NEGARA PERLU CADANGAN YANG ‘TIP-TOP’ BUKAN TIKTOK

364
SHARES
2.1k
VIEWS

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan pergerakan semakin terhad, menteri yang bertanggungjawab seperti Menteri Pertahanan, Menteri Kesihatan, Menteri Kewangan termasuk Perdana Menteri sendiri bertungkus-lumus mencari jalan dan pendekatan terbaik untuk mengekang dan sekaligus berusaha menghentikan wabak pandemik Covid-19.

Ketika pergerakan terhad ini pihak kerajaan yang tidak terlibat secara langsung sebagai frontliner tetapi tetap terlibat berhadapan dengan krisis ini seperti Kementerian Luar Negeri yang menyelaras dan melaksana pemindahan dan membawa pulang rakyat Malaysia termasuk pelajar dari luar negara.

Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan juga terlibat agar pendidikan negara tidak terjejas walaupun aktiviti sekolah dan universiti dihentikan sementara, namun para Menteri-menterinya wajar memikirkan jalan terbaik sebagai penyelesaian agar pendidikan dan pembelajaran dapat diteruskan walaupun tidak dibolehkan ke kelas ataupun kuliah. 

Pergerakan terhad bukanlah alasan untuk pemimpin menjadi buntu dan ketandusan idea kerana mereka boleh berhubung secara persidangan video bersama pegawai masing-masing termasuk bersama Naib Canselor setiap universiti bagi mencari  jalan mengembangkan idea dan cadangan yang wajar dilaksanakan sepanjang PKP.

Bahkan pergerakan terhad ini boleh menjadikan manusia lebih kreatif dan banyak berfikir yang akhirnya boleh memanfaatkan manusia lainnya.

Sebagai contoh, Tafsir Al Azhar yang sangat masyhur, yang dikarang oleh Profesor Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka yang menjadi rujukan seluruh dunia, dikarang ketika pergerakan beliau dihadkan kerana terpenjara pada era pemerintahan Soekarno.

Begitu juga dengan karangan Fi Zilal al-Qur’an atau Di Bawah Naungan Al-Quran oleh intelektual Islam, Sayyid Ibrahim Husayn Shadhili Qutb atau lebih dikenali dengan Sayyid Qutb, seorang pemikir, penulis dan pelopor Ikhwanul Muslimin di Mesir, yang dikarang oleh beliau ketika dalam penjara.

Tetralogi 4 naskhah novel Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca oleh Pramoedya Ananta Toer yang dihasilkan ketika pemenjaraan beliau pada tahun 1965 sehingga 1979, oleh Soeharto iaitu selama 14 tahun terbatasnya pergerakan beliau, namun tidak membataskan pemikiran dan kreativiti individu yang lebih dikenali sebagai Pram ini.

Malah novel ‘Perburuan’ beliau juga dihasilkan dalam penjara pada tahun 1947 sehingga 1949 ketika dipenjarakan selama 2 tahun oleh  penjajah Belanda. 

Justeru tidak mungkin pergerakan yang dihadkan dalam masa 14 hari PKP fasa pertama dilaksanakan yang ditambah lagi 14 hari bagi PKP fasa kedua, atau berkemungkinan dipanjangkan lagi tempohnya, akan mengakibatkan keterbatasan untuk para pemimpin berfikir demi kepentingan rakyat dan negara. 

Tidak mungkin PKP yang berbeza seperti langit dengan bumi dengan penjara, dilengkapi dengan pelbagai gajet dan teknologi, boleh mengehadkan pemimpin untuk berfikir lebih tajam dan kritis serta mengeluarkan cadangan yang ‘tip-top’ untuk dilaksanakan.

Bukannya mengeluarkan cadangan bertaraf ‘separa matang’ seperti penganjuran Tiktok, kerana kini ia dilihat ‘mencacatkan’ inisiatif kerajaan yang sebelum ini mempunyai momentum cukup baik dan diterima oleh rakyat.

Cukup-cukuplah ‘berjenaka’ dan fokus kepada masalah utama warga universiti termasuk para pelajar dan graduan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts