7 PERKARA DIPERLUKAN UMNO UNTUK MENJADI PEMBANGKANG YANG BERKESAN

350
SHARES
2.1k
VIEWS

Hari bersejarah bertarikh 9 Mei 2018 bukanlah seperti hari-hari biasa yang lain. 9 Mei 2018 tersebut adalah tarikh pilihanraya tetapi bukanlah seperti 13 pilihanraya yang lain. Malam Pilihanraya ke-14 atau PRU-14 menyaksikan gergasi Barisan Nasional tumbang menyungkur bumi setelah berkuasa selama 61 tahun sejak negara merdeka.

Hari berikutnya iaitu pada 10 Mei 2018 secara rasminya menyaksikan kerajaan bertukar ke Pakatan Harapan setelah bermulanya momentum pertama reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila  dipecat pada tahun 1998.

20 tahun menyaksikan perjuangan dan kesengsaraan Datuk Seri Anwar dan keluarga dalam menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang menyumbatnya ke penjara, ditohmah, difitnah, dicela sebagai peliwat, ejen Amerika dan macam-macam gelaran termasuk homoseksual.

2 kali dipenjarakan, 20 tahun diaibkan, lebih 200 kali keluar masuk mahkamah dengan pelbagai pertuduhan, akhinya dibebaskan dan diberi pengampunan penuh oleh Yang DiPertuan Agong.

20 tahun menyaksikan pelbagai kaedah membangkang berkesan tercipta melalui reformasi 1998. Selepas Anwar dipecat, pertama kali dalam sejarah negara menyaksikan ratusan ribu turun ke jalanan untuk berdemonstrasi sepanjang jalan Tunku Abdul Rahman sehingga ke Masjid Negara.

Mungkin kali terakhir negara melihat puluhan ribu turun ke jalanan adalah pada 14 April 1986 apabila Allahyarham Sudirman Haji Arshad membuat konsert terbuka secara mengejut di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Sejak Anwar dipecat pada tahun 1998, Malaysia tidak pernah sama lagi seperti sebelumnya. Rakyat dan pemimpin pembangkang menjadi semakin berani dan tersusun. Mula-mula membangkang secara takut-takut, namun masa mematangkan mereka.

Polis ketika itu menunjukkan taring dan bersikap kasar terutamanya polis berpakaian preman yang dikenali sebagai Special Branch (SB). Ketika itu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih wujud maka memang mencabarlah sekiranya ditangkap. Dibogelkan, dimalukan, fizikal disakiti, minda dikaburi.

Siapa menjadi membangkang ketika itu memang mencabar, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir menggunakan seluruh jentera kerajaan untuk menumpaskan Anwar dan gerombolan pembangkangnya. Ketika itulah wujudnya slogan ‘Asal Bukan UMNO’, ‘ABU’, ‘Mahafiraun’, ‘Mahazalim dan bermacam lagi.

DAP yang ‘hidup segan mati tak mahu’ ketika itu kembali bernafas. DAP wajib terhutang budi kepada Anwar walaupun mereka ingin sekali menafikannya.

Melalui pengorbanan Anwar termasuk dipenjarakan maka hari ini ramai pemimpin DAP menjadi Menteri dan Timbalan Menteri serta mula diterima Melayu yang tidak mungkin akan berlaku tanpa individu bernama Anwar Ibrahim.

Buat pertama kalinya PAS menyertai Pakatan Rakyat pada 1 April 2008. Walau dinamakan sebagai ‘pakatan longgar’ namun yang mustahil menjadi realiti.

Istimewanya Anwar, beliau mampu menyatukan dua parti yang seperti ‘anjing dan kucing’ ini iaitu DAP dan PAS. Sehinggakan PAS mengubah perjuangannya menegakkan negara Islam kepada negara berkebajikan. DAP yang dikenali sebagai anti Melayu dan Islam akhirnya bersahabat dengan PAS yang ahlinya Melayu dan memperjuangkan negara Islam.  Itulah kehebatan Anwar.

Maka, untuk UMNO menjadi pembangkang yang berkesan dan kembali dominan, mereka perlu belajar dari Datuk Seri Anwar Ibrahim dan reformasi yang dicetuskannya. Buang sahaja formula lain kerana beliau telah berjaya menguasai kerajaan pusat selepas 20 tahun berhempas pulas.

Tun Mahathir dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia hanya sebagai pelengkap, jika tanpa PPBM menyertai Pakatan Harapan, pembangkang tetap akan menang. Jika gabungan PKR-DAP-Amanah bertanding tiga penjuru di kerusi Warisan-PPBM, undi Melayu UMNO akan berpecah dua iaitu kepada Warisan-PPBM atau UMNO. Situasi yang akan menguntungkan gabungan PKR-DAP-Amanah akhirnya.

Justeru apa yang dapat UMNO belajar dari 7 perkara yang diperlukan untuk menjadi pembangkang berkesan ialah: 

  1. Pemimpin – UMNO perlu seorang pemimpin ‘berani mati’ seperti Anwar, pandai berucap, bijak menaikkan semangat serta mampu menyatukan parti-parti pembangkang lain yang berpecah ketika ini
  2. Barisan Peguam – ramai dan kuat, licik, kurang ajar dan faham undang-undang dengan mendalam serta pantas membuat bantahan demi bantahan, kebanyakannya secara percuma
  3. Ahli Parlimen – yang tidak tahu malu dan akan sentiasa bersemangat membuat kacau dalam Dewan Rakyat, mengganggu kelancaran dan suka keluar dewan apabila tidak berpuas hati dengan sesuatu usul
  4. Kumpulan Perangsaraf Media Sosialblogger dan  cybertrooper berbayar sebagai pencetus persepsi, pandai memainkan isu dan pakar ‘troll‘ yang akan mewujudkan blogger dan cybertrooper persendirian yang tentunya lebih ramai
  5. Rakyat – Pembangkang dari kalangan rakyat, tidak semestinya ahli UMNO namun menolak PH, berani dan berpotensi sebagai peserta demonstrasi walaupun sekadar berhimpun membantah di depan mahkamah
  6. Slogan – pandai mencipta perkataan, slogan, tagline, quote tertentu yang mampu menarik perhatian seperti ‘Asal Bukan UMNO’, ‘ABU’, ‘Mahafiraun’, ‘Mahazalim’, ‘MO1’, ‘dedak’, ‘macai’ dan pelbagai lagi
  7. Dana – sumber kewangan yang kukuh diperlukan bagi membiayai keseluruhan operasi di atas

Selain itu, pemimpin UMNO perlu mengawal kehidupan mewah mereka yang akan mudah terbuka kepada serangan persepsi.

Semoga UMNO berjaya bangkit dan menjadi pembangkang yang kuat untuk mengimbangi kerajaan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts