamu. Kampung Baru dipilih kerana ia begitu sinonim dengan kebangkitan umat Melayu memulakan perjuangan menuntut kemerdekaan dari penjajah British.

3. Sempena dengan pelancaran Putra pada tanggal tersebut yang penuh bersejarah secara simbolik dengan paluan geduk dan laungan azan sebagai tanda kebesaran serta kekuasan Allah SWT yang menjadi pegangan keyakinan para pejuang PUTRA agar tidak lupa daratan.

Sesungguhnya solatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah SWT” – dan parti PUTRA adalah wadah untuk setiap insan sebagai khalifah di muka bumi berada dalam jemaah bagi ibadah serta jihad demi kelangsungan perjuangan “amar makruf nahi mungkar”. Serta mengangkat martabat Islam serta survival Melayu Peribumi yang semakin tergugat di bumi sendiri Malaysia negara yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu.

Perisytiharan Sumpah Keramat 10 Perkara Perjuangan PUTRA juga dizahirkan sebagai kemuncak Pelancaran PUTRA. 10 Perkara yang merangkumi tonggak survival Melayu Peribumi yang akan memastikan selagi dunia belum kiamat, JANGAN BUMI KITA DIPIJAK ORANG.

100 ribu naskah SUMPAH KERAMAT PUTRA INI SUDAH DIEDARKAN DI SELURUH NEGARA. Sewajarnya umat Melayu Peribumi wajib memberi sokongan membujur lalu melintang patah.

4. 63 Tahun Negara Merdeka, Malaysia telah membangun dengan prasarana yang hebat namun kedudukan Melayu dan Peribumi makin cemas merempat di bumi sendiri. Walaupun melayu pribumi dengan majoriti 67 peratus sebagai rakyat Malaysia namun nikmat kemerdekaan menjadi milik orang.

7 Wasiat Raja-Raja Melayu menjadi lebur dan Sosial Kontrak Fasal 151  152, 153 Perlembagaan menjadi bahan retorik serta gurindam jiwa. Setiap dasar sudah tersasar jauh dan dilebur oleh pemimpin Melayu Peribumi sendiri kerana permainan politik mencari undi yang akhirnya  seperti MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI. Budaya Melayu dan Islam yang bersifat tolak ansur akhirnya memakan diri sendiri.

5. Mutakhir ini berbagai gelora berlaku. Gelora dan ribut politik yang menghampakan umat Melayu dan Peribumilah yang mencetus kelahiran parti PUTRA pada 8 Mei 2020 kerana kecewa dengan parti Melayu serta parti Islam yang sekian lama wujud dan berkuasa namun akhirnya tersungkur lalu mengecewakan bangsa sendiri. Pemimpin-pemimpin mengaut kekayaan, kehidupan mewah dan kehilangan integriti kerana rasuah, salahguna kuasa, bergelombang dengan isu moral dan akhlak yang akhirnya hipokrit dengan slogan “Hidup Melayu”, laungan takbir tetapi menjuruskan sifat munafik yang sekadar retorik. Tidak perlu dihurai satu persatu kerana ia sudah menjadi Hikayat Seribu Satu Malam bagi umat Melayu Peribumi. Kaum lain yang minoriti serta dahulunya pendatang semasa zaman penjajah kini bersifat megah dan angkuh. Ibarat diberi betis mahukan peha, ibarat hujan naik ke langit.

6. Dari debu-debu kekotoran politik inilah PUTRA lahir membawa cahaya seribu dan makna. Ia ibarat sebutir permata dalam tasik yang penuh buaya dan naga. Para Pengasasnya kerdil tetapi berjiwa kental. Jiwa patriotisme dan jati diri sudah teruji. Berkayuh dengan lidi dan kehausan tanpa air. Namun kecekalan pengasas jemaah pimpinan dari berbagai lapisan di peringkat Dewan Tertinggi atau ADT yang terdiri daripada tokoh-tokoh politik berpengalaman, bersih, berintegriti, berani dan cekal seperti Timbalan Presiden Tan Sri Dato Khalid Yunus, tokoh politik, pengamal undang-undang berpengalaman, tokoh akademik bertaraf Profesor, mantan jeneral, pesara tinggi kerajaan, para professional, doktor perubatan, arkitek,
Perancang bandar, akauntan, ahli-ahli perniagaan dan usahawan seramai 35 orang tokoh pasti dapat merealisasikan perjuangan getir dan berkualiti melalui wadah PUTRA yang mampu menjadi pilihan terbaru sebagai parti untuk seluruh kaum Melayu serta Peribumi Malaysia dan juga rakyat Malaysia umumnya. Ia “parti rasis Berperlembagaan” dan kaum-kaum lain nescaya akan turut memberi sokongan jika kepimpinan PUTRA telus, bebas rasuah, berintegriti, berwawasan, amanah dan bersifat adil. PUTRA tidak akan memalukan bangsa sendiri dan diketawakan oleh lain-lain kaum seperti parti-parti lain kerana cakap lain buat lain. PUTRA sebagai sebuah parti yang berpolitik namun akan mengelak dari amalan “matlamat menghalalkan cara” jika ia bertentangan dengan prinsip moral dan ajaran Islam. PUTRA tidak akan menggunakan nama Melayu tetapi ‘menjual’ Melayu dan mengguna Islam sebagai bahan dagangan untuk tujuan politik yang boleh merosakan akidah serta kesucian Islam.

7. Syukur kehadrat Ilahi, sepanjang setahun PUTRA dilahirkan, sambutan dan sokongan amat luar biasa di kalangan umat Melayu Peribumi. Sokongan senyap yang membawa kepada penubuhan 106 Bahagian seluruh negara tidak termasuk Sarawak walaupun ada permohonan setakat ini. Semua negeri sudah wujud Jawatan Kuasa Perhubungan Penaja Negeri di Semenanjung dan Sabah. Di Sabah terdapat Ketua-Ketua Penaja Bahagian dari etnik peribumi yang bukan beragama Islam. Ia amat membanggakan.

Penubuhan sayap-sayap Wira seperti Wiranita dan Wirawati berjalan serentak dan cawangan-cawangan tumbuh seperti cendawan.

8. Kerancakan penubuhan Bahagian, sayap-sayap dan cawangan yang lain terkesan akibat serangan Covid-19. Jika tidak kerana Covid-19 datang mendadak, PUTRA menjangkakan Perhimpunan Agung Pertama dijadualkan pada hujung November atau awal Disember 2020. Nampaknya terpaksa dipinda daripada jadual asal.

9. Malah sempena perayaan setahun PUTRA, rancangan telah diatur untuk  melaksanakan program KONVENSYEN KEPIMPINAN NASIONAL PERTAMA PUTRA dengan jangkaan 1500 orang perwakilan dan MAJLIS MAKAN MALAM SETAHUN PUTRA untuk mengisi Tabung Dana PUTRA pada 30 Mei 2020 iaitu seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri di Stadium Pusat Belia Antarabangsa Cheras yang akan diadakan di sebelah siang dan  di Stadium Taman Titiwangsa pada sebelah malamnya pula. Malah bayaran tempat juga sudah dibuat serta kad-kad jemputan sudah dicetak dan ada yang sudah diedarkan. Akibat Covid-19 dan PKP, ia terpaksa ditangguhkan sehingga dibenar oleh pihak berkuasa dan ROS. In sha Allah.

10. Negara dalam keadaan bahaya akibat Covid-19. Ia meragut nyawa dan ‘membunuh’ perniagaan. Seluruh dunia terancam termasuk Malaysia. Ekonomi semakin gawat dan rakyat kehilangan pekerjaan serta perniagaan. Negara Malaysia lebih terjejas kerana dihimpit oleh lain-lain masalah dan isu-isu yang amat serius termasuk perkauman dan pendatang asing tanpa izin.

Negara ibarat telur di hujung tanduk. Kesetabilan politik terancam kerana kerajaan yang dinamakan Kerajaan PN (belum ada kelulusan ROS) adalah kerajaan yang disebut sebagai kerajaan pintu belakang walaupun sah di sisi undang-undang tetapi tidak sah di sisi moral dan maruah. Cakap-cakap kerajaan tidak lama, kerajaan boleh tumbang bila-bila masa dan pakatan rapuh kumpulan dalam PN tidak baik untuk negara. Ia tidak memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur dan boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara. PUTRA sejak dahulu lagi berpendirian Pilihan Raya Umum hendaklah diadakan bagi membolehkan rakyat menentukan mandat yang baru. PUTRA telah mengeluarkan kenyataan rasmi memohon dan ampun perkenan DYMM SPB YDP Agong agar membubarkan Dewan Rakyat dan PRU diadakan kerana berlaku lompat-melompat di kalangan ahli-ahli Parlimen. Ia ibarat penyakit yang kekal tanpa kesembuhan jika tidak dikembalikan melalui mandat rakyat.

11. Isu wabak Covid-19 dan kerajaan yang dipertikaikan serta banyak lagi isu-isu lain yang bertimbun.Terkini isu pekerja asing, PATI, pelarian Rohingya, pelancong China dan India yang tidak pulang sudah menjadi barah kepada keselamatan negara. Jumlah keseluruhan lebih 7 juta bukanlah angka yang kecil dan amat menggerunkan. Disusuli pula dengan isu penjualan MyKad yang merupakan perbuatan khianat dan derhaka kepada negara kerana sogokan wang ringgit. Isu kaum makin tegang, isu penghinaan terhadap Islam, Raja-Raja Melayu dan terhadap umat Melayu. Isu-isu sosial termasuk kehilangan pekerjaan dan pengangguran, pencabulan terhadap asas Perlembagaan negara serta lain-lain perkara bertali arus yang menggugat negara.

PUTRA amat bimbang adakah kepimpinan politik negara sekarang mampu menangani kelangsungan hidup rakyat dgn selamat, makmur dan keselamatan serta keamanan negara terjamin. Ibarat kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan”, maka PUTRA menaruh harapan dan keyakinan penuh kepada kebijaksanaan, kewibawaan dan ketegasan peranan DYMM SPB YDP Agong bersama Majlis Raja-Raja Melayu sebagai tonggak dan payung negara. Jika keadaan makin tidak terkawal dengan suasana politik yang ada, maka pilihan terakhir ialah meletakkan negara di bawah ‘pengisytiharan darurat’ secara sukarela sebelum nasi menjadi bubur. Pengisytiharan darurat selama 3 tahun sebelum kembali semula kepada Sistem Demokrasi BerParlimen untuk PRU-15. Pengisytiharan darurat bererti menyerahkan kuasa pentadbiran negara di bawah MAGERAN seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 dahulu. Parlimen digantung dan parti-parti politik dibekukan atau lockdown selama 3 tahun. Masa 3 tahun ini digunakan untuk kembali semula ke ‘papan hitam’ atau drawing board bagi membuat pembetulan serta mencari penyelesaian terhadap semua masalah negara. Masalah negara yang dihadapi kini tidak mungkin boleh diselesaikan dengan kepimpinan politik yang kehilangan wibawa dan melalui peti undi. Negara memerlukan pembedahan bagi mengubati penyakit yang semakin parah. Adakah mungkin selepas MAGERAN, apabila kembali kepada Demokrasi BerParlimen, sudah tiba masanya Malaysia mengamalkan “SISTEM DUA GABUNGAN PARTI” di mana dasar-dasar nasional didukung oleh dua gabungan parti bertunjangkan Perlembagaan negara yang tidak boleh lagi disentuh atau menggugat perkara-perkara asas negara. Politik dan kebebasan adalah untuk persaingan memilih mana satu antara 2 gabungan parti untuk rakyat memilih parti berwibawa yang menjamin “good governance” dan program-program pembangunan ekonomi serta lain-lain, mana yang terbaik dan calon-calon yang diyakini pengundi. Sebelum ini dan sekarang, terlalu banyak masa terbuang dan kewangan negara banyak membazir. Cadangan PUTRA untuk bersama semua pihak berfikir secara rasional demi masa depan rakyat berbilang kaum dan kestabilan politik negara.

12. Malaysia pada asalnya Persekutuan Tanah Melayu. Negeri-Negeri Melayu kepunyaan Raja-Raja Melayu di bawah panji-panji Islam. DYMM SPB YDP Agong adalah Ketua Negara dan Islam agama Persekutuan. Namun dipertikai dan dibahas adakah Malaysia Negara Islam atau negara sekular?

Sudah tiba masanya dengan mengambil kira sejarah negeri-negeri Melayu dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang berteraskan Islam dan rakyat Malaysia 67 peratus adalah umat Melayu Islam dan Peribumi, adalah amat wajar Malaysia diisytiharkan secara rasmi dan berpelembagaan sebagai SEBUAH NEGARA ISLAM. Pindaan Perlembagaan wajib dibuat dengan memasukkan perkataan di awal mukadimah Perlembagaan, bahawa Malaysia adalah negara Islam dan Islam agama Persekutuan. Perdana Menteri wajib dan haruslah seorang Melayu beragama Islam sesuai dengan Ketua Negara adalah DYMM  SPB YDP Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing masing.

50 peratus bumi Malaysia adalah Tanah Rezab Melayu, penduduk 67 peratus adalah Melayu Islam dan Peribumi, askar Melayu benteng negara dan bahasa Melayu bahasa kebangsaan negara, maka Malaysia wajar diisytihar sebagai negara Islam secara rasmi dan berpelembagaan.

Inilah tunjang dan paksi perjuangan PUTRA, “biar putih tulang, jangan putih mata”.

Allahuakbar!!

Ingat Islam Ingat PUTRA

Ingat PUTRA Ingat Melayu_

Ingat Pribumi Ingat PUTRA

SELAMAT MENYAMBUT SETAHUN PUTRA. GENGGAM BARA API BIAR SAMPAI JADI ARANG. 

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali (Adijagat)
Presiden PUTRA

8 Mei 2020, Jumaat

15 Ramadhan 1441H

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts