SARAN KERAJAAN KAJI KAEDAH LAKSANA SOLAT BERJEMAAH DI SETIAP MASJID DAN SURAU KETIKA PKP

393
SHARES
2.3k
VIEWS

Alhamdulillah, kerajaan bertindak cemerlang menangani isu Covid-19 dan sehingga semalam, kadar mereka yang dijangkiti semakin berkurangan iaitu 54 orang, terendah setakat ini dengan kadar kesembuhan tertinggi mencecah 58.48 peratus iaitu 3102 daripada 5305 jumlah dijangkiti keseluruhan sejak pandemik ini melanda negara.

Langkah menyekat pergerakan keluar masuk negara serta Perintah Kawalan Pergerakan kelihatan berhasil, walaupun terdapat segelintir individu degil namun barisan hadapan ataupun frontliner berjaya mengekang dalam usaha mematikan rantaian wabak ini dari terus tersebar.

Langkah memanggil semua peserta jemaah tabligh yang berhimpun ketika Ijtima’ Qudama dan Ulamak pada 28 Februari sehingga 2 Mac yang berjumlah sekitar 12,500 untuk disaring dilihat bertepatan dengan usaha untuk membendung wabak ini.

Selain itu kerajaan melalui Menteri Agama juga tidak dibenarkan berjemaah di masjid dan surau termasuk solat Jumaat kerana dilihat melibatkan kadar himpunan yang ramai.

Dengan penurunan ini, justeru adalah diharapkan pihak kerajaan dapat menimbangkan masjid dan surau untuk menganjurkan solat lima waktu dengan kadar yang terhad antara tiga sehingga lima orang, asalkan amalan solat berjemaah di masjid dan surau yang dituntut agama dapat diteruskan.

Menteri Kesihatan serta Menteri Agama perlu menasihati kerajaan mengenai perkara ini kerana secara logiknya jika ketika ini rakyat masih dibenarkan ke pasaraya dan lain-lain tempat keperluan lain seperti pejabat pos dan bank, maka solat jemaah di masjid dan surau ini tentunya boleh diusahakan.

Kerajaan tentunya boleh memikirkan kaedah-kaedah tertentu seperti ahli jemaah sentiasa menjaga jarak, menjaga kebersihan dan membasuh tangan, menjaga sentuhan masing-masing dengan berwuduk di rumah serta menetapkan jumlah berjemaah yang dihadkan antara tiga sehingga lima orang, ataupun apa-apa jumlah yang difikirkan sesuai.

Serta solat di masjid dan surau ini bukanlah dilaksanakan secara terbuka tetapi pentadbiran masjid perlu menetapkan ahli kariah mereka yang akan melaksanakan solat jemaah mengikut jumlah yang dibenarkan oleh kerajaan tanpa mengabaikan ‘social distancing‘ dan terus pulang ke rumah selepas selesai berjemaah.

Menteri Agama tentu boleh memikirkan kaedah ini demi maslahat umat Islam kerana masjid dan surau perlu diimarahkan walaupun ketika PKP dilaksanakan dan perkara ini tentu boleh dilaksanakan dengan rapi dan cermat.

Semoga kita akan terus berusaha meletakkan kepentingan agama di depan, maka rahmat dan keberkatan serta bantuan Allah akan sentiasa bersama kita In sha Allah.

Wallahualam.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts