MPPK YAKIN KERAJAAN AKAN SEDIAKAN SOP TERBAIK BAWA PELAJAR IPT PULANG

746
SHARES
236
VIEWS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyambut baik pengumuman kerajaan yang akan mempertimbangkan untuk mengkaji SOP terbaik dalam urusan membawa pelajar IPT pulang ke kampung halaman masing-masing.

Pelajar ini termasuklah pelajar dari negeri Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia serta pelajar Semenanjung Malaysia yang belajar di negeri Sabah dan Sarawak. Golongan ini adalah yang dianggap paling mencabar untuk dihantar pulang kerana melibatkan pelbagai proses dan prosedur.

MPPK berharap golongan ini diberi perhatian terutamanya daripada segi pengangkutan, kesihatan dan prosedur yang perlu dipatuhi seperti yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak tertentu.

Hal ini bagi memastikan mereka dapat pulang ke kampung halaman tanpa perlu membayar kos penerbangan yang terlalu tinggi yang menyebabkan mereka rasa terbeban atau ada inisiatif lain yang dapat dilaksanakan secara percuma untuk kebaikan mereka bersama.

Pemilihan SOP yang terbaik dan ketat adalah satu keperluan sekiranya keputusan untuk membawa pulang pelajar diluluskan. Hal ini kerana ia akan melibatkan pergerakan lebih 80,000 pelajar yang berada didalam dan di luar kampus dan ia merupakan satu jumlah pergerakkan yang sangat besar dan menuntut ketelitian yang tinggi.

Pemilihan SOP yang terbaik dapat mengelakkan wujudnya kluster baru COVID-19 dalam kalangan pelajar IPT, satu perkara yang sangat perlu dielakkan.

MPPK yakin pihak kerajaan akan menyediakan satu SOP yang terbaik bagi memastikan pelajar dapat pulang ke kampung halaman secara berperingkat, tertib, selamat dan tidak terdedah dengan risiko COVID-19. MPPK juga mohon semua pihak memberi ruang kepada kerajaan untuk membuat persiapan sebaiknya.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan