BANYAK BAKTI YANG DAPAT DIBERI, SEPANJANG HIDUP YANG SESINGKAT INI

380
SHARES
2.2k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

Tajuk di atas adalah antara bait puisi Almarhum Zubir Ali melalui lagu dan lirik ciptaan beliau “Siapa Yang Tak Pernah Menangis“.

Di saat terluang ini, ingatan saya melayang kepada beliau, seorang guru dan sahabat yang telah meninggalkan kita semua. Namun tinggalan lirik puitisnya mendatangkan kesan mendalam. Lagu yang indah puisinya mungkin kurang popular, namun cukup terkesan di hati rakyat Malaysia sesuai dengan situasi terkini. 

Secara umumnya, di saat Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, terserlah kebaikan rakyat Malaysia:

1. Ramai yang membantu pihak berkuasa terutama staf hospital dan pihak keselamatan. Makanan, keperluan asas diedarkan oleh mereka yang prihatin kepada pihak berkuasa.

2. Saling membantu sesama sendiri. Di kampung-kampung, ramai yang terkesan dengan situasi ini. Bekalan makanan terputus bagi mereka yang tiada pendapatan tetap. Namun ada saja insan murni dan ikhlas membantu.

3. Saling mengingati. Ramai yang tidak kita kenali memberi peringatan tentang situasi terkini di media-media sosial baik keperluan mental atau fizikal. Penyebaran info grafik tentang wabak ini amat bermanfaat buat semua.

4. Perkongsian rangkaian doa-doa untuk semua dan kesejahteraan negara. Walaupun hanya di media sosial atau individu, mendoakan yang terbaik untuk pihak lain adalah langkah terpuji.

Jika mahu disenaraikan kebaikan rakyat Malaysia, tidak terbuat kita di ruangan ini. Ia terlalu banyak. Dari sekecil-kecil bantuan, sehinggalah sebesar bantuan sekadar mampu mengikut kemampuan masing-masing. Kesimpulannya, di saat getir begini, masih ramai insan berlumba-lumba berbuat kebaikan.

Namun tidak kurang juga yang memilih jalan songsang menongkah arus tidak berbuat kebaikan di saat negara berhadapan wabak ini. Ia:

1. Engkar arahan tidak berhimpun dengan jumlah yang ramai. Siap buat video kenduri kepala kambing lagi. Telah didakwa dan menunggu hukuman. Kalau kena, denda ribuan ringgit atau penjara 2 ke 3 bulan. Tidak berbaloi sungguh kalau kena.

2. Seseorang memulakan berita palsu. Kemudian disambut oleh mereka yang menularkannya di media-media sosial. Dapat saja, terus kongsi tanpa memeriksa kesahihan berita. Alasannya, sekadar ‘suka-suka’ menularkannya.

Ironinya, si tukang kongsi cerita telah didakwa. Masa inilah baru teringat pesanan pihak berkuasa, “tidak pasti, jangan kongsi”. Malangnya sudah terlambat. Jika kena hukuman, denda ribuan ringgit atau masuk penjara. Pun tidak berbaloi kerana perbuatan ‘suka-suka’ tadi.

3. Engkar arahan pihak berkuasa secara berhadapan. Siap melawan lagi. Maka mendapatlah habuannya. Didakwa di mahkamah dan bermalamlah di lokap polis atau penjara. Sungguh tepat perumpamaan “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. 

Pihak berkuasa menjalankan tugas dengan kuasa-kuasa yang telah diberikan kepada mereka. Segalanya mematuhi akta-akta sedia ada dalam perundangan negara. Pihak berkuasa bukan ‘suka-suka’ membuat sekatan jalan raya atau melarang kita keluar rumah.

4. Ramai juga yang menjadi profesor serba tahu mutakhir ini. Idea merekalah yang paling baik jika berbicara di media sosial. Apa juga langkah pihak berkuasa, semuanya tidak kena di mata mereka. Ada saja hujah mereka menyanggah tindakan kerajaan. Modal mereka hanya ‘live di FB’ dan air liur saja, sedangkan pertimbangan kerajaan mengambil kira segala sudut.

5. Banyak juga pengadu domba di saat kritikal ini. Mengambil kesempatan meniup api perkauman. Mungkin mereka lupa, wabak ini tidak kenal agama, bangsa atau negara. Semuanya boleh dijangkiti jika langkah pengawalan tidak diambil serius.

6. Tamak. Itu kesimpulan yang terjadi semasa awal perintah kawalan pergerakan. Beli barang-barang untuk stok 6 bulan. Walhal, bukan tidak boleh keluar. Boleh keluar, cuma dengan pergerakan terhad. Pihak berkuasa juga memberi jaminan barangan keperluan sentiasa cukup. 

Kita punya banyak pilihan dalam kehidupan ini. Teruskanlah berbuat kebaikan sesama kita. Jika di saat ini kita dihina, bangkit dan bantulah mereka yang memerlukan. Kita yang lemah ini diberikan peluang untuk membetulkan persepsi orang lain terhadap kita. 

Jika di saat ini kita kuat, maka hulurlah bantuan sebanyak mungkin buat mereka yang memerlukan. Teruskan berbuat baik di muka bumi ini. 

“Banyak bakti yang dapat diberi

Sepanjang hidup yang sesingkat ini”….

p/s : Boleh cari sendiri puisi/lirik penuh lagu ini Youtube…

Dipetik dari laman blog “Anuar Shaari Menulis” di pautan;

http://anuar-shaari.blogspot.com/2020/03/banyak-bakti-dapat-diberi-sepanjang.html?m=1

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts