MUHYIDDIN, ANWAR ATAU BUBAR?

672
SHARES
3.1k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Sebentar tadi Perdana Menteri Interim Dr Mahathir menyatakan bahawa satu sidang Dewan Rakyat akan diadakan untuk memilih Perdana Menteri yang baru pada hari Isnin depan, 2 Mac 2020.

Ini berikutan tiada Ahli Parlimen yang didapati mendapat sokongan majoriti untuk layak menjadi Perdana Menteri susulan daripada perjumpaan Ahli-ahli Parlimen dengan DYMM SPB YDP Agong semalam.

Mahathir juga berkata bahawa Bersatu telah memilih Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, manakala Anwar Ibrahim berkata PH telah menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri, pengumuman yang dibuatnya sendiri.

Oleh itu dijangkakan bermula malam ini sehingga hujung minggu ke pagi Isnin, akan berlaku lobi-melobi, tarik tali dan ‘jual-beli’ di kalangan Ahli-ahli Parlimen oleh pihak-pihak yang berhajat untuk mengangkat calon mereka sebagai Perdana Menteri.

Sidang Dewan Rakyat ini memberi peluang kepada DYMM SPB YDP Agong untuk memerhati siapa di kalangan Ahli-ahli Parlimen yang mempunyai pendirian dan prinsip yang tetap, atau yang berlainan di hadapan Baginda apabila berseorangan berbanding di dalam Dewan Rakyat apabila berkumpulan, atau yang telah menukar pendirian mereka berbanding lima hari sebelumnya umpama lalang yang mengikut arah angin semasa.

Namun masalah yang timbul sekiranya majoriti dicapai oleh seorang Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri di dalam Dewan Rakyat dengan cara ini Isnin depan ialah kerajaan yang dibentuk tidak akan stabil dan mudah goyah apabila ada beberapa Ahli Parlimen yang tentunya akan bertukar fikiran dan angin lagi, menarik kembali sokongan beberapa hari, minggu atau bulan akan datang.

Ini menyebabkan kemelut politik ini akan terus berpanjangan.

Dan kerajaan yang dibentuk ini hanya mendapat mandat daripada lebih kurang 112 orang Ahli Parlimen namun ia tidak mendapat mandat terkini daripada rakyat melalui pilihan raya.

Mandat rakyat kini telah berubah berbanding 22 bulan lalu semasa PRU-14.

Kerajaan yang dibentuk ini tidak akan boleh fokus untuk membantu rakyat dan menyelesaikan krisis ekonomi kerana ahli-ahli politik dalam kerajaan akan hanya sibuk berpolitik dan membuat persiapan untuk pilihan raya umum tiga tahun lagi.

Sekiranya Ahli-ahli Parlimen ini benar-benar ikhlas untuk membantu rakyat dan bukan hanya gila mengejar jawatan dan berebut kuasa, mereka akan memilih untuk membubarkan Parlimen di dalam sidang Dewan Rakyat pada hari Isnin 2 Mac 2020 ini.

Bubar.

27 Februari 2020

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/663785301043664/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts