NAFSU SERAKAH POLITIK TIDAK BERNOKTAH

541
SHARES
2.9k
VIEWS

SURAT PEMBACA

Oleh Rijaluddin Ahmad

Tempoh seminggu yang lalu sudah cukup menghuraikan 1001 satu kisah dan teladan. Pelajar undang-undang berpeluang menganalisis pelbagai isu Perlembagaan – khususnya berkaitan pelantikan Perdana Menteri Malaysia:

Kuasanya, peranan dan fungsi SPB YDP Agong dan Majlis Raja-Raja.

Terkini, Tan Sri Muhyiddin Yasin (TSMY) adalah Perdana Menteri Malaysia ke-8 yang sah atas perkenan dan lantikaN SPB YDP Agong.

Rakyat pula dapat melihat betapa kecohnya Ahli Parlimen (222 kesemuanya) berkampung di merata ceruk hotel membuat strategic moves masing-masing. Hampir setiap hari keputusan berubah, malah di hujung kemelut politik itu, selang dua atau tiga jam, pendirian parti bertukar terutamanya di kalangan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Tindakan DYMM SPB YDP Agong menyahut fungsi dan peranan Perlembagaan (constitutional role and function) amat disanjung oleh seluruh warga termasuk ahli politik walaupun kemudian ada (termasuk ahli politik) yang memperlekehkan keputusan Tuanku Agong.

Ini lumrah dalam sebuah entiti demokrasi moden. Mujurnya Institusi Di-Raja Berperlembagaan Malaysia telah menyelamatkan kita daripada menjadi sebuah krisis politik yang tidak berkesudahan.

Saya amat terpanggil untuk meneliti blame game dan ‘flip-flop’ politikus Pakatan Harapan (PH) yang bahteranya telah ditenggelamkan oleh kaptennya sendiri pada 24 Februari 2020.

Kenapa demikian dan apa yang berlaku, begitu hebat diperkatakan oleh ahli PH sendiri dan netizen di media sosial. Ini sejarah Malaysia yang akan dikenang selamanya bagaimana sebuah kerajaan tersingkat negara ditamatkan oleh ketuanya sendiri.

Memang riuh, memang cacamarba. Mahu tidaknya – Tun Mahathir (Tun M) Mohamad kejap letak jawatan, kemudian menerima pelantikan sebagai PM Interim kononnya untuk “diberi masa menyusun kerajaan sementara sehingga terlantiknya Perdana Menteri yang baru” (maksudnya bukan Tun M sendirilah!).

Tanpa disangka dia sendiri hendak menjadi Perdana Menteri ke-8 kononnya kerana beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Jika begitu ‘flip-flop‘-nya, logiklah PH yang Tun Mahathir ketuai marah kepada Tun Mahathir sendiri kenapa mahu menyebelahi Perikatan Nasional – PN (iaitu BN, PAS, Bersatu dan lain-lain) dan menolak PH (DAP, PKR, PPBM, PAN dan lain-lain) terutamanya DAP.

‘Menyinga’ Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Lim Kit Siang termasuk Khalid Samad dan Mat Sabu dalam mesyuarat, mengikut kata saksi-saksi.

Pada 26 Februari 2020, Tun Mahathir mengumumkan akan buat “Kerajaan Perpaduan (UG)” tanpa perkiraan komponen parti. Beliau kemudian setuju untuk jadi Perdana Menteri kerana kononnya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen dan akan pilih Ahli Parlimen daripada pelbagai parti tetapi tidak mewakili parti. Mereka hanya sebagai “individu berkelayakan” dalam kabinet barunya.

Cadangan itu mengakibatkan perpecahan lanjut berlaku dalam PH. Melompatlah supremo DAP, Lim Kit Siang mengambilalih kepemimpinan PH menolak idea berkenaan atas alasan UG Mahathir memusatkan terlalu banyak kuasa pada dirinya tanpa terikat kepada keputusan parti. Gegak-gempita PH lagi.

Sejurus setelah Tun Mahathir meletak jawatan sebagai Pengerusi PPBM dan tidak lagi mengetuai Pakatan Harapan, maka Majlis Presiden Pakatan Harapan kemudian sebulat suara bersetuju melantik DSAI sebagai PM.

PKR juga berpecah dua dengan DS Azmin Ali membawa 11 ahli keluar parti. PPBM turut berpecah menjadi dua kumpulan: Team Tun Mahathir yang menyebelahi Pakatan Harapan dan Team TSMY yang bersatu dengan Perikatan Nasional dan lain-lain, lalu berjaya membentuk sebuah kerajaan baru yang disahkan oleh YDP Agong.

Netizen dapat saksikan sendiri meskipun kesemua 222 MP sudah mengadap YDP Agong dan menyatakan dalam akuan bersumpah (SD) sokongan parti yang mana mereka pilih, namun Baginda Tuanku tidak berpuas hati atas SD berkenaan dan memanggil semula Tun Mahathir serta Ketua-Ketua Parti sekali lagi. Baginda juga memanggil Sidang Majlis Raja-Raja pada Jumaat 28 Februari 2020 kerana keputusan Federal juga ada kesannya kepada Negeri-Negeri.

Di sinilah kebijaksanaan (wisdom) yang telah dan mampu Baginda perlihatkan kepada rakyat jelata. Ketelitian dan keadilan yang telah Tuanku usahakan dengan sesungguhnya. Kemuliaan Raja terserlah, keputusannya tidak disanggah. Kedaulatannya kukuh teguh, merungkai kekusutan rakyat demi menyelamat umat.

Bukankah keadaan flip-flop percaturan politik Pakatan Harapan itu terlalu dangkal lagi mencurigakan? Malah dalam PH sendiri ada dua kumpulan: satu dikatakan mahukan Tun Mahathir selaku Perdana Menteri dan satu lagi memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam kelam kabut itulah timbulnya Tan Sri Muuhyiddin sebagai calon ketiga pada malam 28 Februari 2020.

Sekali lagi DYMM SPB memberi peluang menerima mengadap semua Ketua-ketua parti politik berkaitan untuk memuktamadkan kemelut politik negara yang julung kalinya berlaku sejak kemerdekaan kita. Perkenan Baginda Tuanku kemudian dimasyhurkan oleh Istana Negara ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 29 Februari 2020.

Anehnya pada sebelah malamnya, bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Mahathir masih mampu dipujuk rayu pengikut ‘desperado‘ yang masih bernafsu tidak tahu malu, agar terus mengepalai PH menuntut ‘kemenangan palsu’ kononnya PH memperolehi SD seramai 114 MP menyokong Tun M sebagai PM.

Malangnya ramai MP daripada senarai 114 SD berkenaan menafikan mereka memberi consent malah menyatakan sokongan padu kepada Muhyiddin sebagai PM Malaysia ke-8 yang sah.

Seminggu yang lalu membuktikan ketepatan keputusan YDP Agong melantik TSMY sebagai Perdana Menteri ke-8. Flip-flop PH cuba meyakinkan warga bahawa ia tidak mempunyai kata sepakat walaupun partinya bernama sebuah ‘pakatan’ yang sebenarnya “tinggal harapan yang tidak tercapai”. Manifesto asal tidak tertunai dan ‘janji dicapati’ kata netizen!

Tun Mahathir Mohamad – ‘The Legend’, sudah hilang kawalan ke atas parti PPBM-nya sendiri dan hilang arah. Tersungkur kredibiltinya sehinggakan Majlis Presiden Pakatan Harapan menamakan Anwar sebagai PM. Bukankah itu harapan DAP-PKR-Amanah selama ini – mengukir senyum di depan Tun yang sudah lanjut usia (94 tahun) dimamah masa, tetapi menikam dari belakang, mengangkat Anwar dalam diam? Tetapi Tun tahu Anwar memang ‘gila-gila’ mahu jadi Perdana Menteri sebagaimana diviralkan dalam satu pertemuan PPBM di Putrajaya.

Sedarlah wahai negarawanku, Tun M. Kembalilah ke pangkuan keluargamu yang sudah lama merinduimu agar meninggalkan pentas drama dan sandiwara politik yang kini bukan medanmu.

22 tahun sudah menabur bakti sebagai Perdana Menteri Malaysia malah disambung 22 bulan terakhir lagi – cukup-cukuplah di situ sahaja nokhtahnya.

Terima kasih politikus Malaysia kerana menonjolkan true colours yang amat menjijikkan. Rakyat sudah faham dengan drama yang dipentaskan.

Rakyat semakin sedar tanggungjawab politiknya. Mungkin ada yang berkata mereka sudah beri peluang pada 8 Mei 2018 tetapi PH tidak deliver the promises yang amat ditagihkan rakyat.

Rakyat menderita tiada kudrat untuk menyanggah kedurjanaan politikus seakan bertuhankan nafsu semata-mata. Hanya doa dan munajat yang mampu diangkat kepada Allah Rabbul Jalil setiap malam penuh harapan agar Pakatan Harapan tumbang sujud pada Kuasa-Mu, Ya Ilahi Rabbi!

Kepada YB-YB beragama Islam – berkerajaan mahupun pembangkang: bertaubatlah bersungguh-sungguh untuk membina semula sebuah Malaysia. Dengan Islam menjadi terasnya dan Perlembagan terus dijunjung dengan Raja-Raja masih berdaulat, kami akan terus menyokong bersamamu. Rakyat sudah bersedia untuk bersamamu. Warga masih utuh jati dirinya penuh siuman, tidak seperti sang politikus yang senantiasa rakus mencari ruang dan peluang tiada noktah.

Ayuh, kita terus doakan iklim politik negara semakin segar bermula fajar baru 1 Mac 2020. A new chapter for Malaysia 2.0!

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts