BENARKAH TAN SRI MUHYIDDIN TIDAK BUAT APA-APA SEWAKTU MENJADI MENTERI KDN?

155
SHARES
1.3k
VIEWS

Oleh Dr Kamarul Yusoff

Seorang pemimpin AMANAH bernama Jamzuri Ardani dengan lantangnya bertanya: “Cuba bagitau apa yang Muhyiddin buat masa dia jadi Menteri KDN yang boleh dibanggakan? Yilek!”

Untuk makluman Jamzuri Ardani, di sini dinyatakan 10 pencapaian utama Kementerian Dalam Negeri hanya untuk tahun 2019 sahaja sewaktu ia berada di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin:

(1) Menaikkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Keamanan Global (Global Peace Index, GPI), yang diukur berdasarkan 23 inidikator, antaranya ialah konflik luar, persepsi jenayah, konflik dalaman, kadar pemenjaraan (incarceration rate), demonstrasi ganas dan keganasan, daripada tangga ke-25 pada tahun 2018 kepada tangga ke-16 pada tahun 2019.

(2) Merangka dan melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam, iaitu satu dasar yang bersifat holistik dengan enam teras dan 21 strategi sebagai panduan untuk menangani isu dan cabaran utama keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam dengan penglibatan bersepadu daripada semua pihak, pada 3 Oktober 2019.

(3) Mengekang aktiviti jenayah sekali gus menurunkan kadar jenayah berbanding tahun sebelumnya di mana melalui usaha yang berterusan oleh PDRM jenayah indeks telah menunjukkan penurunan sebanyak 249 kes berbanding sasaran sebanyak 269 kes bagi setiap 100,000 penduduk iaitu penurunan sebanyak 7.5 peratus.

(4) Menguruskan pendatang asing dalam negara di mana melalui pelaksanaan Program PATI Pulang ke Negara Asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk membolehkan warga asing yang telah melakukan kesalahan imigresen pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, seramai 192,260 orang PATI telah berdaftar, seramai 100,242 PATI telah pulang ke negara asal dan sebanyak RM134.6 juta kompaun telah dikutip.

(5) Mempergiat operasi membanteras PATI beserta majikan yang menggaji PATI di mana sebanyak 17,536 operasi ke atas PATI telah dilaksanakan dengan seramai 51,300 orang PATI dan 1,266 orang majikan telah ditangkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

(6) Menubuhkan jawatankuasa bagi menangani pencerobohan nelayan asing dan melaksanakan Ops Naga yang merupakan satu usaha bersepadu bersama agensi-agensi yang berkaitan di mana operasi ini yang bertumpu di Selat Melaka dan Laut Cina Selatan telah berjaya menahan sebanyak 134 bot nelayan asing.

(7) Mempercepatkan proses pemerolehan kewarganegaraan bagi pemohon yang layak menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa melalui sebuah Task Force bagi mempercepatkan proses pertimbangan terutamanya bagi Permohonan Kewarganegaraan Kanak-Kanak Di Bawah Usia 21 Tahun Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, di mana sebanyak 25,111 atau 98.5% daripada 25,495 permohonan telah berjaya diproses.

(8) Menangani kesesakan di Tambak Johor dengan melaksanakan sebanyak sembilan inisiatif yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor, khususnya melibatkan pelantikan Ketua Penyelaras bagi Kompleks Kastam dan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), penyuraian kenderaan berat ke holding bay bagi laluan masuk di KSAB, pembukaan laluan kontra di laluan masuk pada waktu puncak di KSAB, pembukaan laluan khas lori tanpa muatan di BSI dan penambahan anggota Polis Bantuan di BSI.

(9) Melaksanakan operasi penguatkuasaan pengoperasian 24 jam secara pilot test di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao khusus untuk kenderaan berat dan bermuatan dari 18 Jun 2019 hingga 17 September 2019 dan melanjutkannya sehingga 17 Jun 2020.

(10) Menambahbaik kebajikan penjawat awam, khususnya dengan meluluskan kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam daripada kadar sedia ada bagi anggota RELA serta meluluskan dua elaun kepada PDRM, iaitu penyelarasan Imbuhan Tetap Perumahan bagi Perkhidmatan PDRM dan Bayaran Insentif Penerbangan Operasi Special Mission Equipment.

Kepada pemimpin AMANAH berkenaan, ingatlah, jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap seseorang individu atau sesuatu puak itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Tulisan pemimpin AMANAH berkenaan boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10207265068940488&id=169737386

Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3133951543315549&id=100001022016761

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend