ADAKAH DR. MAH PENERUS AGENDA DONG ZONG?

814
SHARES
3.6k
VIEWS

Mengejutkan apabila tidak sampai 24 jam Timbalan Presiden MCA, Dr. Mah Hang Soon, mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan I, beliau telah memperlihatkan kegopohannya dengan membuat kenyataan untuk bekerjasama dengan pertubuhan kiasu cauvanis, Dong Zong dan Jiao Zong. Beliau gopoh dalam menjawab soalan apabila ditanya apakah tindakan yang akan beliau lakukan dalam isu pendidikan Cina yang berkaitan dengan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi mendapatkan pengiktirafan kerajaan.

2. Kepada yang masih belum faham apa itu UEC? Boleh kita sebutkan di sini secara ringkas bahawa UEC atau penuhnya Unified Examination Certificate adalah peperiksaan yang sama seperti peringkat A-level tetapi ia diambil dari kalangan pelajar di sekolah swasta aliran Cina dan dikendalikan oleh Dong Zong.

3. Meskipun sijil ini telah diiktiraf di kebanyakan universiti utama di seluruh dunia, namun sehingga ke hari ini polisi pendidikan negara kita masih belum boleh menerimanya untuk kemasukan ke universiti awam Malaysia. Sekalipun pada asalnya pernah dibangkitkan di Parlimen oleh DAP tetapi MCA juga tidak ketinggalan menuntut perkara yang sama.

4. Mengimbas kembali peristiwa mengenai UEC ini, ia mengingatkan kita bagaimana selepas beberapa bulan kerajaan Pakatan Harapan berkuasa, Dong Zong mula menuntut supaya UEC diiktiraf. Akibat dari tuntutan ini yang sememangnya mempunyai sentimen rasis, telah menyebabkan orang Melayu tersentak dan sedar akan bahayanya tuntutan yang lambat laun boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

5. Isu inilah yang menjadi punca hingga bangkit dan memaksa orang Melayu turun mengadakan satu himpunan besar di Padang Kelab Sultan Sulaiman (KSS) yang terdiri dari pelbagai Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) yang tidak puas hati dengan sikap biadab Dong Zong menuntut sesuatu hanya untuk kepentingan suatu kaum sahaja padahal dalam masa yang sama apabila orang Melayu mempertahankan hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan mereka kata rasis.

6. Tidak dapat tidak, perhimpunan di padang KSS inilah yang menjadi punca kepada semangat kebangkitan orang Melayu yang pertama, selepas tercengang tanpa diduga tumbangnya kerajaan Barisan Nasional dan digantikan dengan parti yang naik melalui persepsi iaitu Pakatan Harapan sebagai pentadbir kerajaan baru yang dilihat terlalu banyak cenderung kepada agenda DAP yang menjadi tulang belakangnya adalah Dong Zong.

7. Kemarahan orang Melayu ketika itu berpunca dari desakan Dong Zong terhadap kerajaan Pakatan Harapan supaya menerima dan mengiktiraf UEC selain beberapa tuntutan lagi yang kebanyakannya melanggar peruntukan Perlembagaan, tuntutan yang melampau-lampau ini amat keterlaluan disusuli dengan perlakuan biadab menghina agama Islam, mencabar Institusi Raja-raja Melayu dan juga dilihat sering kali mencabuli hak keistimewaan orang Melayu.

8. Justeru, timbul persoalan adakah Dr. Mah Hang Soon punya agenda sendiri dengan tidak ambil peduli risiko mengulangi kesilapan kerajaan lama Pakatan Harapan, atau apakah kenyataannya itu sebagai mukadimah kepada perancangan besar golongan kiasu cauvanis, atau sememangnya beliau adalah kuda tunggangan Dong Zong?

9. MUAFAKAT berasa amat kecewa dengan kenyataan Dr. Mah yang terang jelas tidak menghormati usaha Perdana Menteri untuk membina kesatuan mantap dengan matlamat untuk memajukan negara bukannya untuk meneruskan agenda remeh satu kaum sahaja yang boleh menyebabkan ketidakharmonian malahan kenyataan Dr. Mah menggambarkan seolah-olah beliau tidak langsung menghargai kepercayaan yang diberi atas pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan I.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts