PERLUKAH PEGUAM NEGARA MELEPASKAN JAWATANNYA?

479
SHARES
2.8k
VIEWS

Oleh Zamzuri Mohamed Tahir

Semasa saya menulis artikel ringkas PDRM kehilangan seorang tokoh anti pengganas baru-baru ini, ramai dari kalangan netizen menganggap ia sebagai fitnah dan pelbagai ancaman dikemukakan.

Antaranya melaporkan kepada pihak polis dan SKMM di samping komen-komen murni yang memetik kenyataan KPN Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa ia merupakan pertukaran biasa.

Semuanya membuatkan saya tersenyum lebar.

Apabila Peguam Negara membatalkan prosiding mahkamah ke atas 12 individu yang terlibat dengan pertubuhan pengganas LTTE, ramai yang mula memahami mengapa PDRM kehilangan seorang tokoh anti pengganas.

Ia tidak terhenti setakat itu sahaja.

Malahan Peguam Negara sudah melangkaui batas dan sempadan beliau sebagai Penasihat Undang-undang kepada kerajaan Pusat.

Masakan sejauh itu Peguam Negara mampu bertindak jika beliau tidak dinaungi oleh seseorang yang sangat berkuasa dan berpengaruh?

Ya, seseorang yang sangat berkuasa dan berpengaruh yang melindungi, menaungi malah mencetuskan isu-isu sensitif berkaitan agama dan kaum agar rakyat percaya dan simpati padanya.

Bukan sekadar rakyat, malahan kalangan pemimpin pembangkang juga tidak terkecuali, atas alasan demi Melayu Islam dan bagi mengelakkan kerosakan yang berterusan dan lebih besar.

Gesaan Dr. Maslee Malik supaya Peguam Negara meletakkan jawatan umpama mencurah air di daun keladi.

Amarah dan kritikan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak mencerminkan menteri kabinet kerajaan benar-benar berasa kecewa atas pembatalan prosiding mahkamah tersebut.

Setakat ini saya belum menemui kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang kecewa dengan tindakan Peguam Negara.

Malahan, Hamid juga tidak terkehadapan dalam kes tangkapan pengganas LTTE berbanding Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, seorang yang hanya berstatus Ketua Penolong Pengarah. (kini KP Johor).

Hamid lebih terkehadapan dalam isu remeh tangkapan ADUN Dengkil dan samseng PPBM Ulu Tiram.

Kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar agar pihak-pihak tertentu mencabar kesahihan pembatalan prosiding tersebut atau membuat semakan kehakiman merupakan satu usaha kecil yang praktikal tetapi bakal melalui jalan berliku.

Justeru itu, apa penyelesaiannya?

Sebagaimana saya katakan di atas, masakan Peguam Negara mampu bertindak sejauh itu tanpa ada seseorang yang berkuasa dan berpengaruh menaungi dan melindunginya?

Maka, jalan penyelesaian yang tuntas bukanlah mendesak Peguam Negara melepaskan jawatan, membuat semakan kehakiman atau mengkritik tindakan mantan peguam Chin Peng tersebut.

Jalan penyelesaian yang paling mudah adalah menggunakan kuasa yang ada pada jemaah kabinet atau khususnya Perdana Menteri itu sendiri.

Sekiranya kabinet kerajaan sendiri tidak pernah membincangkan pelbagai salah laku Peguam Negara, anggaplah pembatalan prosidng pada kali ini juga sebahagian dari agenda kerajaan.

Motifnya jelas dan mudah difahami.

Yang mahu mengekalkan kuasa akan terus berkuasa dan parti minoriti dalam kerajaan akan terus diberi simpati.

Rakyat perlu celik maklumat menilai isu dan tidak terperangkap untuk bersimpati dengan amalan politik ala Machiavelli.

Pembangkang perlu bijak dan tidak harus diperbodohkan oleh permainan sebegini demi meraih kuasa dengan jalan singkat.

Sama-samalah kita nilai dan teroka kenyataan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, terpulanglah kepadanya sama ada mahu meletakkan jawatan atau tidak.

Terpulanglah kepadanya sama ada mahu menyerahkan jawatan kepada Anwar atau tidak.

Terpulanglah kepadanya sama ada mahu memecat atau tidak Peguam Negara, Menteri Kewangan atau sesiapa sahaja.

Demikianlah rupa sebenar seorang ahli politik yang licik dan berpengalaman luas yang menganut faham Machiavelli.

Masihkah ada dari kalangan rakyat dan pemimpin pembangkang yang rela bekerjasama dengannya atas alasan Melayu Islam dan selamatkan negara dari Pakatan DAP?

Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan;

https://www.facebook.com/zamzuri.mt/posts/3283456401671737

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts