RUPANYA DATUK DR MUSA NORDIN PENASIHAT MENTERI KESIHATAN PH, MEMANG WAJAR DIKECAM

34
SHARES
378
VIEWS

Oleh Dr. Kamarul Yusoff

Saya dimaklumkan mengenai nasihat seorang peguam DAP, yang diikuti oleh beberapa gesaan sama oleh beberapa penyokong PH, supaya Datuk Dr Musa Nordin menyaman saya kerana kononnya menyebabkan Datuk Dr Musa Nordin dicaci dan dimaki dalam media sosial.

Komen pendek lima perenggan saya itu mudah sahaja, iaitu kritikan Datuk Dr Musa Nordin terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan kerajaan sekarang perlu dilihat di dalam konteks Datuk Dr Musa Nordin sebagai penyokong kuat Kerajaan PH.

Hakikat bahawa Datuk Dr Musa Nordin merupakan penyokong kuat Kerajaan PH adalah satu perkara yang tidak boleh dinafikan kerana ia terpapar jelas di dalam tulisan beliau yang disiarkan atas nama peribadi atau atas nama Muslim Professionals Forum (MPF) di pelbagai media.

Malah, ramai yang tidak tahu bahawa Datuk Dr Musa Nordin bukan setakat penyokong kuat Kerajaan PH, malah adalah sebahagian daripada Kerajaan PH itu sendiri bila beliau dilantik oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebagai penasihat beliau pada 27 Mac 2019.

Pada 28 April 2019, Datuk Dr Musa Nordin, penasihat Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, telah dikurniakan dengan Anugerah Hero Vaksin (Hero Vaccine Award) oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bersempena dengan Perayaan Hari Imunisasi Kebangsaan 2019.

Tidak hairanlah jika bila sahaja ada ruang beliau akan melambung tinggi Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad seperti dalam tulisan beliau pada 3 Mac 2020 yang menobatkan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai “undoubtedly by consensus the best performing Health Minister thus far”.

Begitulah juga dengan cadangan beliau kepada MKN pada 22 Mac 2020 bahawa Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad adalah calon terbaik bagi mengetuai pimpinan digital untuk mengurus ke arah satu aplikasi #COVID2019 yang memberikan suveilans yang paling komprehensif dan efekif.

Di dalam konteks Datuk Dr Musa Nordin sebagai penyokong kuat, malah sebahagian daripada Kerajaan PH inilah maka kritikan-kritikan beliau terhadap Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan kerajaan sekarang dilihat sebagai sebagai lebih dipengaruhi oleh emosi berbanding rasional.

Kritikan terbaru beliau terhadap Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga dilihat sangat tidak bertanggungjawab, malah boleh mencetuskan gelisah dan panik di kalangan rakyat bila dikatakan bahawa doktor, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu dinafikan (bereft of) PPE asas.

Kritikan ini dinafikan sendiri oleh Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang menyatakan dakwaan ketidakcukupan bekalan PPE adalah tidak benar, majoriti petugas kesihatan tidak dijangkiti sewaktu bertugas dan kebanyakan petugas kesihatan yang dijangkiti berlaku di hospital swasta.

Lebih mewajarkan lagi kritikan terhadap Datuk Dr Musa Nordin adalah bila Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar, selaku majikan beliau sendiri telah, pada jam 7:12 malam semalam memohon maaf daripada Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kata Datuk Amiruddin Abdul Satar, KPJ Healthcare Berhad tidak bersetuju dengan pandangan konsultan perubatan KPJ Group seperti Datuk Dr Musa Nordin terhadap Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan meminta maaf atas silap faham mereka ke atas Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Lebih mengesankan lagi ialah pengakuan Datuk Amiruddin Abdul Satar bahawa, berbeza daripada kenyataan Datuk Dr Musa Nordin sebelumnya mengenai kecemerlangan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, “kita tidak proaktif di dalam menangani pandemik Covid-19 pada peringkat awalnya”.

Jika diingat balik, sikap tidak proaktif ini dapat dilihat jelas dalam kenyataan Datuk Dr Musa Nordin sendiri di Astro Awani pada 29 Januari 2020 yang memandang rendah mengenai bahaya Covid-19 ini sekali gus meminta rakyat supaya rakyat tidak gelisah dan tidak panik dengannya.

Kata Datuk Dr Musa Nordin waktu itu, rakyat tidak gelisah dan tidak panik kerana risiko kematian akibat Covid-19 kononnya adalah jauh lebih rendah, iaitu hanya 3%-4% sahaja, berbanding SARS pada 2003 dan MERS pada 2013 yang lebih teruk risiko kematiannya, iaitu 10% dan 30%.

Sekarang ini Datuk Dr Musa Nordin, yang sebelum ini meminta rakyat supaya tidak gelisah dan tidak panik dengan Covid-19, nampaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk menyanggah kenyataan terdahulu beliau dengan cuba mencetuskan gelisah dan panik di kalangan rakyat.

Sebab itulah Datuk Dr Musa Nordin memang wajar dikritik kerana kenyataan-kenyataan beliau dilihat lebih dipengaruhi oleh emosi dan dilihat ramai sebagai lebih “politically motivated” ekoran kedudukan beliau selaku penyokong kuat, malah sebahagian daripada Kerajaan PH itu sendiri.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend