ADAKAH ANWAR TELAH MELACURKAN PENDIRIAN POLITIK APABILA BERTEMU PM?

455
SHARES
494
VIEWS

1. Saya pada awalnya agak keberatan untuk mengulas berita yang kini tersebar di media sosial berkenaan dengan pertemuan di antara Presiden PKR (Parti Keadilan Rakyat) iaitu pertemuan tertutup di antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin. Namun apabila didesak, Lebai Kampung berasa terpanggil untuk memberikan beberapa komentar.

2. Soalan yang pertama, jika benar pertemuan itu berlaku: siapa yang menjemput siapa? Anwar Ibrahim mendakwa pemergiannya ke pejabat Perdana Menteri adalah kerana jemputan dari Perdana Menteri sendiri. Kononnnya jemputan tersebut adalah berkenaan masalah COVID-19 dan juga pakej rangsangan ekonomi. Persoalannya: siapakah Anwar Ibrahim untuk ‘menasihati’ PM? Beliau bukannya doktor mahupun seorang pakar ekonomi yang mampu menasihati negara pada ketika ini.

3. Malah semalam Malaysia mencatat bilangan kes baharu terendah iaitu sebanyak 69 kes. Keadaan ekonomi juga semakin terkawal dan ternyata PM tidak memerlukan nasihat luar ketika kini PM mempunyai pasukan kabinet yang lebih baik daripada kerajaan PH (Pakatan Harapan) sebelum ini dan dibantu oleh penjawat awam yang berkebolehan. Malah PM juga tidak berkata apa-apa mengenai “pertemuan 45 minit” itu.

4. Persoalan yang kedua: Di manakah pendirian politik Anwar Ibrahim sebenarnya? Selama ini PH tegas menolak dan tidak mengiktiraf pembentukan kerajaan PN (Perikatan Nasional) yang dianggap sebagai kerajaan pintu belakang. Sehingga melampau-lampau mencanang sana-sini bahawa Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai pembelot bagi kerajaan pilihan rakyat.

5. Tidak cukup dengan itu, PH sering mendesak PM supaya segera mengadakan satu sidang Parlimen bagi membuat undian Ahli Dewan Rakyat untuk mencabar keabsahan kerajaan sekarang. Namun apabila berlakunya pertemuan di antara Anwar Ibrahim dan juga TS Muhyiddin Yassin di pejabat Perdana Menteri, adakah ini bermakna Anwar Ibrahim sudahpun mengiktiraf kerajaan Pakatan Nasional?

6. Dan jika benar berlaku, kita tertanya-tanya di manakah kredibiliti pendirian politik Anwar Ibrahim? Adakah Anwar Ibrahim sudah nampak dengan jelas bahawa harapan untuk membubarkan kerajaan pada sidang pertama Parlimen ini nanti tidak akan menjadi kenyataan?

7. Isu yang terakhir adalah, apakah motif sebenar Anwar Ibrahim bagi pertemuan tersebut? Seperti yang semua rakyat sudah tahu Anwar Ibrahim sehingga hari ini masih lagi kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri. Jadi adakah Anwar Ibrahim sebenarnya mahu melobi dirinya bagi menjadi Timbalan Perdana Menteri? Sekurang-kurangnya pertemuan ini lebih kepada pertemuan peribadi berbanding selaku wakil pihak pembangkang.

8. Sebelum ini Ketua Wanita PKR iaitu Haniza Talha telah digantung kerana berjumpa dengan Zuraida dan Azmin. Persoalannya mengapa pertemuan Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri dibolehkan? Di sini seolah terdapat satu sikap “double standard” dan menguatkan spekulasi bahawa pertemuan itu adalah lebih kepada tujuan peribadi dan tindakan melobi bagi dirinya sendiri. Adakah ini merupakan tindakan ‘melacur’ pendirian politik bagi tujuan peribadi?

9. Ini membawa kepada isu kepercayaan Anwar Ibrahim sendiri kepada PH. Adakah Anwar Ibrahim merasakan bahawa PH sudah tidak berupaya untuk dijadikan tunggangan bagi tujuan peribadinya? Atau adakah Anwar Ibrahim sudah tidak dapat mengawal DAP yang menjadi lebih dominan sejak berlakunya perpecahan PPBM dan PKR dalam PH?

10. Dan bagaimana dengan Zuraida dan Azmin, serta beberapa ahli dari PAN (Parti Amanah Negara), kini kesemuanya sudah mendapat tempat dalam kabinet susunan TS Muhyiddin Yasin, dahulunya dicerca sebagai pengkhianat. Apakah mereka boleh menerima Anwar Ibrahim sahaja atau seluruh ahli PKR masuk ke dalam PN dan bersama berganding bahu menikam DAP pula?

11. Akhir sekali, saya ingin mengingatkan semua pihak agar mematuhi arahan PKP. Sekiranya tidak terdapat perkara yang benar-benar mendesak maka eloklah ditangguhkan dahulu sehingga wabak COVID-19 selesai. Antara perkara yang lebih-lebih lagi tidak mendesak adalah pertemuan politik.

12. Selain itu juga pertemuan beberapa tokoh daripada aliran mengaku Ahli Sunnah wal Jamaah bersama Menteri Hal Ehwal Agama bagi membincangkan projek terjemahan kitab hadis – yang pada pandangan Lebai Kampung – bukan perkara penting buat masa sekarang. Malah ia hanya menghangatkan perbalahan sektarian ketika rakyat sepatutnya memberi tumpuan kepada muhasabah dan ibadah agar Allah swt mengangkat wabak COVID-19, di samping persedian menyambut bulan Ramadan yang akan tiba.

13. Kita perlu mencontohi pemimpin kita iaitu YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah yang mengadakan mesyuarat pra kabinet dengan PM melalui video conference. Ini adalah suatu contoh kepimpinan melalui tauladan. Bukan bergerak ke sana-sini tanpa tujuan yang jelas semasa PKP.

Haji Rashidi Haris @ Lebai Kampung

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan