KABINET BARU PERLU SEDIA HADAPI KRISIS

765
SHARES
3.5k
VIEWS

Oleh Isham Jalil 

Alhamdulillah kemelut penentuan Perdana Menteri ke-8 telah selesai pagi tadi dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun tentunya selepas ini akan ada pertikaian dan tindakan balas daripada Mahathir dan Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan.

Kerajaan baru yang akan dibentuk oleh Muhyiddin kini adalah sangat kritikal sebab sekarang sebenarnya adalah masa yang amat mencabar untuk membentuk kerajaan di kala ekonomi berada di ambang krisis.

Kemelut politik juga dijangkakan akan terus berlaku dengan perebutan kuasa yang berpanjangan seperti 22 tahun dahulu pada tahun 1998.

Pada PRU-13 pada tahun 2013, kerajaan Barisan Nasional hampir tumbang berhadapan dengan Anwar Ibrahim.

Lima tahun kemudian, pada PRU-14, kerajaan Barisan Nasional telah tumbang berhadapan dengan Mahathir semasa Anwar berada di dalam penjara.

Pada PRU-15 hanya dua tiga tahun yang akan datang ini, buat pertama kali dalam sejarah kerajaan akan berdepan dengan kedua-dua Mahathir dan Anwar sebagai pembangkang.

Saya telah mengikuti dan mengkaji mereka ini selama berpuluh tahun.

Semasa Mahathir dan Anwar berada dalam kerajaan pada tahun 90an dahulu dan apabila Anwar dipecat dan memulakan Reformasi, umur saya sudah 20an, kini mencecah pertengahan 40an.

Apa yang saya belajar dari sejarah mereka berdua ini ialah jangan sekali-kali kita mengambil enteng dengan kebolehan mereka terutama dalam menjatuhkan kerajaan.

Semasa Reformasi 1998, berpuluh ribu rakyat berhimpun di Kuala Lumpur di belakang Anwar Ibrahim.

Pada ketika itu negara sedang menghadapi krisis ekonomi terburuk dalam sejarah.

Kebanyakan rakyat telah turun ke jalanan bukan kerana mereka sokong Anwar, tetapi kerana berpuluh ribu daripada mereka telah hilang kerja.

Anwar hanya mengambil kesempatan untuk meraih sokongan ke atas keadaan rakyat yang tertekan kerana keadaan ekonomi yang teruk pada ketika itu.

Pada tahun 2002, susulan daripada krisis ekonomi 1997-1999 di mana keadaan ekonomi dan politik menjadi huru-hara, Mahathir telah mengumumkan untuk meletakkan jawatan kerana tekanan rakyat dan dia akhirnya telah menyerahkan jawatan kepada Abdullah Badawi setahun kemudian pada tahun 2003.

Kini krisis ekonomi dan politik negara berlaku lagi dengan serentak seperti dahulu.

Mengambil iktibar sejarah dan untuk mengelakkan negara dan rakyat daripada terjerumus ke keadaan huru-hara dan sengsara, di samping pertimbangan politik, barisan Kabinet baru yang ditampilkan kini perlulah kompeten dan cekap untuk menangani krisis ekonomi di depan mata kini dengan secepat mungkin.

Jika tidak, kita akan gagal dan Kerajaan Perikatan Nasional ini akan ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang dan menjadi kerajaan separuh penggal seperti Kerajaan PH yang lepas, Nauzubillah.

1 Mac 2020

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/665753720846822/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts