BERSYUKURLAH DENGAN PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI YANG DIUMUMKAN

516
SHARES
2.6k
VIEWS

Selepas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak 250 bilion ringgit yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, pemimpin-pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan mula mempertikai pakej tersebut.

Jika penyokong Pakatan Harapan mempertikai dengan membuat kiraan salah dengan membahagikan 250 bilion ringgit tersebut kepada 33 juta rakyat Malaysia, boleh kita fahami sebagai tindakan kurang cerdik, tetapi tindakan pemimpin mereka lebih memalukan. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang meminta ia dibentang dan didebatkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu kerana kononnya data-data yang dibentangkan tidak tepat dan menuntut penjelasan di Parlimen.

Kenyataan ini amatlah tidak bertanggungjawab kerana rakyat dan negara memerlukan bantuan sesegera yang mungkin ketika dalam situasi yang sukar seperti ini. 

Namun seperti biasa, Pakatan Harapan sememangnya pakar dalam membangkang apa sahaja yang dibentangkan oleh kerajaan walaupun ia amat baik untuk rakyat dan negara.

Ini menunjukkan betapa tidak cerdiknya mereka yang ‘kemaruk’ kuasa ini mentadbir negara dan masih  kuat berpolitik di sebalik bencana pandemik yang melanda satu dunia.

Ketika ini mana-mana kerajaan di dunia meluluskan pakej rangsangan ekonomi seberapa segera yang boleh tanpa melalui Parlimen masing-masing kerana atas faktor kepentingan rakyat dan negara yang terjejas teruk.

Namun, rakyat perlu bersyukur ketika ini kerana bukan lagi diperintah oleh Pakatan Harapan dan pemberian kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu semua lapisan rakyat yang terjejas. 

Bayangkan jika Pakatan Harapan masih memerintah ketika ini tentunya mereka berdebat sesama sendiri terlebih dahulu, sama ada ingin melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ataupun masih ingin membenarkan pelancong China masuk melancong ke negara ini.

Manakala pakej rangsangan ekonomi mereka pula akan dibentangkan berbulan kemudian, setelah keadaan menjadi semakin teruk dan tidak terkawal dengan jumlah kematian yang semakin meningkat. 

Apabila rakyat mula memberontak dan mengecam kerajaan Pakatan Harapan akibat kecuaian mereka yang sering meremehkan bahaya pandemik Covid-19, mungkin mereka akan baru bermesyuarat untuk meluluskan pakej rangsangan tersebut. 

Rakyat ketika itu akan ‘melopong’ apabila Pakatan Harapan mengumumkan pakej sebanyak RM990 juta sebulan yang akan diagih-agihkan kepada 33 juta rakyat dan setiap rakyat akan menikmati RM30 sebulan yang akan diberi melalui ewallet.

Namun perkara inilah yang amat dipuji dan dibangga-banggakan oleh penyokong-penyokong tegar Pakatan Harapan sejak sekian lama.

Justeru, bersyukurlah dengan Pakej Rangsangan Ekonomi yang mungkin tidak sesempurna mana ini tetapi In sha Allah ia akan dapat membantu rakyat yang amat memerlukan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts