GLC PERLU TERUS DITADBIR OLEH PROFESIONAL DAN TEKNOKRAT

13
SHARES
147
VIEWS

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) menzahirkan rasa tidak bersetuju dengan pernyataan Menteri di JPM, Dato’ Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan Perikatan Nasional bercadang untuk melantik ahli-ahli Parlimen (AP) yang tidak memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri menjadi Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta agensi- agensi kerajaan. Apatah lagi sekiranya yang dilantik ialah mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki, pemimpin JK Pusat PAS pula menegaskan bahawa adalah munasabah untuk meletakkan AP yang dipilih oleh rakyat untuk menerajui GLC kerana mereka boleh memantau GLC tersebut bagi pihak rakyat.

Kedua-dua pernyataan ini jauh tersasar. Jawatan utama di GLC tidak boleh dijadikan habuan politik! Dan kerja Pengerusi bukanlah menjadi pemantau tetapi pemangkin prestasi GLC tersebut. Untuk menjadi pemangkin positif, orang yang dipilih perlu mempunyai kredibiliti, pengalaman, kelayakan, sifat amanah dan rekod cemerlang dalam bidang berkaitan.

Menjadi seorang Ahli Parlimen tidak bermaksud mereka mempunyai kelayakan profesional untuk menjadi teraju sebuah GLC atau agensi kerajaan. Kami menegaskan bahawa pemimpin politik tidak wajar dilantik mempengerusikan entiti perniagaan seperti GLC.

Ahli politik lebih baik memegang jawatan politik dan tinggalkan jawatan korporat kepada golongan profesional dan teknokrat. Prinsip utama “politics and business do not mix” diketahui umum dan menjadi SOP dalam mana-mana negara demokrasi yang matang. Sejarah telah membuktikan apabila politik dan perniagaan dicampur-adukkan, perniagaan menuju ke arah kehancuran.

Sejarah pengurusan GLC dan badan berkanun di Malaysia kini adalah baik. Para teknokrat dan profesional yang berkaliber dijemput menerajui syarikat-syarikat tersebut. Kita masih ingat rekod cemerlang Tan Sri Abdul Aziz Rahman menerajui MAS menjadi satu syarikat penerbangan yang terulung di rantau ini. Begitu juga kisah PETRONAS yang diterajui oleh Tan Sri Azizan dan Tan Sri Hasan Merican dipacu menjadi syarikat Fortune 500. Contoh- contoh lain adalah seperti FELDA, Sime Darby, CIMB, Maybank dan IHH.

Tujuan GLC dan badan berkanun ditubuhkan adalah untuk:

1. Memfokuskan skop perniagaan syarikat bawah pimpinan pengurusan profesional dan berwibawa secara bebas.

2. Membawa syarikat tersebut menjadi bukan sahaja juara dalam negara tetapi serantau bahkan dunia.

3. Menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.

4. Memberikan servis berkualiti dunia dalam bidang masing-masing

5. Menjadi pemangkin positif penyertaan Bumiputera dalam perniagaan dan industri.

Semasa pemerintahan terdahulu, banyak Ahli Parlimen dilantik menjadi Pengerusi GLC seperti FGV, Tabung Haji, FELCRA, MARA dan lain-lain. Hasilnya GLC-GLC ini mengalami kerugian besar dan terpaksa diselamatkan (bail out) oleh kerajaan. Lebih parah, beberapa pengerusi lantikan dalam kalangan ahli politik ini sedang menghadapi tuduhan pecah amanah dan penyelewengan di mahkamah.

Kerajaan perlu belajar dari pengalaman lalu apabila pemimpin gagal memegang amanah: Rakyat hilang keyakinan dan beralih arah. Oleh itu GLC perlu kembali kepada peranan badan amanah orang Melayu dan rakyat Malaysia. GLC perlu diurus oleh mereka yang mampu menjaga kepentingan orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan!

Kita perlu sedar bahawa banyak ahli politik yang dilantik tidak mempunyai kelayakan asas; dan tidak mengikuti peraturan urus-tadbir dan ketelusan syarikat. Mereka bahkan tidak faham perbezaan asas antara jawatan eksekutif dan bukan eksekutif! Siasatan telah membongkar penyalahgunaan kuasa dan rasuah mega yang hampir melumpuhkan syarikat- syarikat tersebut.

Analisa di atas adalah ringkas tetapi memadai untuk memberikan gambaran menyeluruh kesan jika kita tersilap langkah. Oleh itu ACCIN, PEMBELA, MAPIM, MTEM, DPMM dan MBM menyeru agar kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri tidak mempertaruhkan masa depan GLC dan badan berkanun yang menjadi tunggak ekonomi dan pentadbiran negara dengan meletakkan syarikat-syarikat ini bawah pimpinan mereka yang tidak mempunyai latar belakang dan keupayaan memimpin syarikat-syarikat korporat gergasi ini.

Pada masa yang sama kami menegaskan bahawa para profesional dan teknokrat yang dilantik mesti menunjukkan integriti yang tinggi; dan memahami bahawa fungsi agensi adalah untuk memberikan perkhidmatan dan sumbangan kepada rakyat, bukannya kepada pengurusan semata-mata.

Pemimpin dan Pengerusi GLC yang dilantik bukan hanya perlu kompeten namun harus mampu memainkan peranan pembangunan negara melalui peranan GLC dlm sektor strategik dan masa hadapan. Mereka bukan hanya memastikan keuntungan pada ”balance sheet” yang cantik namun mampu membangunkan industri dan rantaian bekalan tempatan terutamanya penyertaan SME Bumiputera. Pendek kata; mereka harus kompeten dan berjiwa bangsa.

Kami menyeru agar segala inisiatif reformasi GLC ke arah tata-kelola yang lebih baik dan dinamik terus dilaksanakan demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Kerajaan PN hari ini telah memulakan perjalanan dalam rekod yang baik dengan pelantikan Ahli Kabinet yang agak bersih, menangani isu Covid-19 dengan cekap, pakej Rangsangan PRIHATIN yang baik untuk masyarakat pendapatan rendah dan SME. Jangan pula rekod baik ini dicalarkan dengan pelantikan ahli politik dan mereka yang tidak kompeten dalam mempengerusikan GLC. Kami meletakkan keyakinan bahawa dengan kepimpinan negara bawah YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa GLC ke mercu yang lebih tinggi.

Ir Mohd Jamaludin Bin Shamsudin, CEO ACCIN

Hj Aminuddin Yahaya, Pengerusi PEMBELA

Hj. Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MAPIM

Ahmad Yazid Othman, CEO MTEM

Hj. Abdul Halim Hussin, Presiden DPMM

Jufitri Joha, Presiden MBM

21 April 2020

Kuala Lumpur

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend