COVID-19: RAYUAN GPMS KEPADA PEMILIK RUMAH SEWAAN MAHASISWA

488
SHARES
2.9k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA GPMS

29 Mac 2020

Bencana COVID-19 yang melanda negara hari ini pasti memberikan kesan kepada segenap lapisan rakyat. Tiada siapapun yang terlepas daripada berhadapan dengan kesan buruk terhadap ekonomi akibat penularan COVID-19 ini sama ada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dijalankan mahupun sesudah ianya tamat.

Golongan mahasiswa turut sama merasai kesulitan dan mungkin berhadapan keadaan yang lebih getir jika PKP berterusan sehingga memaksa lanjutan kepada tempoh pengajian di Universiti Awam (UA) ataupun Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Sebagai salah satu langkah untuk meringankan bebanan yang ditanggung rakyat kebanyakan, kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) telahpun mengumumkan penangguhan sementara obligasi pembayaran balik pinjaman yang juga terpakai kepada pembiayaan perumahan.

Langkah ini telah disambut baik oleh kebanyakan institusi perbankan tempatan dengan pengumuman bahawa tiada sebarang akruan faedah akan dibuat sepanjang moratorium ini berlangsung. Hal ini jelas dapat meningkatkan pendapatan boleh-guna rakyat dalam mendepani situasi sukar ini.

Sebagai sebuah persatuan pendidikan yang mewakili mahasiswa di Malaysia, GPMS dengan rendah diri ingin merayu kepada pemilik-pemilik rumah yang disewa oleh mahasiswa universiti awam ataupun swasta di seluruh negara untuk berkongsi manfaat ini dengan memberi pengecualian ataupun pengurangan kadar sewa mengikut kemampuan masing-masing kepada mahasiswa.

GPMS sedar bahawa pengecualian ataupun pengurangan ini bukanlah suatu kewajipan malahan tiada mana-mana undang-undang yang menghubungkan moratorium ini kepada kutipan sewa.

Rayuan ini dibuat semata-mata atas dasar kemanusiaan dan semangat bantu-membantu di kala kita berhadapan situasi getir bersama. Sesungguhnya pengecualian ataupun pengurangan sewaan ini pasti memberi kesan baik langsung kepada poket mahasiswa.

Wang lebihan ini boleh digunakan untuk menampung keperluan asas yang mungkin berhadapan dengan peningkatan harga, membeli peralatan untuk menyesuaikan dengan kaedah pembelajaran atas talian pasca PKP mahupun sebagai simpanan menghadapi kemungkinan tambahan semester pengajian.

GPMS yakin dan percaya terdapat ramai pemilik rumah sewa di luar sana yang telahpun memberikan pengecualian ataupun pengurangan sewa kepada penyewa masing-masing.

Buat pemilik-pemilik rumah sewaan mahasiswa yang masih berkira-kira, anggaplah usaha murni ini sebagai satu pelaburan terhadap sektor pendidikan negara. Semoga kemuliaan dan kemurahan hati kalian dirahmati dan diberi sebaik-baik pembalasan.

‘Belajar Terus Belajar’

Salam Hormat,

Mohd Alif Anas Haji Md Noor

Presiden

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts