JUMLAH KEHADIRAN RASMI IJTIMA’ TABLIGH DI MASJID SERI PETALING (28 FEB – 2 MAC 2020)

48
SHARES
535
VIEWS

Surat bertarikh 21 Mac 2020

Bahagian 1: Jumlah kehadiran maksimum semasa ijtima’

Jemputan ijtima’ kami baru-baru ini hanyalah untuk qudama’ atau ‘orang lama’ (mereka yang pernah keluar bersama jemaah dakwah selama 4 bulan) dan ulama’ yang pernah keluar bersama jemaah dakwah selama 40 hari ke atas. Maka jumlah mereka tidak mewakili jumlah semua rakan seusaha atau ahli jemaah Tabligh seluruh Malaysia.

Kami mempunyai satu bahagian (syukbah) yang kami namakan Syukbah Pendataan ketika ijtima’ kami  berlangsung. Syukbah ini bertujuan untuk memudahkan pengurusan makanan dan tempat tinggal untuk semua peserta ijtima’.

Ruang ijtima’ dan jumlah yang hadir dikira melalui data logik berdasarkan keluasan tempat ijtima’. Oleh kerana ijtima’ seumpama ini sering kami anjurkan, kami mempunyai data tetap bagi setiap ruang di dalam masjid tersebut.

o Contoh 1: Sayap kanan masjid boleh memuatkan 1,700 orang (85 orang setiap saf x 20 saf. Baki 5 saf lagi dikhaskan untuk beg peserta ijtima’).

o Contoh 2: Bahagian tetamu luar negara (lantai bermarmar) boleh memuatkan 840 orang (42 orang setiap saf x 20 saf).

Jumlah kehadiran ijtima’ kami dikira semasa solat didirikan berdasarkan kiraan kepala dalam setiap saf, dan bukanlah berdasarkan anggaran semata-mata.

Berikut ialah beberapa ‘trend’ kehadiran dan jumlah peserta dalam saf yang kami dapati setiap kali ijtima’ kami berlangsung:

o Jumlah peserta yang solat dalam saf ketika waktu Maghrib lebih banyak berbanding Isya’, dan jumlah pada waktu Zohor lebih banyak berbanding Asar, kerana sebahagian besar jemaah
mengamalkan solat jama’ disebabkan mereka berada dalam keadaan bersafar.

o Setiap Sabtu malam, kami menganjurkan program ‘malam markaz’ untuk penduduk Lembah Klang. Oleh itu kehadiran pada Sabtu malam ketika ijtima’ kami lebih besar daripada kehadiran pada Jumaat dan Ahad malam kerana peserta ‘walk-in’ kebanyakannya hadir pada Sabtu malam sahaja.

o Jumlah peserta paling ramai setiap kali ijtima’ berlangsung di masjid kami ialah ketika waktu Maghrib, pada Sabtu malam.

Pada Sabtu malam, 29 Februari 2020 yang lalu, data rasmi Masjid Seri Petaling menunjukkan bahawa jumlah peserta yang bersolat Maghrib di masjid kami, termasuk tetamu luar negara dan mereka yang mempunyai tugas-tugas khidmat (seperti menjaga trafik, memasak, menjaga ruang parking dan sebagainya) ialah sekitar 12,500 orang. Inilah kehadiran tertinggi ketika ijtima’ kami berlangsung.

Kiraan sekitar 12,500 orang ini bukanlah jumlah yang baru kami dapatkan, malah ini merupakan rutin Syukbah Pendataan untuk bertahun-tahun lamanya.

Jumlah kehadiran yang banyak disebut ialah seramai sekitar 16,000 orang. Jumlah ini bukanlah datang daripada pihak kami.

Bahagian 2: Jumlah peserta ijtima’ yang masih belum disaring

Daripada jumlah 12,500 orang yang hadir pada Sabtu malam, sekitar 1,600 orang adalah tetamu yang datang dari luar negara dan hampir 100% daripada mereka telah kembali ke negara masing-masing. Ini bermakna jumlah kehadiran orang tempatan ialah sekitar 11,000 orang (pembundaran kepada ribu yang terhampir). Jumlah ini termasuk:

o Peserta ijtima’ yang merupakan warganegara Malaysia dan menyertai ijtima’ keseluruhannya

o Peserta ijtima’ yang ‘walk-in’ pada Sabtu malam sahaja

o Mereka yang berkhidmat ketika ijtima’

o Warganegara asing yang menetap di Malaysia (Rohingya, Myanmar dan Bangladesh)

Sejak bermulanya pengesahan kes pertama yang dikaitkan dengan ijtima’ kami di Brunei, pihak kami telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan telah menggesa semua peserta ijtima’ untuk menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing, atau CPRC hotline secepatnya.

Usaha kami bagi peringkat Malaysia berpusat di Masjid Seri Petaling, tetapi usaha di peringkat negeri-negeri seluruh Malaysia telah dibahagikan kepada 28 markaz semuanya. 28 markaz ini pula dibahagi-bahagikan kepada halaqah-halaqah kecil yang berjumlah sekitar 1,100 halaqah keseluruhannya. Setiap halaqah lazimnya mempunya 15-20 masjid dan surau di bawah naungan masing-masing.

Antara pelajaran pertama yang diterapkan dalam diri setiap rakan seusaha apabila mereka mula berkecimpung dalam usaha dakwah dan tabligh ini ialah konsep taat kepada keputusan mesyuarat.

Apabila mesyuarat kami di Masjid Seri Petaling telah memutuskan supaya semua peserta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, kami telah mengerahkan seluruh 28 markaz untuk menggerakkan kesemua halaqah masing-masing supaya setiap peserta ijtima’ tersebut mematuhi keputusan mesyuarat kami. Setiap peserta dari setiap masjid/surau direkod nama mereka oleh setiap halaqah, dan nama-nama tersebut dihimpunkan oleh markaz masing-masing sebelum disalurkan kepada Masjid Seri Petaling.

Menurut laporan KKM, setakat 19 Mac 2020, sekitar 10,500 orang peserta ijtima’ tersebut sudahpun disaring. Ini bermakna hanya sekitar 500 orang lagi peserta tempatan yang belum disaring.

Banyak laporan yang kami terima memberitakan bahawa ramai antara peserta ijtima’ telahpun pergi ke pejabat kesihatan daerah ataupun hospital berhampiran, terutamanya pada beberapa hari pertama, tetapi apabila didapati mereka tidak menunjukkan sebarang gejala, mereka telah diminta pulang ke rumah masing-masing dah berkuarantin selama 14 hari. Namun kami khuatir butiran mereka tidak direkod sebelum mereka dihantar pulang. Apabila terdengar laporan yang mengatakan ribuan peserta ijtima’ belum lagi disaring, ramai antara mereka telah pergi berkali-kali ke pejabat kesihatan daerah atau hospital berhampiran sehingga nama mereka direkod dan butiran mereka diambil.

Kami juga ada terdengar bahawa di kalangan warga asing yang menetap di Malaysia, ribuan orang Rohingya dikatakan telah menyertai ijtima’ tersebut. Rekod kami menunjukkan bahawa bilangan rakan seusaha Rohingya yang hadir ialah sekitar 200 orang, dan rakan seusaha Myanmar pula berjumlah 150 orang.

Bahagian 3: Kesimpulan

Kami bersedia dan telahpun memberi komitmen penuh untuk membantu pihak berkuasa dalam menangani isu wabak yang sedang melanda.

Jumlah peserta ijtima’ kami berdasarkan data rasmi Syukbah Pendataan ialah sekitar 12,500 orang
semuanya.

11,000 antara mereka adalah penduduk tempatan dan setakat 19 Mac 2020, laporan KKM menunjukkan bahawa 10,500 antara mereka telahpun disaring.

Baki yang belum disaring berjumlah sekitar 500 orang semuanya. Laporan KKM untuk 2 hari yang lepas belum lagi dikeluarkan. Kami jangka insyaAllah bilangan yang belum disaring ini akan menurun lagi, menuju kepada 100% pematuhan arahan pihak berkuasa.

Sekian sahaja, harap maklum.

Wassalam.

Abdullah Cheong & Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah & Tabligh Malaysia

Sri Petaling

26 Rajab 1441 / 21 Mac 2020

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan